Ads

Budi

Tinggi rendah darjat seseorang dapat dilihat melalui budi yang diberikan kepada orang lain. Semakin banyak menanam budi, kedudukan dan kehormatan seseorang di masyarakat akan semakin tinggi.  Berbudi tidak hanya dalam bentuk pemberian material, tetapi juga berbentuk bantuan tenaga, pemikiran, serta perlakuan dan kata-kata yang sopan dan halus.

Hari ini saya percaya, bukan mudah untuk berbudi apabila hanya melibatkan satu pihak sahaja. Pepatah Melayu, yang tua dihormati, yang muda disayangi. Untuk melahirkan masyarakat yang bertoleransi, yang tua perlu menyanyangi yang muda, sebagai balasan, yang muda pula perlu menghormati yang tua pula. Begitu juga sebaliknya. Masing-masing perlu menghargai satu sama lain.

Budi yang baik perlu ditanam sejak daripada kecil. Ia tidak akan terjadi sendiri, untuk melahirkan keperibadian yang baik. Membentuk masyarakat yang baik perlu bermula daripada awal. Ia memerlukan usaha jangka panjang dan berterusan. Kita amat beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Melayu. Apabila disebut Melayu pastinya agama yang dianuti adalah Islam.

Agama islam amat menitik berat soal akhlak. Imam Al Gazali menyatakan bahwa akhlak adalah perangai yang melekat pada diri seseorang yang dapat melahirkan perbuatan baik tanpa mempertimbangkan fikiran terlebih dahulu. Perangai sendiri sebagai suatu sifat dan watak yang dibawa seseorang. Akhlak yang baik amat ditekankan dalam Islam, seperti menghormati orang lain, haiwan dan alam sekitar.

Sebuah persoalan, mengapa orang bukan islam lebih baik wataknya daripada orang islam? Puas juga saya mencari jawapannya. Dan saya temukan jawapannya di sebuah penulisan ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Ini kerana, budaya bangsa atau tabiat baik individunya tetap dipelihara melalui kaedah penyuburan rasa cinta kepada nilai-nilai tradisi dan pengamalan disiplin hidup yang tinggi sejak kecil lagi, sama ada di dalam keluarga, sekolah-sekolah, organisasi atau masyarakat. Kebaikan orang bukan Islam hanya disebabkan kecintaan terhadap budaya mereka yang mampu dipertahankan hingga setakat ini.

Mereka menjadi baik kerana budaya yang mereka pegang sejak dari dahulu, dan mereka bangga dengannya. Akan tetapi itulah aturan ciptaan manusia. Ia tidak menyeluruh. Masyarakat Jepun terkenal dengan sikap rajin dan menghormati orang lain, tetapi mereka mempunyai spiritual yang rendah, seperti kadar bunuh diri yang tinggi.

Kata HAMKA. Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkahlaku dan akal budinya.

No comments:

Post a Comment