Hari ini aku sedar… daripada mimpi yang panjang. Sudah lama
aku dikawal gerak. Dikawal dengan sebuah ideologi dan gaya hidup yang paling
beracun, tetapi dihias indah dengan kesenangan. Aku buta dalam memilih. Aku
khilaf dalam menafsir sesuatu perkara. Sudah lama Tuhan membiarkan aku hanyut bersama
kebodohan yang didokong oleh diriku.
Aku tetap berdoa, walau aku tidak tahu apa yang baik bagi
diriku. Aku hidup dengan telunjuk manusia yang pelbagai. Ada yang menunjuk ke kiri,
ada ke kanan, hatta ada juga yang menunjuk ke bawah, sebuat isyarat “ Mati
sebelum mati”. Dikawal seperti layang-layang yang tidak terputus talinya.
Umur yang dikurnia ini semakin lama semakin bertambah. Tetapi
aku merasa semakin bodoh. Semakin hari aku bertemu dengan pelbagai ragam dan
keindahan dunia. Semakin banyak pula yang melekat dalam hati. Walau dilindung,
ia tetap meresap. Pergolakan jiwa muda dari dalam yang meronta-ronta meminta lagi dan
lagi.
Rupanya, selama ini Tuhan telah lama memberikan isyarat.
Sesuatu yang boleh menjadi suatu titik tolak untuk berubah. Aku mengenali pula
sesuatu yang lain daripada luar sempadan hidupku. Aku melihat dunia ini luas
rupanya. Mengapa aku hanya menjadi layang-layang, dan tidak burung yang bebas
menentukan hala tuju hidupnya sendiri.
Baru aku tahu mindaku ini sempit rupanya, hatiku kecil. Semua
ini kerana aku melihat dengan mata. Bukan dengan hati. Keikhlasan, kebenaran
rupanya luas dan sentiasa tertegak walau sentiasa dijatuhkan. Siapa yang dapat
melawan kuasa Tuhan?
Hari ini masa sudah suntuk lagi untuk aku terkial-kial
mencari dan mengikut telunjuk orang lain. Hayatku ini adalah satu amanah,
mengapa ia perlu dikawal oleh sebenang tali yang sesiapa sahaja boleh
mengawalnya? Bukan kecil hatiku sebenarnya, Biarkan bertatih asalkan langkah
itu yakin dan cermat bagi memastikan jiwa ini merdeka.
Perjuangan yang belum selesai….
Hanya kepada Tuhan aku memohon segala kebaikan…
24/4/13
No comments:
Post a Comment