Ads

Semester 6

Semester 6, Secara tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut. Terus diterjah dengan pelbagai perkara yang membuatkan kepala ini pening sebelum memulakan semester. Sebelum ini apabila naik sahaja ke semester baru semuanya seakan-akan baru. Semangat, fikiran, fokus semuanya telah di set baru. Tapi semester ini lain sedikit. Kerja-kerja yang tertangguh dan dirancang pada semester lepas hanya menunggu masa untuk diselesaikan pada semester ini.  

Saya tidak mahu menjadi orang yang terlalu sibuk, sibuk dengan diri sendiri. Pernah terdengar suatu kata-kata daripada seseorang, katanya apabila kita menguruskan masa dengan baik tidak ada istilah sibuk dalam kehidupan kita. Sebenarnya adalah tentang bagaimana cara kita menguruskan masa.

Ada seorang rakan yang membuatkan saya begitu memandang tinggi kepadanya dengan gaya dia bekerja. Dia tidak bercakap banyak, hanya senyum. Apabila bekerja dengannya tidak rasa tekanan.  Hanya bertanya semuanya ok? Sambil tersenyum. Orangnya tidak banyak songeh. Dia tidak banyak bercakap tentang orang lain. Hanya bercakap dengan idea dan apa yang perlu dilaksana. Dia tidak banyak bercerita kepada orang lain tentang apa yang dilakukannya. Orang akhirnya mengenali dia dengan hasil kerja dan penciptaan produknya.

Daripada sini saya belajar untuk melakukan kerja hanya dengan senyap dan biarlah diri diingati dengan pencapaian. Bukan sekadar cerita kosong yang sedap dibicara tetapi isinya kosong. Dia membuatkan saya berfikir jauh. Apalah guna apabila banyak sekali bicara tetapi hasilnya sekadar tin yang kosong apabila diketuk bunyinya amat kuat, tetapi isinya kosong.

Ya, saya sedar masa untuk membina diri dan menimba pengalaman semakin lama semakin suntuk, sebelum sesuatu yang baru datang yang memerlukan kita menggunakan segala pengalaman dan kemahiran itu. Perlunya kita belajar bagaimanakah cara untuk menguruskan sesuatu dalam masa yang sama pelbagai masalah perlu diselesaikan. Mungkin cara pembelajaran seseorang itu berbeza, tetapi matlamatnya tetap juga sama.

Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Hanya berusaha yang terbaik. Insya Allah Allah akan berikan yang terbaik juga. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang sentiasa berdoa, mengadu dan berusaha kepadanya.

Kemahsyuran, ketinggian kedudukan seseorang bukanlah diukur oleh manusia. Allah jua yang menentukan hina atau mulianya seseorang. Mengharapkan sesuatu daripada manusia hanya akan menyakitkan hati. Begitulah selalunya. Apa yang penting cuba ikhlas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.  


Semoga diberikan kekuatan

No comments:

Post a Comment