Ads

Melawat Petronas Twin Tower Skybridge dan Observation Deck

Melihat pemandangan yang cantik di negara orang membuatkan saya hampir terlupa dengan keindahan yang ada di negara sendiri. Sejak majlis pembukaan rasmi Menara Berkembar Petronas ini pada 31 Ogos 1999, baru hari ini 28 Mac 2015 saya sampai di skybridge dan observation deck Menara ini.  Semuanya kerana kecewa disebabkan tidak sempat untuk menghadiri conference di Ampang Park kerana kelewatan dan terlepas untuk mendengar ucaptama daripada Tun Dr Mahathir. Kami terus menuju ke Stesen LRT KLCC. 




Pembelian tiket

Sampai di KLCC sekitar jam 2.00 pm. Kami membeli tiket untuk menaiki SkyBridge. Lokasi Kaunter pembelian tiket berada di bahagian kanan bawah pintu masuk utama yang berhadapan dengan Menara Public Bank. Staff yang bertugas memberitahu kami tiket terawal yang tinggal adalah pada pukul 5.30 pm. Untunglah masih ada tiket. Tiket perlu dibeli awal. Kami memutuskan untuk membeli juga tiket. Peluang sudah ada, juga sebelum GST pada 1 April 2015.  Harga tiket dipecahkan kepada beberapa bahagian.

Dewasa tidak memiliki Mykad – RM 80
Kanak-kanak tidak memiliki Mykid – RM 30
Dewasa memiliki Mykad – RM 25
Kanak-kanak memiliki Mykid – RM 12
*Hari isnin tidak dibuka untuk kunjungan.
**Harga selepas GST tak pasti

Semasa berurusan di kaunter saya bertanya kepada staff yang menjaga kaunter berkenaan harga tiket kepada pelajar. Mereka meminta Mykad, Kad pelajar universiti dan kad siswa. Syukurlah kami membawa kad siswa pelajar dan kad pelajar universiti. Kami hanya perlu membayar RM 20 sahaja.





Bersembang dengan Tukang Cuci

Sebelum naik ke skybrigde, saya sempat bersembang dengan seorang tukang cuci berasal daripada Indonesia. Kampungnya di Surabaya. Seronok dapat bersembang dengannya. Dia telah bekerja di sini selama 2 tahun setengah. Setiap hari beliau akan naik ke tingkat 86 untuk melakukan kerja pembersihan. Pada saya walaupun hanya sebagai tukang cuci tetapi pekerjaannya amat seronok sekali kerana setiap hari dapat naik ke puncak menara.


Pemeriksaan Keselamatan

Kami dikehendaki berada di tempat beratur untuk masuk ke ruang menunggu 15 minit sebelum 5.30 pm. Sebelum masuk, pemeriksaan keselamatan dikenakan. Semua beg, wallet, handphone, kunci, dan barangan yang ada dalam poket perlu diletakkan di dalam bekas yang disediakan untuk diimbas. Body checking juga dilakukan. Proses yang sama semasa di airport untuk menaiki kapal terbang. Semua beg perlu diserahkan di kaunter yang disediakan. Selepas masuk ke ruang menunggu, pas masuk dan taklimat keselamatan diberikan.




Menaiki Lif

Kami menaiki lif untuk ke tingkat 41 dimana sky bridge berada. Dalam lif tidak nampak bahagian luar. Hanya gambaran simulator dan muzik yang menenangkan sahaja. Ini amat penting untuk psikologi bagi yang takut kepada kelajuan dan ketinggian. Kelajuan lif adalah 4-5 m/s. Kami dibenarkan untuk berada di Skybridge selama 10 minit sahaja sebelum bertukar lif untuk ke tingkat 83. Apabila di tingkat 83 kami menukar lif sekali lagi untuk ke tingkat 86.


SkyBridge

Masa yang diperuntukkan untuk berada di skybridge hanyalah sekitar 10 minit. Taklimat diberikan berkenaan skybridge. Rasa sangat teruja. Skybridge ini mempunyai ketinggian 170 meter dari aras tanah, 58.4 meter panjang dan beratnya mencapai 750 tan. Ianya adalah 2 tingkat. Bahagian bawah untuk tujuan kunjungan dan bahagian atas khas untuk kegunaan staff Petronas. Skybridge ini terletak di tingkat 41 dan 42 bangunan. Skybridge ini diperkukuhkan lagi dengan 2 kaki sokongan berkembar yang terletak di bawah jambatan. Panjang setiap satu kaki adalah 51 meter dari ia dihubungkan daripada jambatan sehingga dipasakkan di sebuah bebola keluli besar di tingkat 29 pada setiap bangunan. Bebola keluli ini bertujuan untuk mengawal ayunan jambatan daripada tiupan angin. Skybridge ini tidak sepenuhnya melekat pada bahagian bangunan. Terdapat satu ruang antara jambatan dan bangunan. Apabila diletakkan tangan di celah-celah lapisan antara bangunan dan jambatan akan terasa sedikit udara panas yang datang daripada luar. Pemandangan daripada skybridge ini sungguh cantik.




Tingkat 83 dan 86

Kami transit di tingkat 83 untuk menukar lif  ke tingkat 86. Tingkat 86 ini juga dikenali sebagai observation deck. Masa yang diperuntukkan di sini adalah sekitar 15-20 minit. Buka sahaja pintu lif dan melihat ke bahagian kiri terus sahaja nampak Menara 1. Subahanallah pemandangan yang cukup menakjubkan. Tidak pernah terfikir dapat melihat pemandangan seperti ini. Alhamdulillah juga setibanya kami di sini cuaca sangat baik. Nampak kawasan hujan yang berada berdekatan dengan menara. Nampak juga kilat yang menyambar berdekatan dengan menara. Kata seorang staff di sana kalau kilat menyambar bangunan, bangunan terasa sedikit bergegar. Daripada tingkat 86 ini tidak boleh nampak Skybridge. Pemandangan kuala lumpur yang menakjubkan dapat dilihat daripada pelbagai sudut. Seorang staff di sana memberitahu kami pada hari ini ramai pengunjung daripada Malaysia sendiri datang ke sini. Katanya lagi cuaca hari ini baik, kalau hujan atau jerebu memang tidak akan nampak apa-apa, walaupun menara sebelah. “kita jual pemandangan di sini” kata seorang staff. Saya sengaja menyapa, seronoklah dapat kerja di sini, hari-hari dapat melihat pemandangan cantik. Seperti biasa, mereka akan buat muka boring.









Tingkat 83

Sebelum turun kami dibawa dahulu ke tingkat 83. Di sini adalah ruang untuk menunggu lif yang akan terus sampai ke ground floor. Tidak singgah di tingkat 41 lagi.  Terdapat ruang untuk berehat di sini sementara menunggu.

Ground Floor


Sampai sahaja di sini kami mengambil beg dan secara sukarela mengisi borang maklum balas terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Sangat indah pemandangan yang ada di observation deck. Ianya menjadi lebih menarik kerana kita akan dapat lihat sebuah bangunan yang sama seperti mana kita berada sebab ianya adalah bangunan berkembar. Itu yang menjadikan pemandangannya lebih menarik. Menara Berkembar Petronas ini disifatkan sebagai simbol permulaan bagi usaha futuristik Malaysia. Menara ini juga menjadi lambang bagi cita-cita tinggi Malaysia untuk menjadi negara maju.

“As an internationaly recognized national landmark, the PETRONAS Twin Towers are a national pride to the people of Malaysia. They symbolize the courage, ingenuity, initiative and determination, energy, confidence, optimism advancement and zest of a nation that will bring worldwide recognition and respect to all Malaysians” - Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Fourth Prime Minister of Malaysia.

4 comments:

  1. Memang teringin nak g atas nieh tp selame ni mgg tak tahu cara nak naik ke atas. Klu ade kwn ingin jugak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena naik sekali. Sangat cantik pemandangannya. Jangan pergi musim hujan/jerebu. Takut tak nampak apa-apa pemandangan. hehe.

      Delete
  2. Super blog and very interesting information which I always wanted to search many article but you article is really fantastic.
    Petronas twin towers entrance ticket

    ReplyDelete
  3. tahun 2018 ni masih boleh naik lagi ke?
    dengar cite boleh naik smpai sky bridge je, btul ke?
    teringin jgak naik act hehe
    bape ticket skrg erk

    ReplyDelete