Alhamdulillah hari ini berkesempatan lagi untuk bertemu lagi
dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi pertemuan kali ini tidaklah ekslusif
seperti pertemuan sebelum ini pada sesi dialog anjuran kelab Che Det tempoh
hari. Seperti biasa, keterujaan untuk berjumpa dengan negarawan ulung ini tidak
pernah luntur dalam diri. Kehadiran Tun ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka
ini membuatkan saya merasa lebih bangga menjadi warga UTeM. Saya agak tergamam
apabila melihat sambutan yang diberikan kepada Tun begitu besar sekali.
Rupa-rupanya masih ramai anak muda yang menyokong dan menghargai perjuangan dan
aspirasi Tun Dr Mahathir ini. Sebut
sahaja nama Tun Dr Mahathir fikiran saya terbiasa membayangkan masa hadapan.
Mahasiswa dan Graduan Pewaris Kepimpinan Negara
Inilah tajuk bicara yang dianjurkan.
Amanat daripada Tun
Untuk mengetahui apa yang akan terjadi pada masa hadapan,
kita perlu toleh ke belakang dan melihat apa yang berlaku, supaya kita dapat
tahu aliran perkembangan dalam Negara kita. Kita boleh bahagikan pertumbuhan Negara
kita ini kepada 3 fasa.
Fasa yang pertama : Semasa kita masih dijajah oleh pihak
british
Pada masa itu tidak ramai mereka yang menjadi graduate,
daripada Universiti di luar Negara, dan tidak adapun Universiti dalam negara kita.
Sebilangan kecil daripada bangsa kita telah melangsungkan pelajaran kita di Eropah,
Hong Kong, dan mereka yang lulus daripada pelajaran tinggi ini kembali ke tanah
air untuk berkhidmat. Mereka adalah kelompok pejuang yang membebaskan negara kita
menjadi sebuah negara yang merdeka. Oleh kerana mereka adalah golongan yang
terpelajar daripada orang yang miskin di negara kita, maka dengan mudahnya
mereka diterima sebagai pemimpin. Ada juga pemimpin yang tiada kelulusan
Universiti. Dato Onn umpamanya.
Golongan berpelajaran tinggi dan tidak ini telah
berganding bahu dan mengajar rakyat supaya mencapai kemerdekaan. Berjuang
menentang Malayan Union. Perjuangan ini mencapai kejayaan. Rakyat pada ketika
itu ramai yang tidak terpelajar, pandangan mereka tidak begitu luas dan tidak
membuat pertanyaan yang banyak terhadap pemimpin
mereka. Mereka berbaris dibelakang pemimpin dan bersama-sama berjuang.
Dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Seorang lulusan undang-undang. Mereka tidak
ada banyak soalan. Mereka bersatu dibelakang pemimpin yang berpelajaran tinggi
ini.
Walaupun ramai antara mereka yang tidak berpelajaran, namun
British merasa takut kepada gerakan yang meliputi seluruh rakyat Malaysia ini.
British menggugurkan Malayan Union dan memberikan kemerdekaan kepada kita. Itu
adalah fasa yang pertama. Tak ramai orang yang berpelajaran, yang jadi graduan.
Mereka tidak ada banyak soalan dan memudahkan pemimpin kerana tidak dicabar. Setelah
kita mencapai kemerdekaan, tumpuan kita adalah memberi ilmu dan pelajaran
kepada rakyat sebanyak mungkin. Dengan itu ditubuhkan banyak kolej dan pusat
pengajian. Malaysia menumpukan lebih kepada aspek pelajaran, penguasaan ilmu
daripada pertahanan negara. 25 % pendapatan Negara digunakan untuk pelajaran. Hanya
5% diguna untuk pertahanan. Kita tumpu kepada penambahan bilangan rakyat yang
berpelajaran. Kita hantar ramai orang ke luar negara untuk menyambung
pelajaran.
Fasa yang kedua : Selepas merdeka
Ramai graduan yang mendapat pendidikan ini kembali untuk
membantu negara supaya dapat dimajukan. Mereka tidak menyoal tentang soal
politik. Sebaliknya bersyukur kerana kerajaan
membantu mereka mendapatkan ilmu. Bantuan ini memberikan perubahan baik
kepada mereka. Kalau dizaman British dahulu, tidak mungkin mereka mendapat
peluang yang lebih baik. Semua pegawai jawatan tinggi dipegang oleh pihak
British. Demikian juga dalam bidang perniagaan. Semua perniagaan besar dimiliki
oleh british seperti Guthrie dll. Orang tempatan tidak diberikan peluang. Bank dikuasai
oleh british juga. Penduduk tempatan tidak diberikan lesen untuk menubuhkan
bank. Yang ada hanya dua buah bank sahaja. Rakyat tidak berpeluang memperkayakan diri
mereka.
Tetapi, apabila sahaja kita mencapai kemerdekaan, perkara
pertama yang dilakukan ialah membuka bank. Malayan banking dan sebuah lagi banking
corporation yang ditubuh oleh rakyat tempatan. Maka dengan ini perusaharaan
besar dapat dikuasai oleh rakyat Malaysia. Yang lebih utama adalah pelajaran
kepada rakyat supaya mereka mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memegang
jawatan yang tinggi dan menguruskan perniagaan yang besar. Pada masa itu lebih
ramai yang terpelajar. Walaupun begitu, mereka mempunyai perasaan berterima
kasih kerana memberikan peluang-peluang ini kepada mereka. Mereka tidak menyoal
dan banyak mengkritik.
Kehidupan mereka semakin baik, sudah tentu perubahan ini
disedari rakyat. Mereka menggunakan ilmu untuk mengambil alih banyak perkara daripada
british.
Fasa ketiga : generasi sekarang
Usaha diteruskan untuk memberikan pelajaran keapda anak-anak
kita. Jumlah mereka semakin meningkat kepada ratusan ribu. Harapan kita ialah apabila
mereka berilmu, mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Aspek pentadbiran,
pemerintahan dan juga perniagaan.
Namun, pada fasa ketiga, peluang yang diberikan ini dianggap
sebagai perkara biasa. Dengan ini kita tidak lagi menghargai. Negara kita sudah
bangun dengan pesat. Untuk pergi ke universiti sangat mudah pada hari ini. biasiswa
sudah bertambah. Peluang pekerjaan juga bertambah dalam pelbagai bidang. Kehidupan
kita sudah selesa. Maka kita tidak begitu menghargai kehidupan bahagia yang
kita nikmati hari ini. kita sudah lupa zaman kita dijajah dahulu, kita sudah
lupa zaman pembaikan yang kita lakukan dahulu. Apabila tidak menghargai, maka
perasaan kurang senang hadir dengan kebaikan yang kita dapat. Dan kita mula
mengkritik apa yang kita dapat.
Mengapa perlu bayar pinjaman? Mengapa perlu dibayar untuk
pelajaran?. Mereka lupa wang yang mereka gunakan itu adalah yang hasil
kesusahan rakyat yang sedia berkorban, supaya mereka dapat membina kehidupan
yang lebih baik. Sebaliknya mereka mengkritik. Itu sikap orang yang tidak
menghargai nikmat. Mereka dihasut supaya tidak menghargai dan tidak bersyukur
kononnya ada pihak yang akan memberi lebih.
Inilah yang akan menentuk sama ada negara kita terus maju
atau tidak. Walaupun kita sudah mendapat pendidikan yang tinggi, namun kita
tidak cekap memperhitungkan apa yang sampai kepada kita. Sekiranya mahasiswa/i mahu
mewarisi kepimpinan negara, mereka harus bijak memilih yang baik dan menolak
yang buruk. Orang yang berilmu, apakah dengan adanya ilmu menjadikan mereka
bijak? Ada yang berilmu tetapi tidak bijak. Untuk memimpin bukan sahaja kena berilmu,
tetapi mesti bijak untuk membuat pemilihan. Jika pemilihan kurang baik, negara akan
hancur.
Ijazah ini mestilah disertakan dengan kebijaksanaan dan
perhitungan yang dibuat oleh kita. Mahasiswa/i haruslah bijak untuk meneruskan
kepimpinan sedia ada. Bukan sekadar ijazah semata-mata untuk menjadi pemimpin.
Pemimpin yang hanya berdasarkan populariti hanya akan menghancurkan Negara. Inilah
yang terjadi di kebanyakan negara-negara Eropah. Pertumbuhan ekonomi negara mereka
kian merosot.
Dengan mata kasar kita dapat lihat negara kita membangun
dengan pesat. Ini hasil daripada kecekapan pemimpin negara. Alhamdulillah
setelah 55 tahun kita merdeka, pertumbuhan ini berterusan. Kita tidak akan
mewarisi generasi yang akan datang dengan sebuah negara yang sudah merosot
prestasinya. Justeru, mahasiswa perlu bersedia untuk mengambil alih daripada
generasi yang ada. Ambil lah sebuah negara yang tiada cacat celanya. Inilah harapan
kita. Ambil lah dengan ilmu dan niat yang cukup baik.
Sungguh mendalam apa
yang Tun sampaikan. Harapan daripadanya sungguh besar. Beliau telah
meninggalkan sebuah negara yang cukup aman dan maju kepada anak bangsa untuk
diteruskan lagi. Memikirkan aspirasi Tun ini membuatkan saya mengelamun panjang.
Bagaimana anak dan cucu kita pada masa hadapan. Adakah mereka merasa segala
kenikmatan yang dirasai pada hari ini, atau sebaliknya.
Pada sesi soal jawab, saya tertarik dengan satu soalan
mengenai kapsul masa yang ditanam pada 1987. Ia akan dibuka pada 2087. Soalannya
mengapa ia 100 tahun yang akan datang? Dan adakah ianya akan valid lagi pada
tempoh itu ?
Jawapan daripada Tun : Kapsul masa ini adalah untuk
perbandingan dengan 100 tahun lagi bagaimana keadaan Negara kita. Pewaris kita
pada masa itu akan dapat membandingkan dengan 100 tahun dahulu. Mereka tahu
keadaan kita pada waktu ini. Apa yang penting saya dah tak ada lagi pada masa itu.
Inilah harapan daripada seorang negarawan ulung yang sangat
mencintai negara dan anak bangsa. Amanat untuk 100 tahun lagi telah difikirkan
Tun untuk ditinggal. Pada 2087, sedikit sekali kita yang hidup pada hari ini
sempat untuk hadir dan bersama-sama mendengar amanat Tun itu. Saya berpandangan
isi kapsul itu adalah kisah sejarah yang ditulis oleh Tun, ramalan, dan harapan
Tun kepada generasi 2087. Saya hanya meneka, Hanya Allah dan Tun sahaja yang
tahu.
Dalam usia yang masih muda ini Aku bermohon kepadaMu yaAllah
jadikanlah kami seorang manusia yang berguna pada Agama, Bangsa dan Negara…
Semasa menulis saya teringat kepada sebuah lagu…
Penyanyi: Aishah
Bonda senyum riang
Menerima bahtera Merdeka
Putera puteri sayang
Putera puteri sayang
Sedang berjuang
Menerima bahtera Merdeka
Putera puteri sayang
Putera puteri sayang
Sedang berjuang
Fajar telah tiba
Nan menyinsing membawa harapan
Tanah Semenanjung
Tanah Semenanjung
Pusaka Bangsa
Nan menyinsing membawa harapan
Tanah Semenanjung
Tanah Semenanjung
Pusaka Bangsa
(*)
Jiwa dan raga
Buktikanlah pada nusa bangsa
Supaya negara maju jaya
Aman Merdeka
Jiwa dan raga
Buktikanlah pada nusa bangsa
Supaya negara maju jaya
Aman Merdeka
Duhai ibu pertiwi
Putra putri datang sujud bakti
Ingin menunaikan
Ingin menunaikan
Sumpah dan janji
Putra putri datang sujud bakti
Ingin menunaikan
Ingin menunaikan
Sumpah dan janji
(Ulang *)
No comments:
Post a Comment