Ads

Memiliki

Manusia, kehidupan manusia secara fitrah diciptakan memerlukan orang lain untuk melengkapi hidupnya. Begitu juga dengan ciptaan lain, antaranya seperti arus elektrik yang mempunyai cas positif dan negatif. Apabila digabungkan menjadi arus yang neutral. Adanya sakit, muncul ubat yang menyembuhkan, selain tua dan kematian. Ironinya setiap yang diciptakan pasti akan ada kelemahan dan kelemahan itu dapat ditampung dengan penciptaan pasangan untuk saling melengkapi. Kehidupan ini semuanya berpasangan dan memerlukan.

Kisah Adam dan Hawa. Adam merupakan manusia pertama yang diciptakan Allah S.W.T. Allah meletakkan Adam di sebuah tempat yang cukup indah, bukan calang tempat. Syurga, ya… syurga. Tetapi ada sesuatu yang masih kurang, walaupun menetap di sebuah tempat yang paling indah. Adam tetap merasa kesunyian. Lalu Allah menjadikan Hawa sebagai pasangan Adam di syurga sebagai peneman. Itulah kehidupan manusia yang serba lemah, memerlukan pasangan dalam urusan seharian.

Tugas manusia hanya berusaha mencari yang terbaik. Siapakah dia yang benar-benar sesuai untuk dijadikan sebagai peneman dikala susah atau senang. Pelbagai ranjau dan liku perlu dihadapi untuk menjumpai seseorang yang sesuai. Kadang kala dengan ujian ini Allah melatih kita untuk menjadi seorang manusia yang kuat dan lebih bijak untuk menilai. Masa hadapan siapa yang tahu. Jodoh pertemuan, ajal, maut semuanya ditangan Allah S.W.T. Tugas kita hanya berusaha melakukan yang terbaik.

Semua yang ada dalam dunia ini hanyalah pinjaman Allah semata-mata. Manusia begitu lemah untuk memiliki sesuatu tanpa izinNya. Walaupun dapat memiliki, ianya tidak pernah kekal. Biarpun betapa agungnya sebuah cinta pasti akan ada detik perpisahan. Paling akhir berakhir dengan kematian. Satu contoh cinta agung. Cinta seorang ibu kepada anaknya yang begitu mendalam. Hingga suatu masa si ibu terpaksa melepaskan anak kesayangannya meredah lautan kehidupan yang ganas bergelora.

Bukti cinta si ibu. Si ibu tidak melepaskan anaknya begitu sahaja untuk terjun kedalam keganasan ombak kehidupan. Dia sedar akan hakikat masa hadapan anaknya. Dia tidak boleh selamanya berada di sisi anaknya. Dengan kasih sayang dia mempersiapkan anaknya supaya benar-benar bersedia untuk mengemudi kapal mengharungi keganasan ombak. Setiap gerak geri anaknya sentiasa bersama doa. Walaupun  anaknya dilepaskan, si ibu tetap menjadi penasihat yang paling setia dan benar-benar ikhlas.

Dalam kehidupan ini manusia benar-benar lemah untuk memiliki sesuatu. Mengapa? Diri sendiri juga Allah yang memiliki. Tika hati bertaut kepada sesuatu, rasa sayang datang mengisi ruang hati. Jadi apa tindakan yang perlu dibuat? Seorang manusia tidak boleh mengarahkan seorang yang lain untuk akur kepada kemahuannya tanpa sebarang ikatan. Mungkin sahaja boleh, tetapi dengan faktor masa segala hipokrit pasti tak akan dapat disembunyikan lagi. Mungkin atas faktor materialistik seseorang boleh akur, tetapi kena ada ganjaran yang sentiasa lumayan. Dalam mencari kebahagiaan, tiada ganjaran yang sentiasa lumayan.

Bukti sayang tidak hanya melalui percakapan. Ia boleh jadi melalui perbuatan dan ia boleh dirasai oleh hati kecil manusia. Mulut sering sahaja menipu dengan keindahan kata, tetapi perbuatan menunjukkan apa sebenarnya yang yang ada dalam hati, ia sentiasa penuh dengan harapan. Manusia diciptakan dengan naluri. Daripada naluri ini boleh dibuat satu kesimpulan berdasarkan tindak tanduk seseorang. Sayang tak semestinya mengikat. Sayang tak semestinya mengongkong. Hakikat sayang adalah tidak rela membiarkan orang yang kita sayang terseksa dengan aturan dan kemahuan kita tanpa ada satu alasan yang munasabah. Allah kan ada, serahkan kepada Allah untuk menjaga. Hakikat sayang juga tidak rela membiarkan orang yang kita sayang berada dalam kemurkaan Allah. =)

Setiap hari berdoa kepada Allah supaya orang yang disayangi sentiasa bahagia. Bahagialah walaupun mungkin bukan ditakdirkan untuk diri memilikinya. Allah jua yang maha mengetahui kerana dia yang Maha Pemelihara. Allah memiliki dan juga memelihara setiap mahkluk ciptaannya. Kita, sebagai hamba hanya boleh memiliki dengan sementara tetapi tidak ada kudrat untuk memelihara.     

Aku berserah kepadaMu Tuhan, Jagalah dia untukku. Aku sedar, hari ini aku tiada apa-apa hak untuk memiliki. Jadikanlah aku orang yang kuat untuk menerima ketentuanMu. Jagalah dia untuk ku. Andai rindu, aku mengadu kepadaMu kerana engkau sang pemilik segala hati…


No comments:

Post a Comment