Ads

PRU 13 : Pandangan Peribadi

Anak muda biasanya dikaitkan dengan parti pakatan. Saya lihat kerana majoriti daripada masa harian digunakan untuk melayari internet. Kebanyakan berita daripada diperolehi daripada laman sosial. siapa yang bergantung dengan laman sosial ini akan menyokong parti tersebut.

Orang Tua dengan cara lama, mereka mendapat informasi melalui media massa dan kempen secara fizikal. Siapa yang bergantung kepada media arus perdana mereka akan menyokong barisan. Apabila membandingkan antara berita ini daripada sumber yang berbeza, saya dapati ianya cukup berbeza sama sekali pengisiannya tentang isu yang sama.

Sebagai anak muda pernahkan kita mengkaji tentang bagaimana dasar kerajaan selama ini dilaksanakan. Sebagai contoh isu membasmi kemiskinan. Apakah organisasi yang kita tahu menguruskan masalah ini. Bagaimanakah bentuk bantuan yang diberikan? Dan mengapa ianya tidak Berjaya. Adakah 100% disebabkan rasuah atau bantuan tidak sampai kepada golongan sasar kerana pegawai yang menguruskan bantuan tidak begitu memahami keperluan golongan sasar? maka bantuan yang diberi tidak mencapai kehendak kepada kesusahan yang dihadapi.

Jika kita baca di media sosial mereka akan kata ianya berpunca rasuah dan tidak telus tanpa memikirkan sebab-sebab lain. Jika kita melihat media massa arus perdana, kita dihidangkan dengan kejayaan dasar ini tanpa ada cacat celanya.

Kehidupan sebagai seorang remaja, bangun pagi pukul 11pagi terus menghadap laptop dan disajikan dengan cerita-cerita panas tentang hiburan dan politik semasa. Jiwa muda suka kepada sesuatu yang membangkang walau tanpa ada rasional. Ada yang menjadi keyboard warrior, saya sayang islam, kita sokong parti islam. Bila diajar dengar kuliah yang disampaikan oleh “ ustaz hijau” juga, mereka tidak mahu turut serta. Yang tak berapa nak hijau ni pergi dengan harapan mahu menuntut ilmu. Hakikat dalam media sosial pum pam2 post tentang islam. Macai ini juga yang memeriahkan majlis. Saya teringin juga untuk melihat mulianya akhlak mereka ini di alam realiti untuk mengubah pendirian saya selama ini. Kebanyakannya memberikan saya kata hati, aku rasa aku lagi ok macam ini. Sekarang ini nak pergi masjid tak ada siapa yang nak halang, keselamatan pun terjamin.
Yang menghalang tu adalah hati sebenarnya. Bukan kerajaan.

Saya pernah membantu seorang pensyarah dalam persediaan PhD nya tanpa mengetahui status parti yang disokongnya. Saya menolong dengan ikhlas kerana dia juga adalah naqib usrah saya. Untuk membuat kertas PhD, pastinya memerlukan maklumat yang benar dan fakta. Thesisnya berkaitan tentang dasar-dasar kerajaan selama ini. spt pembasmian kemiskinan, dan kebajikan. Daripada sini secara tidak langsung saya memperolehi maklumat selain daripada media sosial dan media massa arus perdana. Saya melihat daripada perspektif fakta bukan emosi.

Sejak daripada itu saya berusaha mencari maklumat bagaimana cara kerajaan menguruskan Negara pada hari ini dengan fakta yang sahih. Sumber yang ada dalam media sosial dan internet begitu banyak. Tetapi, kesahihannya dan tanggungjawabnya agak kurang dalam wadah ini. Saya membeli buku tentang dasar-dasar perdana menteri sebelum ini, bagaimana Negara kita sebenarnya daripada pandangan penulis yang bebas mengkritik dan memuji, membaca tentang kronologi kejayaan Syed Mokhtar al bukhary dan visi perdana menteri.

Lama saya membaca, timbul pula rasa untuk berinteraksi secara terus dengan mantan perdana menteri kita sebelum ini. Saya mahu membandingkan hasil bacaan dengan realiti tokoh tersebut. Ada satu peluang saya terus mencuba, dan dapat bertemu. Saya melihat tajuk yang diberikan adalah ekonomi. Langsung beliau tidak menyebut tentang politik di Malaysia. Apa yang beliau tulis dalam buku beliau, ternyata benar. Dari sini saya tertarik dengan ketokohan dan profesional pemimpin ini. Ia membuatkan saya lebih lagi untuk mengetahui bagaimana dia melakukannya? Disaat satu dunia mengutuk dasar beliau

Negara kita adalah Negara berbilang kaum dan aman, tidak ada di Negara lain yang stabil seperti ini. Kita memandang tinggi kepada Negara luar yang lebih maju tanpa merujuk kembali kepada keadaan Negara kita. Sebenarnya Negara ini amat bagus dalam menguruskan pelbagai kaum. Ini tidaklah bermakna rapat sehingga boleh tidur sekatil, tetapi cukuplah dengan boleh bertoleransi dan boleh duduk dalam satu meja untuk berbincang. Negara kita mempunyai sebuah model yang tidak dimiliki oleh Negara lain. Kita adalah pencipta model, mana boleh kita samakan dengan Negara maju yang tiada pelbagai kaum.

Siapa yang mahu islam tergadai? Siapa yang mahu islam ditindas? Siapa yang tidak mahu perjuangkan islam? saya yakin tidak ada siapa yang mahu melihat islam dipermainkan. Masing-masing dengan pemahamannya dan sumber pendedahan yang diperolehi. Janganlah kita mengecop seseorang itu musuh islam sedangkan matlamatnya kepada Islam adalah sama, yang lainnya adalah pendedahan dan cara untuk sampai kepada Islam itu.

Zalim, bagaimana yang dikatakan zalim? Saya berpendapat, dalam satu situasi, apabila keluar masjid kasut kita hilang ditengah kepanasan matahari. Ini zalim kan. Mengebom masjid apabila sedang solat juga dikira zalim. Persoalan yang saya tertanya, sejauh mana kezaliman yang dicanang?

Kelantan diakui oleh segelintir orang sebagai negeri serambi mekah. Melihat kepada pembangunan di Kelantan sahaja saya sudah tertanya-tanya bagaimana mereka meletakkan gelaran ini kepada negeri mereka? Kalau kita pergi ke mekah, kren berada diatas kepala, pembangunan sangat pesat. Tetapi Kelantan? Mungkin ada yang melihat daripada perspektif keagamaan dan kerohanian. Di mekah mereka ada kerohanian dan kemajuan. Sekiranya ada seorang jepun datang ke Malaysia untuk mempelajari islam, melihat keadaan Malaysia yang kotor, mundur, dan tidak cekap, berbanding dengan negaranya yang maju puluhan tahun kehadapan, adakah dia tertarik dengan keindahan islam kerana kesalahan masyarakat yang membawa islam, sebelum dia memahami islam yang sebenarnya. sekiranya kelantan membuktikan mereka mampu tadbir dengan keselarian kemajuan dan kemuliaan akhlak, dengan senang-senang orang akan tertarik untuk menyokong kerana percaya dengan kemampuan dan budi pekerti. mahu highway meminta derma atau mencari pelabur?

Saya suka untuk berpegang kepada sesuatu yang realiti dan jelas. Untuk mendapatkan informasi, saya lebih suka dengan membaca daripada sumber yang sahih dan bertanggungjawab, melihat kepada dasar dan masalah yang dihadapi sebelum ini. Setiap yang berlaku pasti ada sebab. Ramai orang yang mengikut kata orang dan info daripada laman sosial. Apabila ditanya kenapa dia jahat. Emm sebab dia jahatlah! Tak guna, rasuah sana sini. Yang rasuah tu mungkin bukan kerajaan, tapi kakitangan kerajaan. Ahh samalah tuu. Bla bla bla tak akan habis.

bagi saya, islam bukan milik parti tertentu. menggunakan nama islam belum tentu dia mengamalkan kehidupan Islam dengan baik. Islam Liberal umpamanya. Di timur tengah, pengikut syiah juga claim mereka sebagai islam yang betul. begitu banyak fahaman yang berlindung belakang nama islam. sampai kita jadi keliru.

Tak akan dengan semudah percaya dengan emosi tanpa ada usaha untuk kaji dan sebab kita terus percaya. Janganlah malas untuk mengkaji, membaca dan melihat realiti. mungkin ada yang akan kata, islam itu kita ada kalanya kena percaya, spt perkara ghaib dll. Itu saya tak dapat nafikan. tapi cuba kita fikir kembali situasi ini seperti itu?

Sebenarnya menjadi penyokong ini lebih berat daripada menjadi penentang.

Ini tidak bermakna menyokong kepada perkara yang buruk. Yang salah tetap salah! Tapi beri peluang untuk berfikir, bukan ketaksuban.
Ini adalah pandangan peribadi saya, sebagai seorang orang muda yang masih mentah.


kita bebas untuk menyokong mana-mana parti, ini adalah hak. tak perlulah nak rasa takut dengan pandangan orang lain sekiranya rasa kita di pihak yang benar.

Sekiranya para pembaca adalah penyokong parti yang membawa kebenaran, yang membawa islam yang mulia ini maka tinggalkanlah komen-komen yang baik bahasa dan pemikirannya untuk saya merenung dan fikirkan. 

No comments:

Post a Comment