Ads

Career Fair USM 2015

Pada 18/3/2015 yang lalu kami dijemput untuk menyertai career fair di USM Kampus Engineering melalui kelab IEM UTeM. IEM UTeM telah membuka pendaftaran untuk penyertaan beberapa bulan sebelum tarikh berlangsungnya program. Hanya saya seorang pelajar lelaki Melayu yang pergi ke Program tersebut. Tidak tahu kenapa ramai yang tidak mendaftar dan terpilih untuk menghadiri program yang cukup bermanfaat ini.

Setibanya di sana saya cukup kagum dengan persediaan pihak USM menjalankan program ini. Mereka yang melaksanakan program ini hanyalah daripada golongan pelajar sahaja. Pelbagai Syarikat yang berkaitan industri menyertai program ini. Program ini Nampak begitu gah dengan kehadiran beberapa syarikat besar seperti Bosh, Sandisk, Syarikat Pembenaan YTL, Toyota, Honda, Schlumberger dan banyak lagi.

Banyak peluang yang ditawarkan berpusat di Utara Tanah Air seperti di Penang dan Kulim kerana lokasi USM Kampus Engineering itu sendiri berada di Utara. Saya pergi ke sana tanpa kawan-kawan Melayu. Apabila masuk sahaja ke dewan pameran saya menjadi mati kutu. Inilah kali pertama saya hadir ke acara seperti ini. Banyak persoalan yang saya fikir. Takut tersalah cakap, pihak industri melihat kita tidak professional dan menjejaskan peluang.

Di sana saya berkenalan dengan pelajar daripada Yaman dan Syria yang juga datang daripada UTeM. Kami menaiki bas yang sama. Hanya menyapa di Kampus USM sahaja. Mohamed, Zakaria, Abu dan Hadi. Tubuh mereka hanya kecil-kecil sahaja. Tidak seperti orang arab yang lain. Mereka mencari peluang untuk internship. Mereka tidak mahu kembali ke Yaman dan Syria untuk melakukan internship.

Pada mulanya saya hanya mengikut mereka untuk mencari kekuatan dan suasana. Lama kelamaan mereka hilang dan saya membawa diri kerana rasa lebih yakin dan tidak terikat. Mulanya saya hanya menghadiri taklimat yang dihadiri oleh ramai pelajar di booth syarikat. Selepas itu saya bergerak seorang diri untuk mendapatkan informasi yang lebih.

Saya bersembang dengan banyak syarikat untuk mengetahui latar belakang mereka. Saya juga bersembang dengan mereka tentang subjek yang saya belajar dan peluang untuk saya bekerja bersama syarikat mereka. Memang subjek yang saya ambil diketahui oleh banyak syarikat. Terutamanya syarikat daripada Jepun. Projek akhir saya berkaitan Productivity Improvement by Using Lean & Six Sigma Approach. Lean itu sendiri diperkenalkan oleh Toyota.

Apa yang saya pelik mereka tidak langsung tanya, berapa pointer yang saya perolehi. Mereka hanya tanya berkaitan apa bidang saya dan apa yang saya belajar. Tidak ada satu syarikat sekalipun yang tanya soalan seperti berapa pointer awak? Maaflah kita hanya mengambil pointer yang begini sahaja. Tidak ada. Apa yang saya nampak mereka hanya bersembang dan memerhatikan bagaimana cara kita berkomunikasi.

Saya bertanya kepada seorang wakil di booth syarikat Toyota, dan menerangkan subjek yang saya ambil berkaitan Lean Manufacturing. Apakah ada kelebihan di sini. Mereka kata ya, semestinya. Saya bersembang lebih jauh berkaitan aktiviti yang mereka lakukan semasa kerja, sistem management, peluang yang ditawarkan. Saya tidak bertanya tentang gaji. Hanya membiarkan pihak mereka memberitahu dahulu.

Walaupun Gaji yang mereka tawarkan hanya biasa sahaja untuk fresh graduate tetapi saya berasa ada sesuatu kelainan disini. Sistem management mereka yang begitu effisien dan pelbagai program yang dapat kita belajar secara praktikal. Insya Allah semoga Allah rezekikan saya disini.

Saya terus pusing di dalam dewan dan bersembang. Mereka langsung tidak bertanya soal pointer yang diperolehi. Soalan yang selalu mereka tanya, Ambil kos apa, tahap pendidikan dan bercerita panjang tentang syarikat mereka. Saya menghadiri talk yang dikendalikan oleh pihak JobStreet. Dalam talk tersebut mereka menyimpulkan perkara yang paling terpenting untuk sesuatu syarikat mengambil pekerja adalah attitude dan behavior seseorang. Kata mereka pencapaian Akademik jatuh pada kedudukan kedua.

Mereka juga ada memberikan taklimat berkaitan cara untuk membuat resume. Saya bertanya kepada pihak mereka, sekiranya saya adalah seorang pelajar Asasi, tidak mempunyai banyak pengalaman yang berkaitan industri, bolehkan saya meletakkan pengalaman kerja yang tidak berkaitan seperti kerja pasaraya dalam resume? Mereka menjawab ya. Perlu diletakkan supaya pihak industri tahu latar belakang dan watak mereka yang mohon pekerjaan.

Banyak pengetahuan yang diperolehi daripada program ini. Kami pulang ke UTeM pada sebelah petang.




No comments:

Post a Comment