Ads

MH 370


Masih misteri. Sudah hari ketujuh belum menunjukkan apa-apa kesan. Sebuah pesawat yang besar dan canggih, dinaiki oleh 239 orang manusia hilang begitu sahaja. Tanpa meninggalkan apa-apa isyarat. Banyak teori yang di timbulkan oleh pakar seperti teori rampasan kapal terbang, letupan, terhempas, bunian dan pelbagai lagi teori yang dikemukakan. Usaha mencari masih diteruskan. Segala teknologi yang canggih dikerah. Daripada teknologi yang ada di laut hingga teknologi yang ada di angkasa lepas semuanya dikerah untuk mencari sebuah pesawat yang hilang. Kita selalunya terpesona dengan kecanggihan teknologi, tetapi hari ini kita dapat melihat teknologi yang masih buntu. 

Media massa amat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat. Kewujudan media sosial merancakkan lagi pelbagai spekulasi. Ramai juga yang mahu menjadi pakar dengan mengemukanan teori sendiri tanpa ada sebarang kajian. Lebih parah ada yang tidak langsung mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa. Mereka semborono sahaja mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga manusia yang datang untuk membantu. Mereka menggunakan cara masing-masing mengikut kepercayaan. Seorang bomoh yang menggelarkan dirinya “bomoh VIP” yang saya kira secara tidak langsung telah memalukan Agama, Bangsa dan Negara dengan tindakan bodohnya yang dikatakan mampu melihat dimana kapal terbang itu berada hanya dengan menggunakan tikar, buah kelapa, raga, tongkat, bubu ikan dan beberapa alatan lain yang mengarut. Bagaimana manusia seperti ini boleh mendapat liputan yang meluas. Berdasarkan percakapan beliau sudah boleh nampak ketidakcerdikan yang ada pada “bomoh VIP” ini. Sekiranya kaedah ini berjaya apa guna teknologi yang dibina manusia itu.

Media asing juga memberikan tumpuan kepada isu besar ini. Media daripada barat terutamanya memainkan peranan untuk menghentam Negara ini. Mereka cuba untuk mengangkat isu yang sensasi dalam kes ini seperti kes kehilangan passport berbanding melaporkan proses pencarian. Negara seharusnya berjaga-jaga kerana pada masa ini adalah masa yang terbaik untuk mereka menyelit masuk ke dalam Negara dan melakukan huru hara pada saat mata seluruh dunia tertumpu kepada kehilangan pesawat ini.

Insiden kali ini cukup menyentuh hati. Entah kenapa, rasa sebak dan begitu kasihan terhadap nasib penumpang yang masih belum diketahui statusnya. Dalam beberapa siri kecelakaan sebelum ini semuanya agak kurang menjadi perhatian saya. Tetapi kali ini ianya cukup membuatkan hati sebak.

Apa yang mampu kita lakukan sebagai orang biasa yang tidak punyai apa-apa kemampuan hanyalah berdoa. Hari ini negara yang kita cintai ini diuji oleh Allah. Kapal terbang milik Negara hilang, jerebu yang sampai tahap kritikal, kemarau, dan masalah kekurangan bekalan air. Mungkin Allah rindu kepada doa kita. Dia wujudkan ini semua supaya kita bersatu hati untuk berdoa kepadaNya.

MH 370 I love you, We love you 

No comments:

Post a Comment