Saya ditugaskan untuk mengeliling kilang dan mencari masalah
semasa menjalani praktikal. Setelah puas berpusing satu kilang selalunya saya
akan singgah di pondok jaga kilang untuk bersembang dan bertanya khabar dengan
abang Is. Abang Iskandar sudah bekerja 2 tahun disini. Saya selesa berbual
dengannya kerana dia mempunyai fikiran yang agak terbuka dan boleh bercerita.
Banyak perkara berkaitan sosial dan personal di kilang saya perolehi daripada
pondok jaga ini.
Katanya pondok jaga disini sudah menjadi seperti tempat
aduan orang ramai. Sesiapa sahaja kalau ada masa lapang akan datang dan
bersembang dengan abang Is. Hari cuti sekalipun masih ada pekerja yang datang
untuk bersembang dengannya atau menggunakan akses internet di sekitar kilang.
Saya berminat untuk mengetahui latar belakang keluarganya.
Dia mempunyai sebuah Pajero, Satria dan Proton Preve. Motornya juga kelihatan
agak canggih. Seorang jaga yang paling kaya yang pernah saya jumpa. Kalau
difikirkan logik mana mungkin seorang jaga kilang mampu mempunyai aset seperti
ini. Rupanya dia berasal daripada keluarga yang agak senang dan mempunyai
kebun.
Abang Is sedang menghitung hari untuk menunggu kelahiran
anak sulungnya. Sudah 3 tahun berkahwin. Dia agak teruja menceritakan kondisi
isterinya yang bakal melahirkan anak. Dia juga menceritakan segala persiapan
yang dibuat untuk menyambut kelahiran. Wajah gembira bakal seorang bapa
terpapar.
Ketika bulan puasa lepas dia ada bertanya saya berapa lama
cuti. Saya menjawab terpulang kepada boss. Mungkin seminggu. Dia mengangguk. Katanya
sudah 2 tahun abang raya di kilang. Tapi kali ini abang mahu minta cuti 2 hari.
Isteri abang boleh sakit dan melahirkan anak pada bila-bila masa sahaja
menjelang syawal ini.
Abang raya di kilang. Bilik jaga ni dah macam rumah abang.
Hari raya paginya abang balik sekejap rumah tukar baju melayu dan pergi solat.
Selepas solat abang datang balik sini dengan berbaju raya. Isteri abang juga
datang sekali raya di pondok jaga ini. Abang bawa sekali meja dan kerusi sebab
ada kawan abang yang mahu datang beraya di pondok jaga ini. Disini sajalah
mereka boleh cari abang.
Kadang-kadang abang
lari sekejap pergi beraya. Tinggal sekejap kilang. Lepas tu abang balik lagi
sekejap, dan keluar lagi. Macam itulah raya abang disini.
No comments:
Post a Comment