Ads

Peranan Malaysia dalam membentuk ekonomi dunia abad 21

Saya tertarik dengan dasar Kerajaan Malaysia yang mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat ekonomi Islam dunia. Ianya satu langkah yang dilihat menuju kepada kesyumulan Islam di Negara kita ini. Sayangnya ramai pihak hanya nampak kesyumulan islam itu hanyalah Hukum hudud semata-mata.

Saya melihat tanggapan dan pandangan Tun Dr Mahathir kepada sistem ekonomi dunia selama ini ternyata benar. Banyak penipuan yang berlaku dalam ekonomi dunia. Wang yang Barat  cipta tidak langsung disandarkan kepada sesuatu yang bernilai. Hanya berdasarkan perakuan semata-mata. Barat melabelkan Tun Dr Mahathir sebagai seorang yang “anti barat” hanya kerana beliau tidak menyokong polisi ekonomi Barat itu. Tetapi ternyata tanggapan Tun kepada sistem kewangan yang diasaskan ini benar. Sistem kewangan penciptaan barat itu akhirnya memakan diri mereka sendiri. Krisis Zon Euro menceritakan segala-galanya. Pada hari ini, satu demi satu Negara disana menuju kebankrupan.

Walau bagaimanapun ekonomi Malaysia dilihat menunjukkan pertumbuhan yang agak meyakinkan disebalik krisis ekonomi yang teruk melanda Kesatuan Eropah dan Amarika Syarikat itu.  Ini kerana ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada perdagangan dengan China dan India. Sistem tadbir urus kewangan yang efektif oleh Bank Negara dan kurangnya penglibatan bank-bank di Negara ini dengan bank-bank di Eropah juga merupakan antara faktor yang boleh dikaitkan mengapa Negara terlepas daripada kemelut kewangan ini.

Malaysia sebagai Pusat Ekonomi Islam Dunia

Menyedari situasi ini kesedaran untuk mengamalkan sistem kewangan Islam oleh masyarakat dunia semakin bertambah. Malaysia mengambil langkah untuk memajukan sistem kewangan islam ini. Dengan penggubalan akta Bank Islam pada 1983, Bank Islam Malaysia Berhad telah ditubuhkan. Sebenarnya transaksi islam telah lama bertapak di tanah melayu ini. ianya bermula seawal abad ke 16 lagi. Ini boleh dilihat kepada undang-undang Melaka dalam fasal 30.

Langkah  kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham atau ekuiti sehingga 70 peratus dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif, walaupun ia mencabar dasar kuota yang sering dipertahankan. Tujuannya mempromosi pelabur luar ke Malaysia. Ini perlu kerana kesedaran masyarakat di Malaysia ini masih rendah kepada sistem kewangan Islam. Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera. Putaran ekonomi dan kuasa membeli dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Akan Tetapi, ia tidak semudah yang disangka. Kita harus menerima hakikat bahawa sistem perbankan islam sama sekali tidak dapat menandingi lagi sistem kewangan konvensional yang sedia ada. Sistem kewangan Islam masih kecil lingkungannya. Tetapi saya melihat ia akan terus berkembang dengan program yang dianjurkan kerajaan untuk memantapkan lagi system kewangan Islam ini.

Jemputan Sudan untuk Malaysia menubuhkan bank kewangan Islam di negara itu membuktikan bahawa dunia mengiktiraf Malaysia sebagai pusat dan hub kewangan islam.

Malaysia sebagai Hub produk halal

Pada tahun 2010 Malaysia telah diiktiraf sebagai Hub Halal Dunia. Saya melihat langkah kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Produk Halal menepati langkah kepada menjadikan negara ini sebagai pusat ekonomi Islam dunia. Cara ekonomi Islam perlu diperluaskan untuk menaikkan aset perbankan islam. Dengan wujudnya program ini pemindahan teknologi dibawa masuk daripada negara luar. Justeru, menggalakkan lagi minat para pelabur antarabangsa untuk menyertai program Hub Halal ini. lanjutan daripada ini, ia mewujudkan pasaran yang meluas. Penduduk islam hampir mencapai 2 billion orang dengan 60% daripadanya tinggal di asia, secara tidak langsung menjadikan produk halal ini lebih senang dipasarkan. Usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hub Halal dunia adalah bertepatan apabila nilai pasaran global bagi produk halal pada tahun 2010 dianggarkan sebanyak 8 trilion setahun.

Pelbagai lagi usaha kerajaan dapat dilihat untuk memartabatkan lagi ekonomi islam. Contoh yang saya berikan ini hanyalah sebahagian yang saya nampak hasil daripada usaha kerajaan daripada sudut membangunkan ekonomi islam pada abad ini. Banyak lagi  peranan Malaysia dalam membentuk ekonomi dunia pada abad 21 ini daripada segala aspek.

No comments:

Post a Comment