Sebelum menjejakkan kaki ke
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) saya tidak pernah langsung
menjejakkan kaki ke bumi Melaka. Kali pertama menjejakkan kaki, hati telah
jatuh cinta dengan keindahan negeri ini. Saya berbesar hati untuk berkongsi
pengalaman kehidupan sepanjang empat tahun bergelar sebagai pelajar Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan ini daripada perspektif kehidupan yang
tidak fokus kepada akademik. Semua orang boleh masuk universiti, tapi pengisian
kehidupan sepanjang tempoh itu tidak sama.
Pendaftaran
Saya mulakan kisah pada hari
pendaftaran pelajar baru di Dewan Besar Universiti. Proses pendaftaran tidak
membenarkan ibu bapa masuk ke ruang bawah dewan untuk mengelakkan kesesakan.
Saya masuk seorang diri untuk mendaftar tanpa tahu punca. Sangat ramai manusia.
Selesai urusan pendaftaran sebagai pelajar, proses beralih kepada pendaftaran
kolej kediaman. Pada ketika itu saya tidak nampak barisan untuk mendaftar.
Hanya mencelah masuk dengan selamba. Dengan mencelah masuk ini ditakdirkan
untuk sebilik dengan geng-geng daripada Diploma UTeM. Mereka semua kenal antara
satu sama lain kecuali saya. Pada mulanya saya berasa pelik kerana terselit
dalam geng ini. Daripada sini saya kenal baik dengan kumpulan daripada diploma
ini. Kami bersahabat sehingga sekarang. Baru-baru ini salah seorang daripada
mereka telah menemui Ilahi. Beliau juga adalah roommate saya dahulu.
Al-Faatihah kepada arwah Zaki.
Persahabatan
Tahun pertama dalam sistem
akademik tidak banyak beza dengan sistem di asasi. Hari pertama saya masuk ke
kelas dengan memakai baju formal, Baju kemeja biru, seluar dan kasut hitam. Kelas
pertama adalah kelas Bahasa Inggeris. Teruk saya dibahan oleh pensyarah kerana
terlalu “skema”. Masih terbawa-bawa sistem di UiTM yang memakai baju kemeja
pada setiap hari isnin. Saya mula berkawan baik dengan beberapa orang rakan
sekelas. Rata-ratanya daripada politeknik dan lebih tua daripada saya. Ada
diantara mereka telah bekerja dan sambung belajar. Saya bukannya seorang yang
pandai berkawan dan berwatak serius. Mereka lebih kena dengan saya berbanding
rakan yang sebaya.
Pada tahun-tahun pertama kami
pelajar lelaki satu kelas sangat akrab. Memang unite habis. Sepanjang hidup
saya tidak pernah ada sekumpulan rakan-rakan yang besar seperti ini dan begitu
rapat. Terharu dengan persahabatan yang ditunjukkan. Kalau pergi makan di kedai
pasti akan gabung 3-4 meja dan bersembang dengan suara yang paling kuat di
kedai. Mereka sangat suka bercerita tentang kehidupan politeknik mereka. Saya
suka mendengar kisah mereka dan merasai pengalaman sebagai seorang pelajar
politeknik. Ada juga yang suka bercerita tentang pengalaman kerja mereka.
Memang hebat. Sesuatu yang saya tidak mungkin dapat dengar daripada rakan
sebaya saya. Saya hanya banyak diam dan mendengar. Tidak banyak benda yang
boleh dikongsi oleh seorang yang masih muda.
Ragam Rumah Sewa
Tahun kedua sebelum buka semester
baru kami kecoh dengan penempatan asrama yang jauh daripada kampus dan
kemudahan yang serba kekurangan. Hasil daripada pakatan kami menyewa sebuah
rumah untuk lari daripada tinggal di asrama. 14 orang disumbat ke dalam sebuah
rumah 2 tingkat 4 bilik. Pada masa ini tidak menjadi masalah kerana kami memang
rapat antara satu sama lain dan tidak kisah untuk berhimpit. Daripada sini sudah ada beberapa gaya hidup
yang berbeza antara ahli. Ada yang suka berada di hadapan laptop, ada yang suka
keluar melepak, ada yang suka keluar cari kerja part time. Daripada perbezaan
ini mulanya timbul pemisah. Masing-masing dengan gaya hidup yang tersendiri. Anehnya
tidak ada yang suka study. Seperti ada pakatan secara tidak langsung. Memang
tidak ada siapa yang terkenal dengan kuat study.
Lama kelamaan timbulnya
bunyi-bunyi yang kurang enak untuk didengar. Tinggal sebumbung sudah tahu
pekung masing-masing. Mulalah terdengar ketidakpuasan hati antara ahli rumah
yang macam sardin itu. Situasi ini normal dan memang akan terjadi. Tapi apabila
terlampau teruk ia menjejaskan persahabatan yang dahulunya cukup akrab. Tidak
perlu semua untuk menabur bangkai. Cukup seorang dua yang memporak peranda.
Yang lebih pedih adalah mereka yang baik tetapi mudah dipengaruhi. Sungguh
malang secara tidak langsung. Lumrah kehidupan pasti ada sampah dalam
masyarakat.
Projek Berniaga
Daripada kejadian ini terhasilnya
satu kumpulan yang lebih kuat walaupun bilangannya tidaklah besar. Hanya 3
orang. Saya, Wan dan Bad. Kami menjadi lebih rapat. Banyak projek yang
dirancang. Masing-masing mempunyai keghairahan yang sama untuk berniaga.
Daripada sembang kosong di kedai makan kami memulakan projek dengan lebih
serius. Projek berniaga air di bazar Ramadhan yang dilihat dapat memberikan
untung. Semua ini dilakukan sepanjang tempoh Amalan kejuruteraan. Kami dapati
ada banyak masa terluang di sebelah petang dan “berkat” pendapat senior yang
berpendapat amalan kejuruteraan ini adalah “kosong”dan membuang masa.
Masing-masing berkorban
mengeluarkan duit poket untuk membeli keperluan berniaga. Ia tetap tidak cukup.
Salah seorang daripada kami membuat “loan” daripada abangnya dan berjanji akan
bayar balik pada Aidilfitri. Sebelum mula berniaga di bazar Ramadhan kami
membiasakan diri di pasar malam. Pahit manis tentang kegagalan dan kejayaan
kami belajar dan rasai sendiri. Orang-orang melayu memang hebat dalam berniaga
pasar malam. Kerajaan perlu perkukuhkan lagi wadah pasar malam ini untuk
membantu peniaga yang mempunyai modal kecil.
Suasana yang pastinya akan
dirindui sepanjang hayat pada Ramadhan adalah ketika berniaga di bazar. Kami
berkenalan dengan ramai makcik dan pakcik yang berniaga di tapak sama. Mereka
amat suka melihat orang muda berniaga.
Kami berjaya dalam perniagaan di bazar Ramadhan. Keuntungan yang
berlipat kali ganda. Kami berjaya membayar segala modal yang dipinjam. Daripada
keuntungan ini saya berjaya membeli sebuah laptop. Hari ini Wan dan Bad telah
membawa diri ke Kuala Lumpur selepas tamat belajar. Saya berkunjung ke bazar
tempat kami berniaga dahulu dan terkenang kenangan yang manis.
Society Manufacturing Engineering
Kami masih mempunyai barang untuk
berniaga dan berminat untuk sambung di Pesta konvo UTeM. Untuk mendapat tapak
percuma kami terpaksa mewakili sesebuah kelab dan persatuan untuk berniaga.
Daripada sini kami secara tidak langsung rapat dengan Society Manufacturing
Engineering (SME). Sebuah persatuan fakulti. Ramai rakan-rakan yang menjadi
ahli jawatankuasa society ini. Daripada hanya bertujuan untuk berniaga kami
secara tidak langsung berada dalam society ini. Saya daripada awal tidak
berminat untuk mendapatkan apa-apa jawatan dalam society ini. Ia memerlukan
komitmen yang cukup tinggi.
Entrepreneurial Explorace UTeM
Sekali lagi saya, bad dan wan
bersama-sama menjayakan sebuah program besar. Program peringkat universiti.
Entrepreneurial Explorace UTeM (EEU). Entah macam mana saya dilantik menjadi
pengarah program. Secara automatik saya melantik Wan dan Bad menjadi timbalan
pengarah kerana tahu kredibiliti mereka. Program yang melibatkan penggerak
seramai 50 orang dan penyertaan 100 orang pelajar. Dekan Fakulti cukup berminat
dengan program ini kerana dilihat dapat membentuk kemahiran keusahawanan kepada
pelajar. Idea asal program ini juga adalah daripada beliau sendiri. Pada
peringkat permulaan saya hanya mendengar apa yang mahu disampaikan dan
bersetuju dengan idea beliau untuk mewujudkan sebuah program yang bercirikan
keusahawanan. Beliau menerangkan kepada saya apa rasional program ini. Memang
pemikiran orang-orang akademik dalam membentuk kurikulum kepada pelajar tidak
dapat dinafikan. Moralnya disini kita boleh mengambil pendapat mereka yang
lebih hebat. Untuk perlaksanaan kita buat mengikut kemampuan sendiri.
Pengisiannya sama, tetapi perlaksanaannya mungkin berbeza.
Kami dapat merasa pengalaman
daripada peniaga sehingga penganjur program. Daripada program ini ada diantara
adik-adik junior yang merupakan ahli jawatankuasa program EEU berjaya dalam
pemilihan baru exco SME. Saya, wan dan bad tidak mengambil borang pencalonan.
Kami hanya mahu menolong sahaja. Kekangan komitmen membatasi segalanya.
Alhamdulillah kejayaan yang mereka bawa lebih hebat daripada barisan kepimpinan
sebelumnya. Kelebihan bergerak sebagai satu pasukan melebihi kekutan individu.
Tahniah. Saya tidak pernah sangka mereka boleh belangkah sejauh ini dalam menguruskan
society.
Pertandingan Product Design Development
Berbalik kepada awal tahun 2,
kami dikehendaki untuk mencipta satu produk dalam subjek Product design
development. Idea saya diterima untuk diteruskan. Idea untuk menstabilkan
kedudukan buku ketika membaca apabila berada dalam kereta. Dalam projek ini
pada saya ideanya sudah bagus, tetapi perlaksanaannya pada saya gagal.
Kegagalan itu berpunca daripada saya sendiri juga. Saya gagal mendengar
pandangan ahli kumpulan lain. Saya hanya mengikut idea saya sahaja. Ianya
ternyata sukar untuk berfikir semuanya dengan sendiri. Dalam pertandingan produk
tersebut teruk kumpulan kami dihentam oleh panel kerana produk tidak mesra
pengguna. Saya akui kelemahan itu. Daripada sini saya belajar bahawa sesebuah
produk mestilah mesra pengguna. Tidak guna apabila hanya ada nilai fizikal
sahaja. Saya juga belajar demokrasi dalam memberikan pandangan apabila bekerja
dalam kumpulan. Saya juga bangga kerana ini adalah 100% idea yang dihasilkan
sendiri. Ada kumpulan yang mengimport barangan daripada Jepun dan mendakwa itu
adalah inovasi mereka.
Kekuatan Orang Berilmu
Saya, bad dan seorang lagi rakan
berpindah ke rumah yang lain kerana rumah lama terlalu sesak. Alhamdulillah
kehidupan yang lebih tenang di rumah baru. Pernah suatu ketika dalam tempoh
study week semua orang berkumpul di rumah baru kami ini untuk belajar tentang satu
subjek. Ada salah seorang daripada kami dalam rumah ini agak mahir dalam subjek
tersebut. Jadi semua berkumpul di rumah ini. Apabila dilihat hanya seorang yang
tiada. Orang yang selalu membuka mulut dan mengaibkan orang lain itu. Hanya dia
tiada dalam kumpulan belajar. Mungkin segan agaknya untuk datang dan belajar
daripada orang yang diburukkannya. Ini mengajar sesuatu, sekiranya kita berilmu
orang lain akan mencari dan mengikut kita. Kebaikan pasti akan menang pada
akhirnya. Allah akan menolong orang yang benar. Siapa makan cili dia akan
terasa pedasnya.
PSSCM UTeM
Sepanjang temboh 3 tahun belajar
saya cukup aktif dalam persatuan silat. Sebuah persatuan silat yang cukup baik.
Mereka tidak hanya bersilat, persatuan ini amat baik dalam melatih aspek
pengurusan, membina kekuatan hati dalam menempuh cabaran, menaikkan semangat
ahlinya. Sejujurnya saya banyak belajar ilmu kemahiran pengurusan daripada
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ini. Sebuah persatuan yang digerakkan atas
dasar pengorbanan ahlinya. Saya dapati banyak persatuan lain yang ada di
universiti terlalu bergantuk kepada aspek kewangan. Apabila tiada duit program
tidak berjalan. Ia berbeza dengan PSSCM UTeM. Mereka berkorban dan menyahut
cabaran yang hebat dengan kekangan sumber kewangan untuk menjayakan program.
Inilah kelebihan PSSCM UTeM.
Krabi
Sebenarnya term yang lebih sesuai
bukanlah melancong ke Krabi. Ianya lebih daripada itu. Ia bermula juga daripada
sembang - sembang kosong. Akhirnya persetujuan dicapai dan kami dapat set up
juga pengalaman pergi ke luar negara, walaupun ianya dekat. Hasil jualan
barangan berniaga dahulu saya gunakan untuk membuat passport yang pertama. Kami
merasai pengalaman berada di negara orang. Pelbagai jenis manusia dapat
dilihat. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupa adalah berkelahi dengan
pengusaha hotel di sana. Mereka tidak jujur dalam melakukan perniagaan. Mereka
lebih mementingkan agen berbanding pelanggan. Masalah timbul daripada kelemahan
mereka sendiri juga. Akibatnya kami terpaksa membayar lebih. Baru ke negera
jiran sudah pelbagai ragam manusia dapat dilihat. Pemandangan yang cukup cantik
dan menjadikan semuanya teruja. Baru-baru ini beberapa orang rakan saya pergi
ke pulau perhentian. Saya lihat pemandangan disana sungguh cantik. Rupanya
negara sendiri juga mempunyai banyak tempat yang cantik. Hidupan lautnya lebih cantik
daripada Krabi.
Projek sarjana muda (PSM)
PSM memang membuatkan kepala
menjadi pening, dan boleh mengubah mood. Saya berusaha melakukan yang terbaik
dalam PSM ini untuk membalas budi mendiang bos saya yang cukup baik. Saya menjalankan
projek quality improvement di kilangnya. PSM mengajar saya jauh lebih banyak
daripada program akademik yang lain sepanjang 4 tahun ini. Ia mengajar erti
ketelusan, membuka hubungan bersama industri, mengajar pelbagai teknik
menganalisis data dan mengenal pasti pelbagai kaedah untuk menyelesaikan
masalah. Banyak perkara yang dilihat mudah tetapi hakikatnya amat susah untuk
dilaksanakan. Secara peribadi projek PSM ini melatih pemikiran untuk menjadi
lebih terbuka dan mendapatkan maklumat dengan sumber yang sahih. Ini ternyata
mengubah pemikiran saya. Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk saya beralih
kepada penulisan yang lebih tinggi yang dipenuhi dengan fakta, pengetahuan
berkenaan sesuatu dan rujukan selepas menjalankan projek PSM ini. Ini lebih
daripada program akademik. Ianya adalah tentang perubahan bagaimana cara kita
berfikir.
Penutup
Terlalu banyak nilai yang saya
perolehi sepanjang bergelar pelajar sarjana muda ini. Kita yang menentukan
bagaimana cara kita hidup. Pengalaman bersama rakan-rakan yang hebat ini tidak
akan pernah saya lupakan sepanjang hidup. Ianya pasti akan sentiasa dikenang. Tidak
semua kisah dapat dikongsi disini. Saya akan sentiasa merindui pengalaman
sepanjang menjadi pelajar dan pengalaman bersama rakan-rakan. Ini sedikit
sebanyak mendewasakan saya. Semoga Berjaya dalam lapangan masing-masing sahabat
seperjuangan ku.
saya bakal pelajar utem, masuk bulan september ni untuk degree. ramai jugak yg tak kenal utem ni, so bila org tanya susah je nak explain haha. saya pun bru kenal utem masa kat matrikulasi dulu. baca blog ni, sedikit sebanyak melegakan hati ni mengenai utem. terima kasih!
ReplyDeleteUTeM semakin lama semakin dikenali. Semakin lama akan menjadi semakin hebat. Tahniah!
ReplyDeleteAssalam, saya pun dapat course yg sama macam encik, kejuruteraan pembuatan.. menurut encik, ramai tak rakan2 encik yg perempuan ambil course ni, dan apa2 yg susah mengenai course ni?
ReplyDeleteWaalaikumussalam. Kelas saya dahulu seimbang 50% lelaki dan 50% perempuan. Pada saya tak susah pun, janji faham apa yang belajar dan enjoy!
DeletePenulisan yang sangat baik
ReplyDelete