Ads

Jangan sampai lupa siapa pemimpin sebenar


Pilihan raya membuatkan semua orang tidak senang duduk. Yang paling bersemangat pastinya golongan muda, tambahan pula daripada golongan mahasiswa. Tempiasnya itu membuatkan ramai orang daripada tidak tahu tentang sesuatu yang terjadi, menjadi seorang yang ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi. Silat lidah terjadi, pendapat dilontar hingga kadangkala menimbulkan ketegangan. Tangan laju menulis pendapat dan pantas berkongsi post yang dirasakan menarik perhatian.

 Sebulan sebelum pilihan raya, minda ini nampaknya penuh dengan hujjah, fitnah tanpa disedari, dan pelbagai ideologi untuk mengangkat pemimpin yang dirasakan terbaik untuk memerintah Negara. Saya juga turut tidak ketinggalan dalam “pesta” ini. Perasaan berkobar-kobar ingin juga membantu parti yang dirasakan dapat membawa kepada kebaikan.

Semuanya tegang, hingga tanpa disedari kata-kata makian menjadi rutin. Fitnah menjadi pelindung dan senjata membela pemimpin yang disanjung. Hingga kita terlupa kepada suatu perkara…

Suatu hari, beberapa hari sebelum tarikh mengundi, saya ada bertanyakan khabar seorang kakak yang dahulunya saya pernah bekerja bersama dia. Saya mengucapkan selamat mengundi kepadanya.

Dia membalas masej saya dengan suatu pesanan, “Walau siapa pun pemimpin kita, ingatlah, pemimpin kita yang sebenar adalah Rasulullah S.A.W”. Dicelah ketegangan menangkis dan berhujjah di alam maya dan nyata saya tersedar daripada lamunan. Hampir sebulan ini saya sedikit mengabaikan Rasulullah S.A.W sebagai seorang pemimpin. Saya terlupa bahawa Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang menjadi ketua kepada semua ummat islam akhir zaman ini.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam parti politik dan pemimpin Negara, kita harus sedar bahawa kita mempunyai pemimpin agung yang sama, yang sentiasa mencintai kita. Rasulullah S.A.W. Baginda begitu cinta kepada kita, Ummat akhir zaman. Baginda adalah seorang pemimpin yang cukup baik dan tangkas. Baginda banyak menunjukkan budi pekerti yang mulia, baginda penuh dengan hikmah semasa menjadi seorang pemimpin. Pilihan raya sudah berlalu, marilah kita sama-sama kembali kepada kehidupan kita yang sebenar dan realiti dalam membangunkan keperibadian acuan Rasulullah S.A.W dan memajukan Negara kita yang tercinta ini. Walaupun kita berbeza pendapat, pemimpin kita adalah satu, Rasulullah S.A.W, yang akan memberikan syafaatnya kepada kita kelak di alam akhirat.

Tak kenal maka tak cinta. =)  


No comments:

Post a Comment