Ads

Ramadhan 2013 : Perjalanan baru

Ramadhan pada kali ini membawa cerita yang berlainan dalam perjalanan hidup. Ia berbeza daripada bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas. Ramadhan pada sebelum ini sungguh berpeluang untuk berpuasa bersama keluarga selama 30 hari penuh. Tetapi pada tahun ini skripnya berbeza. Universiti mengadakan program Amalan kejuruteraan yang membuatkan kami terpaksa berada di Universiti untuk menjalankan praktikal.

Amalan kejuruteraan ini tidaklah menggunakan masa yang banyak untuk dijalankan. Masanya tidak begitu terikat dan tidak lama seperti  waktu kuliah yang biasa. Saya dan beberapa orang rakan merancang untuk memulakan perniagaan menjual air buah di Bazar Ramadhan sekitar.

Pengalaman

Walaupun masih awal dalam perniagaan bazar ini, banyak yang boleh dikongsi bersama. Ia banyak mengajar tentang realiti kehidupan. Semasa belajar, apabila tidak hadir ke kelas, tidaklah nampak sangat kesan jangka pendeknya. Tetapi dalam perniagaan, apabila tidak datang untuk berniaga, kesannya akan dirasasi dengan cepat. Hari pertama ramadhan pada tahun ini juga merupakan hari pertama kami berniaga bazar ramadhan. Semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Seawal jam 4 petang sudah ada yang datang membeli. Pada mulanya yang datang membeli hanya daripada kaum cina. Itu tidak menghairankan. Tidak lama selepas itu datang pula beberapa remaja melayu untuk membeli. Mereka datang dan membisikkan “ ikat tepi ye bang ”. Fahamlah apa maksudnya. Saya menjadi serba salah untuk menjual kerana takut bersubahat dalam melakukan perkara mungkar. Lama selepas itu saya berfikir, kami bukan menjual sesuatu yang tidak baik, tetapi yang menjadi masalahnya adalah penggunaannya ke arah apa.

Mungkin sahaja dengan penjualan ini dapat memberikan tenaga kepada mereka yang membeli untuk beribadat malam, dan mungkin juga akan ada yang menggunakan tenaga hasil daipada makanan itu untuk melakukan rompakan. Saya tidak boleh mengawal apa yang mereka lakukan, tetapi saya boleh mengawal dan menyediakan makanan/minuman yang baik untuk kesihatan dan tenaga. Ia terpulang keapda individu sendiri.

Benarlah kata rasulullah S.A.W  bahawa perniagaan ini merupakan 9/10 daripada punca rezeki. Kini saya telah merasainya. Bukanlah bermaksud perniagaan yang dijalankan ini telah mendapat untung yang besar, tetapi dalam konteks kemampuan untuk menambah baik lagi servis dan kualiti untuk lebih maju kehadapan. Ia tidak terikat kepada sesuatu seperti kerja makan gaji. Dalam perniagaan ini, apabila ada idea yang boleh membawa kepada lebih maju kehadapan, maka dapatlah hasilnya secara terus. Ia menjadi lebih fleksibel dan bergantung kepada diri sendiri. Manfaat penuh dirasai.

Agak beruntung menjadi mahasiswa yang berniaga, selok belok perniagaan dapat diketahui dengan lebih awal. Aspek keusahawanan dapat di praktik. Ianya menjadi lebih realiti. Berniaga bazar ini membuatkan kami lebih kenal dengan kehidupan peniaga. Susah rupanya untuk mencari rezeki. Kami menjadi lebih prihatin dengan masalah sekeliling dan corak kehidupan masyarakat melayu yang berniaga secara kecil-kecilan ini. 

Sokongan daripada rakan siswa juga sentiasa dihargai. Mereka amat menyokong usaha ini.  Ramai yang datang ke gerai untuk memberikan sokongan. Saya fikir cara ini lebih berkesan untuk menunjukkan “kuasa mahasiswa” berbanding turun ke jalan raya untuk merusuh supaya masyarakat “gentar” dengan mereka. Hakikatnya ramai yang begitu menyampah dan menyumpah kepada mereka.

Melayu dan berniaga

Semua yang berniaga di Bazar Ramadhan ini adalah melayu. Saya memerhati mereka, dan melihat perniagaan mereka tidaklah terlalu teruk. Bahkan ada juga pelanggan yang sanggup beratur panjang untuk membeli. Dalam hati bermonolog, macam mana melayu boleh ketinggalan dalam ekonomi sedangkan perniagaan mereka maju?  Saya yakin ada diantara peniaga di sini mendapat untung mencecah ribuan ringgit untuk satu hari. Selepas diperhatikan semula, nampaklah yang melayu ini hanya hebat di pasar-pasar malam, bazar dan kedai-kedai kecil. Sekadar untuk hidup selesa atau cukup makan sahaja. Tidak ramai yang memasarkan produk ke peringkat yang lebih tinggi dan global. Perniagaan taraf kampung yang boleh membawa keselesaan dan terjamin hanya kepada keluarga menjadi pilihan. 

Peniaga cina mendominasi pasaran yang lebih besar. Mereka mengamalkan perniagaan cara moden. Mereka memegang barangan mentah dan barangan asas yang amat penting. Mereka mampu untuk mengawal harga barang. Ini secara tidak langsung mengawal juga peniaga-peniaga melayu di pasar, bazar dan kedai-kedai kecil.

Orang melayu ini dilihat mengamalkan moto yang dipanggil “bolehlah, asalkan cukup makan”, tidak tahu untuk mencari lebih. Mungkin ada yang kata zuhud, zuhud bukan terletak pada harta. Zuhud terletak pada hati. Biar harta berjuta asal ia ditangan, bukan dihati. Harta yang banyak mampu menyumbang kepada agama dengan lebih banyak.

Realiti kehidupan


Mencari rezeki dan berpuasa merupakan sesuatu yang realiti. Sebelum ini ibadah puasa hanya dilaksanakan di rumah, tanpa ada sebarang aktiviti lain. Makan, minum membaca, dan malamnya berbukan puasa. Ia tidak mungkin sama dengan ibadah puasa orang yang bekerja pada siang hari dan beribadat kepada Allah pada malamnya. Ia menjadikan diri lebih bertanggungjawab kepada dunia dan akhirat. Sekiranya tidak bekerja, bagaimana untuk mendapatkan rezeki. Allah Maha Kaya, tetapi dia biarkan kita berusaha untuk mengagihkan rezekinya dengan begitu adil sekali. Siapa berusaha dia dapat.





No comments:

Post a Comment