Ads

Faham

Bukan senang untuk memahami manusia. Kerana bukan senang untuk memahami diri sendiri. Berurusan dengan manusia memang amat memeningkan. Pelajaran baru bagi saya adalah setiap manusia mahukan yang terbaik. Tetapi manusia tidak sempurna untuk mendapat sesempurna apa yang dihajati. Pasti ada dugaan dan cacatnya sehingga hajat digapai. Usaha, sebut dimulut amat senang. Planning sudah bagus. Perlaksanaannya teramatlah azab.

Takut dengan perubahan manusia, kita tidak akan dapat memahami seseorang secara keseluruhan. Suami dan isteri juga memerlukan masa bertahun untuk kenal sesama sendiri dengan lebih jauh. Pening kepala berfikir kerana takutkan orang yang diharapkan akan berubah. Siapa tahu. Jaminkah diri kita sendiri tidak berubah. Adakah sama situasi dan persekitaran masa yang akan datang dan sekarang. Pening kepala memikirkannya. Jawapannya adalah berserah, berdoa dengan yakin semuanya akan baik. Taat perintah Allah Insya Allah, Allah menjaga diri dan hubungan sesama manusia. Itulah cara yang saya nampak setelah serik dengan manusia.  

Saya manusia. Puas saya memahamkan diri sendiri tetapi masih belum berjaya. Puas saya mencari keyakinan bersama manusia tetapi tidak berjumpa. Entah dimana lagi mahu cari, hanya berdoa kepadamu Ya Allah supaya diberikan kehidupan yang baik.

Saya pernah bertanya kepada seorang engineer veteran. Beliau datang memberikan taklimat. Apakah pengalaman yang paling mencabar bagi Encik. Katanya berurusan dengan manusia. Sehingga kini masalah itu tetap masalah yang paling sukar.

Praktikal - Raya seorang jaga

Saya ditugaskan untuk mengeliling kilang dan mencari masalah semasa menjalani praktikal. Setelah puas berpusing satu kilang selalunya saya akan singgah di pondok jaga kilang untuk bersembang dan bertanya khabar dengan abang Is. Abang Iskandar sudah bekerja 2 tahun disini. Saya selesa berbual dengannya kerana dia mempunyai fikiran yang agak terbuka dan boleh bercerita. Banyak perkara berkaitan sosial dan personal di kilang saya perolehi daripada pondok jaga ini.

Katanya pondok jaga disini sudah menjadi seperti tempat aduan orang ramai. Sesiapa sahaja kalau ada masa lapang akan datang dan bersembang dengan abang Is. Hari cuti sekalipun masih ada pekerja yang datang untuk bersembang dengannya atau menggunakan akses internet di sekitar kilang.

Saya berminat untuk mengetahui latar belakang keluarganya. Dia mempunyai sebuah Pajero, Satria dan Proton Preve. Motornya juga kelihatan agak canggih. Seorang jaga yang paling kaya yang pernah saya jumpa. Kalau difikirkan logik mana mungkin seorang jaga kilang mampu mempunyai aset seperti ini. Rupanya dia berasal daripada keluarga yang agak senang dan mempunyai kebun.

Abang Is sedang menghitung hari untuk menunggu kelahiran anak sulungnya. Sudah 3 tahun berkahwin. Dia agak teruja menceritakan kondisi isterinya yang bakal melahirkan anak. Dia juga menceritakan segala persiapan yang dibuat untuk menyambut kelahiran. Wajah gembira bakal seorang bapa terpapar.

Ketika bulan puasa lepas dia ada bertanya saya berapa lama cuti. Saya menjawab terpulang kepada boss. Mungkin seminggu. Dia mengangguk. Katanya sudah 2 tahun abang raya di kilang. Tapi kali ini abang mahu minta cuti 2 hari. Isteri abang boleh sakit dan melahirkan anak pada bila-bila masa sahaja menjelang syawal ini.

Abang raya di kilang. Bilik jaga ni dah macam rumah abang. Hari raya paginya abang balik sekejap rumah tukar baju melayu dan pergi solat. Selepas solat abang datang balik sini dengan berbaju raya. Isteri abang juga datang sekali raya di pondok jaga ini. Abang bawa sekali meja dan kerusi sebab ada kawan abang yang mahu datang beraya di pondok jaga ini. Disini sajalah mereka boleh cari abang.
Kadang-kadang  abang lari sekejap pergi beraya. Tinggal sekejap kilang. Lepas tu abang balik lagi sekejap, dan keluar lagi. Macam itulah raya abang disini.