Ads

PROTON Batu Loncatan Industri Berat Malaysia

1. Pada awal 1980-an Malaysia memulakan usaha untuk menjadi sebuah negara industri baru dengan penggalakan industri berat di bawah pimpinan Perdana Menteri pada masa itu, YAB Dato Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan menambah kemahiran rakyat di dalam bidang teknologi yang lebih tinggi.


2. Ini juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian disamping mempelbagaikan ekonomi yang menitikberatkan pertumbuhan industri yang lebih pesat untuk menampung keperluan pekerjaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). 


3. Untuk menjadi sebuah negara yang maju negara tidak boleh hanya bergantung kepada hasil alam semula jadi yang dimiliki semata-mata. Hasil Kurniaan Alam ini suatu masa pasti akan berkurangan dan habis. Negara-negara seperti seperti Jepun, German dan Singapura, tidak mempunyai sumber alam yang besar untuk digunakan sebagai pendapatan negara. Walau bagaimanapun mereka telah maju dengan pencapaian dalam bidang industri yang mengagumkan.


4. Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara industri baru, Perusahaan Otomobil Negara (PROTON) ditubuhkan. Ini merupakan salah satu usaha besar kerajaan pada masa itu dalam mentransformasikan negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara industri melalui sektor automotif.


5. Sebagai sebuah negara yang masih baru dalam bidang automotif pada ketika itu, PROTON memulakan langkah melalui aktiviti rebadging. Sedikit demi sedikit PROTON berkembang hasil perpindahan teknologi daripada syarikat automotif Jepun. PROTON mula melepaskan kebergantungan sepenuhnya kepada syarikat luar dengan kewujudan vendor tempatan. Hasil daripada usaha yang berterusan dalam jangka masa yang singkat, PROTON 100% berjaya menghasilkan kereta sendiri.


6. Manfaat memperolehi kecanggihan teknologi ini berjaya dengan bukti penghasilan model terkini PROTON yang cukup berkualiti. Teknologi ini kemudiannya berkembang pesat kepada bidang pembuatan berat yang lain dan seterusnya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan merancakkan lagi ekonomi negara. Usaha ini telah membuka mata masyarakat Malaysia bahawa kita mampu melakukan apa sahaja setaraf negara maju lain.


7. Lebih besar, impak daripada perpindahan teknologi ini turut disertai dengan etika amalan kerja yang tinggi dan menjadi pencetus kepada pelbagai lagi idea yang bernas bagi memastikan kejayaan dalam bidang industri ini. Budaya seperti penambahbaikan secara berterusan (kaizen) dibawa sekali untuk memastikan kualiti produk dan servis sentiasa ditambahbaik untuk terus kekal bersaing. Konsep Just in time juga diperkenalkan dalam bidang pembuatan bagi memastikan pengeluaran memenuhi kualiti dan kuantiti pelanggan pada masa yang betul. Konsep Lean juga diperkenalkan bagi menghapuskan pembaziran dalam pengeluaran.


8. Disiplin yang tinggi diperlukan bagi memastikan semua proses ini berjalan dengan baik. Amalan kerja ini semua secara tidak langsung ditanam kepada masyarakat Malaysia dan mengubah minda masyarakat menjadi lebih maju kehadapan selaras dengan wawasan 2020 yang dituju. Amalan kerja ini tidak hanya dibataskan kepada industri automotif sahaja, tetapi kepada seluruh sektor yang ada di Malaysia bagi meningkatkan produktiviti.


9. Pada April 2015 yang lalu saya berpeluang melawat ke kilang PROTON di Shah Alam. Kami dibawa ke production line Saga. Kami menjadi terpegun seketika melihat kelengkapan yang canggih yang berfungsi di kiri, kanan, dan atas kepala. Kebanyakannya adalah automatik. Kami melihat aktiviti pemasangan PROTON Saga ini. Ini sudah cukup untuk melahirkan rasa bangga dan teruja kerana kita mempunyai industri pembuatan kereta sendiri. Ini sahaja sudah membantu untuk membuka minda generasi muda kepada perindustrian.


10. Tanggapan saya kepada bahawa PROTON menghasilkan produk yang tidak berkualiti terus hilang walaupun hanya melawat production line Saga dan mula berfikir bagaimana mereka lakukan sehingga setakat ini. Ianya bukan usaha yang mudah dan pastinya memerlukan pengorbanan yang tinggi. Hari ini PROTON telah banyak melakukan perubahan. Model terkini yang dikeluarkan cukup berkualiti dan setaraf kereta import yang lain. Ini semua adalah pulangan kepada harga yang rakyat Malaysia katakan mahal untuk membeli kereta tempatan.


11. Memang benar PROTON dilindungi oleh kerajaan bagi mempertahankan masa hadapan industri ini.  Kita perlu melihat kepada faedah yang diperolehi bukan kepada apa yang dikata oleh orang ramai dengan dasar ini. Dasar ini sebenarnya adalah biasa bagi negara-negara lain untuk melindungi Industri mereka. Misalnya dengan mengatakan minyak kelapa sawit boleh menjejaskan kesihatan dengan bertujuan untuk melindungi industri kacang soya Amerika. Akhirnya minyak kacang soya telah disahkan lebih merbahaya. Dengan dasar ini PROTON secara tidak langsung menjadi simbol kebanggaan negara.


12. Baru-baru ini timbulnya isu Teksi buatan PROTON yang dikatakan tidak berkualiti dan tidak tahan lasak. Isu ini timbul secara meluas selepas puluhan tahun teksi PROTON digunakan. Pastinya ada beberapa masalah, tetapi tidak perlu diperbesarkan oleh sesetengah pihak sehingga boleh menjejaskan industri itu sendiri. PROTON seharusnya melihat ini sebagai sesuatu yang positif untuk menyelesaikan apakah yang menjadi punca kepada masalah itu dalam usaha penambahbaikan secara berterusan.


13. Adalah tidak wajar juga bagi sesetengah pihak menghentam teruk hasil industri negara sendiri melalui liputan yang meluas dengan tujuan yang tidak diketahui dalam pertelagahan politik. Ini diibaratkan seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Amat kurang cerdik apabila pemimpin sendiri sanggup menjatuhkan sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia dan terbukti membawa manfaat yang besar.


14. Sekiranya PROTON terkesan dengan agenda ini bergembiralah kerana ratusan pekerjaan yang diwujudkan melalui PROTON akan hilang. Kemahiran, teknologi kejuruteraan terkini, malahan tenaga pakar tempatan tidak dapat mencari pekerjaan dan mengembangkan potensi mereka. Lambat laun mereka ini akan berhijrah ke negara luar. Banyak vendor dan industri pembuatan lain akan terkesan.


15. Teksi buatan PROTON perlu terus digunakan. Ini penting untuk mencerminkan wajah Malaysia yang mempunyai industri automotif sendiri dan memberikan pengalaman mencuba sendiri hasil kereta buatan Malaysia kepada masyarakat luar. 


16. Apa yang diperolehi pada hari ini tidak mungkin akan dikecapi tanpa dorongan dan motivasi terutamanya daripada pemimpin sendiri. Atas dasar kepercayaan dan keyakinan “Malaysia Boleh” kita berjaya melangkah kehadapan dengan lebih laju dan bersaing setaraf dengan negara maju lain.







No comments:

Post a Comment