Kesibukan minggu peperiksaan membuatkan hati tidak tenang
untuk melakukan banyak aktiviti lazim harian. Segala isu-isu semasa agak
outdated dan tidak sempat untuk di update. Malam tahun baru, Keluar makan
bersama seorang rakan. Dan bersembang sesuatu tentang tahun baru.
Bad, esok umur hang berapa ?
24, haha.
Itu tak pa lagi, Wan 25, Yamin 26, EJ 26, Fendi 27. Hahaha
Uish, tudia. Dah lewat 20-an tu. Hahaha.
Malam tahun baru diseling dengan ketawa besar tentang
pertambahan umur.
Tak sangka, pejam celik, ketawa, sakit hati selama ini
adalah masa yang telah berlalu. Tanpa disedari, majoriti rakan-rakan baik saya sudah
menjangkau usia 25 tahun. Tempoh yang agak matang untuk membina sebuah
kehidupan yang baru.
Belajar di universiti pun ada satu tahun setengah lagi. Dulu
masa mula-mula masuk universiti, muka masing-masing macam budak lagi, sekarang
sudah berjambang belaka. Hahaha. Sungguh pantas semua ini terjadi. Masa terus
berjalan meninggalkan yang leka. Tubuh badan juga tidak pernah leka untuk
membesar menjadi seorang dewasa. Tetapi tidak pasti adakah akal fikiran juga
menuruti perkara yang sama.
Belajar mengenali manusia ada kalanya membuatkan saya
tersenyum. Ada juga yang membuatkan hati sungguh panas. Inilah pengalaman yang
mendewasakan. Apa yang penting peribadi diri mesti kuat untuk menahan diri
daripada terbabas melakukan perkara tidak sepatutnya. Macam-macam projek juga
yang perlu dirancang untuk mengenali erti sebuah kehidupan.
Hari ini saya belajar sesuatu yang penting. Tanggungjawab.
Kalau tidak dilaksanakan, siapa lagi yang mahu laksanakan. Pertambahan umur
diiringi tanggungjawab. Manusia silih berganti memikul tugasan. Yang lama pergi
meninggalkan buat selama-lamanya. Yang baru perlu membesar dengan baik dengan
bimbingan orang besar yang masih hidup.
Apapun inilah nikmat Allah yang sangat besar. Kesempatan untuk
hidup lagi. Alhamdulillah. Semoga diri ini tidak terus lalai.
31 Disember 2013
No comments:
Post a Comment