Ads

Negara orang, pandangan orang

Sudah lama tidak menulis kerana kesibukan tugasan, laptop rosak dan juga daripada kelalaian menguruskan masa dengan baik. Hari ini hati tergerak kembali untuk menulis semula walaupun menggunakan laptop seorang sahabat.

Pada semester ini kumpulan di universiti saya menerima kunjungan pelajar daripada Indonesia. Mereka daripada program exchange student yang dianjur oleh pihak universiti. Pada mulanya kami satu kelas agak janggal untuk bertegur sapa dan bertanyakan khabar, walaupun daripada satu wilayah nusantara. Tetapi lama kelamaan hubungan menjadi semakin erat. Interaksi kepada tugasan yang diberikan membuatkan kami dapat berinteraksi dengan pelajar daripada Indonesia ini secara tidak langsung.

Sebelum meneruskan lagi cerita tentang sahabat Indonesia saya, saya mahu berkongsi suatu soalan yang saya pasti akan tanya kepada pelajar atau warga asing yang saya berinteraksi.

Soalannya adalah how do you think about Malaysia compare to your country? Beberapa semester lepas saya menanyakan soalan ini kepada seorang pelajar universiti ini yang berasal daripada Yaman, Shariff namanya. Pada awal semester yang lalu, soalan yang sama juga saya tanyakan kepada seorang lagi rakan saya yang berasal daripada Arab Saudi. Mahmoud, how do you Think about Malaysia? Kedua-duanya memberikan jawapan yang sama “Ok la” tetapi itu bukan tujuan utama saya bertanyakan soalan. Biasanya saya akan memanjangkan lagi  perbualan  untuk melihat gambaran di negara orang. Mahmoud rumahnya terletak kira-kira 30 minit daripada ka’bah. Dia mengatakan kehidupan di Malaysia ini lebih sederhana, saya bertanyakan lagi kepadanya sederhana yang bagaimana itu? Dia menambah, disini masyarakatnya hidup tidak terlalu bermewahan seperti di Arab dan tidak juga terlalu susah.

Soalan yang sama lagi saya bertanyakan kepada sahabat Indonesia saya, Arwin namanya. Saya bertanyakan bagaimana pendapatnya tentang kuala lumpur. Yang mana lebih besar berbanding Jakarta. Dia mengatakan Jakarta itu lebih besar saiznya tetapi Kuala Lumpur lebih rapi perancangannya. Suatu kelaziman yang berlaku di Indonesia, “Macet” atau dalam erti lain adalah kesesakan jalanraya yang teruk. Dia mengakuinya. Saya melihat dalam wall Facebooknya ada gambar lawatan mereka ke Putrajaya. Pusat pemerintahan Malaysia. Dia menunjukkan kekagumannya kepada Putrajaya dengan membandingkan pusat pemerintahan di Singapura. Katanya di Singapura juga ada sebuah pusat pemerintahan yang semuanya berkumpul satu tempat.

Sepanjang mereka berada disini banyak perkara yang berlaku di Negara Malaysia ini, yang paling besar adalah pilihan raya. Saya yakin mereka memerhati dengan teliti suasana pilihan raya di negara kita. Semasa berjumpa di dalam kelas dia begitu berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sistem pilihan raya dan kerajaan di Negara ini. Pada mulanya saya berfikir pengetahuannya kurang, andaian saya cukuplah sekadar saya menerangkan tentang 222 kerusi parlimen, berapa yang perlu dimenangi untuk menjadi sebuah kerajaan dan siapa melawan siapa.

Tetapi pengetahuannya ternyata lebih luas, dia pula yang memberikan senarai parti komponen yang terdapat dalam Barisan kerajaan dan pembangkang. Saya menerangkan dengan lebih lanjut satu per satu ciri-ciri parti yang ada mewakili kerajaan dan pembangkang. Daripada parti yang mewakili perkauman hingga kepada membawa agenda agama. Tanpa menceritakan dengan lebih lanjut lagi kepadanya, dia memberikan pendapatnya, mengapa parti ini tidak bergabung dengan ini, bagaimana sekarang dia boleh sahaja bergabung dengan parti yang seperti ini? Ini adalah Islam dan itu adalah Islam kenapa ini tidak aja bergabung dengan ini, mereka jugakan sama-sama Melayu. Saya terkelu juga untuk menjawab. Sahabat yang saya yakini neutral ini memberikan pendapatnya.

 Pada fikiran saya, anak muda biasanya beraliran kepada parti pembangkang. Tetapi dia memberikan pendapat yang jauh daripada agakan saya. Saya berkata kepadanya, anak muda disini kebanyakannya menyokong parti pembangkang, saya fikir kamu juga akan mempunyai pendapat seperti mereka. Parti Kerajaan pada hari ini semakin lama menjadi semakin lemah. Saya tidak pasti dengan masa hadapannya.

Dia membalas, saya tahu kebanyakan anak muda disini menyokong pembangkang. Tetapi saya datang dan melihat hasil daripada 55 tahun, apa yang Malaysia sudah ada hasil pemerintahan selama ini.  Jauh  lebih baik daripada Indonesia. Dia berseloroh, jika BN kalah disini hantar aja mereka ke Indonesia menjadi pemerintah disana. Saya dan Arwin ketawa besar. Ternyata dalam ketawa yang besar ini ada sebuah makna dan harapan yang besar kepada saya dan dia.

Daripada sini saya mulai rapat dengan Arwin, kami terus bertukar cerita dan berkongsi informasi. Dia menceritakan keadaan politik di Indonesia. Dia menceritakan kepada saya siapa yang bertanggungawab membawa IMF kepada Indonesia dan kesannya. Antara kesannya adalah projek pembinaan kapal terbang di Indonesia. Dia memberikan perumpamaan Proton kepada saya tentang projek kapat terbang disana. Katanya projek itu disekat oleh IMF. Sekiranya tiada IMF, projek itu akan menjadi seperti Proton mampu membuat keluaran sendiri daripada Negara sendiri. Tetapi sayang, ia disekat kerana bakal bersaing dengan boeing dan lain-lain.

Dia juga meluahkan kekesalannya dengan kekayaan di negaranya yang tidak diselia dengan baik. Pemerintah hanya membolot untung atas angin kepada diri sendiri tanpa mengambil kira kebaikan rakyat. Di Malaysia seperti Proton dan Petronas banyak melakukan perpindahan teknologi daripada syarikat besar dan berpengalaman. Dan akhirnya mampu untuk menjalankan kerja serta mempunyai kepakaran sendiri. Tetapi tidak seperti di negaranya, dia berkata banyak kontrak yang diserahkan kepada pihak luar, Kerajaan hanya mengambil untung sahaja. Hasil mengalir ketangan yang lain, dan tidak mendapat hasil secara maksima. 

Berulang-ulang saya berkata kepadanya sekiranya segala sumber yang ada di Indonesia dimanfaatkan dan diuruskan dengan betul, pasti Indonesia akan menjadi sebuah Negara yang hebat!. Negara Indonesia mempunyai banyak sumber alam melebihi Malaysia, dan juga mempunyai tenaga buruh yang ramai dan murah. Setara ini pun ekonomi Indonesia agak baik, apatah lagi apabila semuanya diuruskan dengan lebih baik.

Saya dan Arwin menjadi rapat kerana pertukaran pendapat dan perkongsian seperti ini. Saya ada membuat satu nota bagaimana Proton ditubuhkan, siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana masa hadapannya dengan merujuk kepada beberapa buah buku.  Tetapi nota itu masih tidak dapat dibentangkan kepadanya lagi kerana kekangan masa. Harap saya dapat berbual lagi dengannya sebelum kepulangannya ke Indonesia pada 21.6.2013 ini. Terima kasih sahabat Indonesia yang baik, kalian banyak membuka minda saya. =)



       

No comments:

Post a Comment