Ads

Berterima kasihlah


Dahulu semasa kecil kita diajar untuk berterima kasih apabila seseorang menolong kita. Ibu dan bapa mengajar kita supaya menghargai budi orang. Adat dan budi bangsa melayu ini sungguh tinggi. Namun, ini hanyalah adat yang diwarisi dan diamalkan oleh bangsa Melayu lama. Keadaan telah berubah sama sekali pada zaman moden ini. Nilai keperibadian yang tinggi itu sudah kian terhakis dengan perubahan generasi baru ini.

Semasa susah kita memerlukan orang sekeliling untuk menolong kita. Seorang rakan memerlukan rakannya yang lain apabila menghadapi masalah. Sikap saling bantu membantu akan wujud kerana rasa kasih dan kasihan kepada rakan tersebut. Tetapi rasa kasih itu sering sahaja dibunuh!

Bagaimana ia dibunuh? Dibunuh atau terbunuh? Bagaimana ini berlaku.

Ini berlaku kerana tiada lagi budaya berterima kasih. Apabila susah, tahu merujuk kepada sekian orang, tetapi apabila senang, lupa kepada orang yang pernah menolong. Kata-kata seringkas Terima kasih sudah sukar untuk dilafaz, apatah lagi menunjukkan perasaan terharu dan rasa ingin membalas budi atas pertolongan yang diberikan.

Kadangkala, sungguh tidak faham apa yang tersemat didalam hati manusia seperti ini. hidupnya sungguh berkira, dan egonya sungguh tinggi. Ucapan Terima kasih itu seolah-olah sesuatu bala yang mahu diucapkan.
Sikap mementingkan diri yang ada dalam diri ini membuatkan ramai orang menjadi kesal, benci dan tidak mahu menolong lagi. Ini merugikan diri sendiri kembali pada masa hadapan. Hidup dalam dunia ini memerlukan toleransi.

Ucaplah Terima Kasih kepada orang yang selalu menolong kita, walaupun dalam perkara-perkara yang kecil. Dua patah ucapan ini membuatkan orang lain terasa dihargai dan tidak serik untuk menolong lagi. 


    

No comments:

Post a Comment