Ads

Pengkritik

Untuk membangunkan sesebuah organisasi kritikan yang membina amat perlu untuk membaiki segala kesalahan yang dibuat. Pada saya kritikan terbahagi kepada dua. Yang pertama adalah kritikan yang membina. Ia dilontarkan dengan hati yang ikhlas untuk melihat perubahan yang baik dan yang kedua adalah kritikan yang berniat jahat untuk menghasut orang lain menyebelahinya untuk menentang sesuatu perkara.

Apa yang saya lihat, kritikan yang membina tidak dibuat secara keterlaluan. Ia tidak dilontar dengan emosi. Sebaliknya ada fakta dan logik yang kuat kenapa sesuatu perkara perlu diperbaiki. Kritikan yang baik bukan hanya ikut cakap orang sama seperti lalang. Kritikan ini untuk mengajak orang lain berfikir dan menyelesaikan masalah. Ia bukan menyemai kebencian kepada pihak yang melaksana. Si pengkritik seharusnya perlu mempunyai cita-cita tinggi untuk membetulkan perkara yang tidak baik.

Kritikan yang buruk pula sekadar menghasut orang lain. Sembang dengan hanya apa yang terlintas dalam fikiran pada masa itu sahaja. Di kedai kopi. Ia tidak disertai dengan kajian, sebaliknya bersumberkan sesuatu yang berat sebelah dan andaian sendiri. Sesiapa juga boleh membuat andaian. Untuk menjadi seorang yang berfikiran positif pun banyak perkara yang perlu dilakukan dengan cara banyak membaca bahan ilmiah dan juga menjaga disiplin diri dengan baik. Kritikan ini tidak fokus kepada isu yang dibincang, sebaliknya ia merebak jauh menyentuh peribadi si pelaksana.

Semua orang boleh mengkritik, tetapi tidak semua orang boleh memberi penyelesaian kepada masalah yang terjadi. Mulut amat ringan untuk berkata-kata, tetapi berat sungguh badan untuk bergerak dengan apa yang dikata. Selalunya orang yang hanya tahu mengkritik tanpa berusaha hanya mahu orang lain melakukan perubahan untuknya. Dia tidak pernah fikir bagaimana dirinya boleh mengubah sesuatu perkara walaupun dengan perkara yang kecil.


Mengkritik tidak salah tetapi biarlah ada kesan yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat. Bukan hanya suara didalam selimut apabila dibuka selimut terus kecut untuk berkata-kata. 

No comments:

Post a Comment