Ads

Konvokesyen 9

Setelah 3 tahun menjejakkan kaki ke UTeM ini. Tetapi ini adalah kali pertama saya terlibat secara langsung dengan majlis gilang gemilang Universiti ini. Sebelum ini tidak langsung tertarik dengan majlis tahunan ini sehinggalah ada komitmen yang perlu diberi untuk menjayakan majlis tahun ini.

Banyak peristiwa yang terjadi. Kebanyakannya adalah peristiwa yang menggembirakan. Seronok melihat rakan-rakan senior datang dengan berpakaian kemas. Blazer, seluar slack hitam, kasut yang berkilat dan rambut disisir dengan rapi. Ada juga yang datang dengan memakai baju melayu. Sungguh tinggi adab Melayu ini.

Ramai rakan-rakan senior yang saya kenal dahulunya menjadi pemimpin persatuan. Daripada sana saya mula mengenali mereka. Dan daripada situ juga keakraban dibina. Dahulu sama-sama bekerja untuk memajukan persatuan, tetapi hari ini saya melihat mereka dengan pandangan yang begitu tinggi sekali terhadap kejayaan yang mereka perolehi.

Pesta konvo ini juga mengingatkan saya kepada suatu ketika dahulu dimana sewaktu kami adik beradik kecil, kami menghadiri majlis konvokesyen ayah di UPSI. Pada masa itu saya tidak tahu apa pun, yang saya tahu ayah diraikan dengan kejayaannya. Ada bunga dan Ibu yang sentiasa di sisinya. Hari ini saya merasai keperitan untuk berjaya seperti ayah.

Sempat juga berbual dengan pengalaman-pengalaman rakan-rakan senior ini. Ada yang telah berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik dan ada juga yang masih tercari-cari. Banyak cerita yang diperolehi daripada situasi mereka di interview, perasaan mereka setelah bergraduan, dan soalan yang saya paling gemar sekali untuk bertanya adalah “tak nak sambung belajar ke?”

Masing-masing ada alasan sendiri. Saya lihat bukan bunga yang banyak dapat meraikan, bukan layanan istimewa yang dapat membahagiakan. Tetapi adanya orang yang tersayang disisi sudah cukup buat diri merasi bahagia.


No comments:

Post a Comment