Ads

Pasar Malam : Tempat mencari pengalaman


Sejak di bangku persekolahan sehinggalah peringkat Universiti perkataan keusahawanan pasti akan terdapat dalam misi atau pelan strategik pusat-pusat pengajian ini. Saya tidak mengerti apa maksudnya keusahawanan yang mereka canangkan. Semasa di bangku sekolah, saya melihat rakan-rakan aktif dalam keusahaawanan. Mereka membuka syarikat dan memajukannya dengan pelbagai cara. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan. Mungkin ini adalah masanya untuk mencuba sendiri. 

Setuju atau tidak sekiranya saya berpendapat pasar malam merupakan nadi ekonomi dan wadah pencarian pengalaman untuk orang-orang melayu khususnya? Tanggapan saya dahulunya melihat pasar malam ini adalah suatu tempat yang lekeh, kurang kebersihan dan melalaikan.

Tetapi apabila melihat daripada perspektif yang berbeza dengan terjun sendiri ke dalam kehidupan sebagai seorang peniaga, saya mengakui pasar malam ini tidaklah seperti yang saya bayangkan dahulu. Sebagai orang yang baru bertatih saya melihat kewujudan pasar malam ini sungguh besar manfaatnya kepada orang-orang baru dalam perniagaan dan kepada ekonomi orang Melayu.

Orang-orang melayu saya percaya tidak ramai yang mampu untuk membuka kedai yang besar, dan membayar sewa tapak yang mahal. Ia mungkin tidak menjadi masalah bagi peniaga Berbangsa Cina. Pasar malam inilah wadah yang ada untuk mencari pengalaman dan berniaga dengan modal yang lebih rendah. Saya ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan atau penganjur dapat menjadikan pasar malam ini sebagai sebuah majlis yang besar, kemas dan selesa. Tandas, surau serta perkara asas lain perlu disediakan.  

Bulan Ramadhan bakal tiba tidak lama lagi, sebelum ini saya dan beberapa orang rakan bercadang untuk melibatkan diri dalam perniagaan pada bulan Ramadhan kali ini. Keputusan dibuat kerana kami mempunyai masa yang banyak setelah berakhirnya praktikal dalaman secara harian di Universiti. Kadang-kadang kami pulang seawal jam 12 tengah hari. Pada petangnya tiada apa yang dibuat. Setiap hari hanya membelanjakan wang sahaja.

Daripada bekerja dengan orang, lebih baik mencuba untuk mengatur perjalanan pendapatan sendiri. Berapa yang bakal diperolehi bukan menjadi matlamat, tetapi kepuasan dan pengalaman yang lebih mahal harganya.

Sebenarnya amat beruntung menjadi Mahasiswa berniaga. Walaupun masih baru dan belum berjaya, ucapan tahniah daripada orang-orang yang lebih tua mencurah-curah. Mereka seakan-akan memandang tinggi aspek keusahawanan ini. Kerajaan juga ada menyediakan kuota khas untuk Mahasiswa berniaga dalam pemberian tapak melalui Fama. Mahu menjadi Mahasiswa yang baik atau sebaliknya itu terpulang kembali kepada individu bagaimana mereka melihat masa hadapan.

Pengalaman 

Pengalaman pertama berniaga begitu mengujakan. Walaupun ada sedikit perasaan gementar, biasalah ini adalah kali pertama. Langkah pertama pasti tiada yang sempurna. Belajar daripada kesilapan dan pengalaman. Kami amat bertuah kerana dapat berjiran dengan 2 orang makcik peniaga lama di sini. Mereka cukup peramah. Kami banyak bertanyakan tentang perjalanan dan situasi disini. Saya suka untuk mengetahui pengalaman makcik berdua itu dalam perniagaan pasar malamya. Alhamdulillah, mereka tidak sedikitpun lokek untuk berkongsi. Sambutan yang menggalakkan diterima membuatkan kami  lebih bersemangat untuk terus berusaha. Daripada sini, banyak ragam kami lihat daripada pelanggan yang datang untuk membeli. Ada yang membeli sebaris air yang kami jual secara serentak, katanya untuk merasa.  Saya yakin mereka bukan “spy” daripada sini kerana datang bersama keluarga.

kepuasan dapat dirasai kerana ini adalah hasil usaha sendiri. Wang dan servis bertukar tangan secara terus. Nampaklah hasilnya dengan nyata sekali.

Melihat kepada situasi, saya berpendapat pasar malam ini tidak melalaikan. Yang lalai adalah peniaga itu sendiri. Waktu solat, kebersihan dan ketertiban merupakan perkara yang penting yang harus dijaga. Itu adalah aspek pengurusan diri sendiri. Mana yang penting haruslah utamakan. Jangan sampai menjadi lalai mengejar dunia.

Semoga dengan usaha ini dapat mematangkan diri dan menjadi lebih realiti dengan apa itu kehidupan.



No comments:

Post a Comment