Ads

Filem Kapsul

Ramai yang tertanya-tanya apakah kandungan Kapsul yang pernah ditanam oleh Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu di Putrajaya. Ianya hanya akan dibuka pada tahun 2020. Persoalan apakah kandungannya masih relevant sekiranya semua kemajuan telah dicapai oleh negara kita pada tahun 2020? Tun Dr Mahathir sememangnya seorang yang berpandangan jauh. Dalam fikiran saya kandungan kapsul itu pastinya sesuatu yang kita perlukan juga pada masa hadapan. Apakah yang kita perlukan pada masa hadapan itu? Filem kapsul ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada saya apakah kandungan kapsul tersebut.

Pada hari pertama tayangan filem kapsul, saya terus bergegas mendapatkan tiket untuk menyaksikan filem ini. Rasa ingin tahu apakah yang ingin disampaikan berkaitan dengan kapsul masa itu melalui filem ini. Dengan penampilan istimewa Tun Dr Mahathir dalam beberapa babak lakonan menguatkan pandangan saya tentang keaslian dan pentingnya masej yang ingin yang disampaikan berkenaan kapsul tersebut melalui filem ini.

Permulaan cerita dalam filem ini pada saya agak kurang menarik. Pada awalnya saya tidak nampak apa yang mahu disampaikan sebenarnya. Sama seperti cerita melayu kosong lain yang hanyut dengan masalah moral. Cerita ini pada saya sebenarnya bermula dimana isu kapsul masa tersebut timbul. Daripada sini Filem ini sudah nampak plot ceritanya. Kapsul masa tersebut telah berjaya dicuri oleh Zuhri (Faizal Hussein). Sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku, ketika sedang mencari jalan untuk membuka kod kapsul tersebut, Zuhri telah dibawa oleh kapsul masa tersebut ke zaman sebelum kemerdekaan.

Filem ini berjaya membawa penonton kembali kepada zaman penjajahan jepun dan komunis. Babak ini amat penting untuk membawa penonton merasai betapa kejamnya zaman penjajah sebelum merdeka. Suasana kesusahan akibat kekejaman penjajah dirasai. Walaupun hanya menonton, saya sendiri berasa geram melihat kekejaman dan kekejian yang berlaku pada masa itu.    

Seterusnya Zuhri dibawa kepada zaman dimana Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan. Semangat masyarakat pada masa itu yang dahagakan kemerdekaan berjaya digambarkan. Mereka tidak sanggup lagi hidup hina dan ketakutan di tanah sendiri. Babak dimana mereka sanggup menggadaikan barang kemas semata-mata melihat Tunku ke London digambarkan. Masyarakat pada masa itu sanggup mati demi melihat Tunku ke London untuk medapatkan kemerdekaan. Adegan yang dipaparkan dalam babak ini amatlah berlainan daripada apa yang biasa kita lihat seperti orang melayu ramai-ramai membawa sepanduk, bergotong royong melukis sepanduk. Ianya jauh lebih daripada jangkaan penonton yang memang tidak pernah dilihat pada mana-mana filem/drama.

Zuhri dibawa pula ke zaman Tun Abdul Razak. Zaman dimana Tun Abdul Razak berusaha untuk memajukan masyarakat melayu selepas merdeka. Kesusahan untuk membangunkan semula negara melalui felda berjaya dibawa di dalam filem ini. Kesusahan peneroka felda pada masa itu membuka tanah rancangan baru yang asalnya hutan tebal telah ditunjukkan. Babak ini telah berjaya menimbulkan rasa kesyukuran kepada penonton kerana tiada lagi adegan kekejaman yang berlaku pada ketika ini seperti mana zaman penjajah dahulu. Fokus kini lebih terarah kepada usaha untuk memajukan masyarakat. Ada satu babak yang makan dalam dalam filem ini. Babak dimana Tun Abdul Razak menasihatkan sendiri anaknya (Najib) pada masa itu.

Zuhri seterusnya dibawa terus kepada zaman Tun Dr Mahathir. Dalam babak ini banyak dialog yang berjaya menyentuh hati, antaranya babak dimana ketika Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. kesedihan dan kerisauan Dr Mahathir pada ketika itu kepada nasib bangsanya amat jelas. Beliau cukup takut sekiranya kemerdekaan yang dikecapi selama ini hilang dan bangsa dijajah kembali seperti dahulu. Banyak babak sedih yang digambarkan walaupun pada ketika ini negara telah melonjak menjadi lebih maju.

Zuhri akhirnya kembali kepada masa hadapan. Beliau akhirnya tersedar tentang sesuatu yang selama ini beliau lupa. Erti sebuah kemerdekaan. Sebaik sahaja zuhri kembali kepada masa hadapan, beliau menangis kerana telah memahami erti sebuah kemerdekaan. Ayuh lapangkan masa untuk menonton filem ini. Anda pasti tidak menyesal kerana ianya adalah berbeza daripada filem sejarah yang lain. Penggunaan teknik CGI yang baik memberikan banyak kelainan kepada filem ini. Plot caritanya juga mudah untuk difahami.  

Filem ini berjaya memberikan sedikit pengalaman dan gambaran bagaimana perjalanan perkembangan negara kita pada setiap zaman. Ia jelas menunjukkan pengorbanan yang tinggi jauh lebih bernilai daripada wang ringgit. Filem ini wajib ditonton oleh semua orang. Ia mampu memberikan kita kesedaran tentang makna sebuah kemerdekaan. Selepas menonton filem ini saya mempunyai pandangan sendiri tentang apakah kandungan kapsul tersebut. Ianya akan terus kekal relevant walaupun dibuka selepas tahun 2020.  Banyak masej berjaya disampaikan melalui filem ini.


Alfaatihah kepada pengarah Filem, Allahyarham Martias Mohd Ali.















No comments:

Post a Comment