Ads

Menjawab 1

Ruangan ini merupakan buah fikiran saya untuk menjawab isu yang ditimbulkan daripada pergaulan harian. Beberapa topik berkenaan Negara dan Politik yang dibincangkan oleh rakan-rakan dalam lingkungan umur saya membuatkan saya tidak berapa selesa dengan pandangan mereka. Apabila diutarakan pandangan untuk dikongsi kembali mereka melenting seolah-olah pandangan mereka sahaja yang betul dan tidak dapat disangkal. Disini merupakan peluang untuk saya memberikan pandangan tanpa disekat oleh sesiapa. Terpulang kepada individu untuk melenting, marah atau apa sahaja. Ini adalah cara saya untuk bersuara.
Seringkali mereka berkata. Kerajaan Malaysia ni pengecut. Aset dalam Negara kurang kualiti. Kalau disergah oleh kuasa asing pasti akan berlembut. Jauh sekali mengambil tindakan tentera. Mesti mahu runding sahaja. Sahabat, Negara kita ini merupakan sebuah Negara yang istimewa. Kestabilan yang membawa kepada sikap toleransi yang tinggi ini merupakan hasil daripada rundingan dan sikap toleransi yang kuat antara kaum. Lihatlah kemerdekaan yang kita kecapi bukanlah daripada peperangan, tetapi daripada sebuah perbincangan dan persetujuan bersama antara kaum. Dimanakah lagi negara yang mempunyai berbilang kaum dan boleh membangunkan negara seperti Negara kita ini. Negara seperti Ireland Utara, Lubnan, India atau sri Langka dan beberapa buah negara lain yang jarang disebut kita akan dapati sekiranya terdapat kepelbagaian kaum maka wujudlah kecenderungan menggugat kestabilan. Ada ketikanya wujud perang saudara yang berpanjangan. Hancur Negara. Disini kita bebas mengamalkan apa sahaja adat, bebas menganuti apa sahaja agama sedangkan ini adalah sebuah negara Islam. Kaji kembali sejarah. Lihat bagaimana rundingan membawa kepada keamana. Jangan kita menjadi warga yang buta dengan kesenangan yang ada. Sekiranya cara kita adalah berperang pasti akan ada anggota keluarga kita yang terkorban. Aset negara banyak yang musnah hanya berperang dengan sebab yang remeh. Penumpuan hanya untuk membina kembali segala kemudahan bukan mengembangkan lagi apa yang ada.   

Dalam sebuah bilik kuliah yang selesa, di sebuah IPTA, ada yang berjenaka untuk melakukan sesuatu yang tidak berapa baik kepada Perdana Menteri dan Kerajaan. Sehingga ketahap itu gurauan yang mereka fikirkan. Saya bertanya pernah bersalam dengan Perdana Menteri? Kalau tak pernah, jangan bermimpi. Jauh sekali rancangan kosong mereka itu. Mereka membalas releks la. Ini hanya idea. Tak payah serius sangat lah. Pada saya rancangan yang mereka bincangkan itu bodoh sekali. Saya tahu itu hanya mainan tetapi apa yang kita bincangkan melambangkan siapa kita. Semua kesusahan yang dihadapi pasti kerajaan juga yang salah. Hanya kerana kehidupan mereka yang boros, kerajaan juga yang salah kerana tidak pandai mengawal ekonomi. Katanya kerajaan zalim, kerajaan telah dirikan banyak masjid yang cantik-cantik. Tetapi siapa yang tidak pergi ke masjid? Menjadi baik kita yang pilih.


Selepas ini akan ada beberapa siri pandangan sambungan dengan “menjawab 2,3,4,5….n.” Ianya berkenaan apa sahaja isu. Here im rules =)

Falsafah Pembuatan Kejat (Lean Manufacturing Philosophy)

Dalam menghasilkan suatu produk yang baik banyak aspek yang perlu diteliti. Bermula daripada permintaan pelanggan, proses, sehinga penghantaran. Setiap yang proses dilakukan perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan kualiti produk dan mengurangkan pembaziran. Pembuatan kejat. Ini adalah salah satu cabang yang ada dalam kejuruteraan. Ia tidak semestinya memerlukan teknologi dan pengiraan tertentu untuk menjadikan proses pembuatan menjadi lebih baik. Sebaliknya ia adalah nilai yang baik yang perlu diterapkan. Daripada nilai yang baik ini dapat menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

Seorang pensyarah saya menceritakan tentang pengalamannya dalam menguruskan sebuah department pembuatan yang cukup teruk ketika bekerja dahulu. Para pekerja disitu yang wanitanya rata-rata berumur 45++. Pekerja lelaki sekitar 30++. Department yang penuh dengan bahan kimia. Apabila ditugaskan di department ini ramai yang akan mengelak. Ia boleh melibatkan kemandulan untuk jangka masa yang panjang kerana bahan kimia yang kuat. Para pekerja bekerja dengan motivasi yang cukup rendah. Produktiviti yang dikeluarkan memerlukan 13 hari untuk disiapkan dalam satu kitaran. Pekerja luar yang menghantar barang mentah hanya menghantar diluar bangunan sahaja.   

Kata pensyarah saya ini jika diikutkan hati mahu sahaja berhenti. Dia tetap meneruskan tugasannya. Dia mengubah cara bekerja dan persekitaran depertment pembuatan itu. Dengan sedikit bantuan kewangan daripada pihak atasan beliau mengubah department pembuatan ini. Aspek kebersihan, keceriaan, susun atur mesin, susun atur keseluruhan depertment dirombak kembali. Dia menceritakan beberapa teknik yang beliau gunakannya dalam melakukan rombakan. Sedikit yang memerlukan pengubahan aspek teknikal. Hanya membawa nilai yang baik kedalam department pembuatan itu.

Suatu lagi masalah adalah sikap pekerja yang sudah terbiasa dengan pekerjaan yang dilakukan dengan tidak betul. Kata seorang makcik disana, makcik sudah bekerja disini selama 25 tahun. Kenapa perlu diubah. Kata pensyarah saya ini, kalau kita tidak mampu melawan mereka tetapi kita mampu bersama mereka. Akhirnya para pekerja disana mengikut seperti yang dikehendaki dengan pendekatan yang lebih diplomatik. Cara bekerja pekerja menjadi lebih selesa dan teratur.

Akhirnya kitaran pengeluaran dapat dikurangkan daripada 13 hari kepada hanya 6 hari. Hanya membawa nilai-nilai yang baik seperti kebersihan, kekemasan, susun atur yang lebih mesra, hubungan yang baik dengan pekerja. Dia mahu menurunkan lagi masa kitar pembuatan disini. Setelah diteliti sikap pekerja menjadi punca kepada kelewatan yang berlaku. Sikap pekerja yang berlengah, berhenti rehat dengan kerap. Saya tidak ingat bagaimana masalah ini diselesaikan. Akhirnya kitaran itu menjadi hanya 0.6 hari. Sungguh hebat hanya dengan membawa nilai yang baik dapat meningkatkan kadar pengeluaran.

Dalam Islam nilai-nilai ini diterapkan kedalam diri manusia. Hari ini baru saya nampak dengan lebih jelas bagaimana nilai yang baik seperti aspek kebersihan, menghormati orang lain dapat menghasilkan kejayaan. Ternyata ini lebih kepada sebuah falsafah bukan teknikal. Tidak hairan orang-orang jepun yang rajin bekeja dapat memajukan bangsa mereka. Mereka mencipta banyak teknologi kerana cara kerja dan sistem yang mereka lakukan menjadikan perkara yang susah menjadi mudah. Mereka mengeluarkan beberapa garis panduan yang mudah supaya nilai yang baik ini dapat diikuti dunia seperti 5s, kaizen, Kanban dan banyak lagi. Mereka menerangkan nilai yang mereka bawa ini dengan lebih mudah dan seragam tentang apa yang perlu dilakukan.

Dalam Islam aspek kebersihan, keteraturan dan lain-lain (5s) merupakan sebahagian daripada iman. Muhasabah diri untuk menjadikan hari esok lebih baik sering kali dilupakan (Kaizen). Hari ini saya lihat bagaimana nilai-nilai yang ada pada islam ini dapat memajukan sesebuah masyarakat. Sayangnya ia tidak diikuti oleh orang Islam sendiri.

MH 370


Masih misteri. Sudah hari ketujuh belum menunjukkan apa-apa kesan. Sebuah pesawat yang besar dan canggih, dinaiki oleh 239 orang manusia hilang begitu sahaja. Tanpa meninggalkan apa-apa isyarat. Banyak teori yang di timbulkan oleh pakar seperti teori rampasan kapal terbang, letupan, terhempas, bunian dan pelbagai lagi teori yang dikemukakan. Usaha mencari masih diteruskan. Segala teknologi yang canggih dikerah. Daripada teknologi yang ada di laut hingga teknologi yang ada di angkasa lepas semuanya dikerah untuk mencari sebuah pesawat yang hilang. Kita selalunya terpesona dengan kecanggihan teknologi, tetapi hari ini kita dapat melihat teknologi yang masih buntu. 

Media massa amat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat. Kewujudan media sosial merancakkan lagi pelbagai spekulasi. Ramai juga yang mahu menjadi pakar dengan mengemukanan teori sendiri tanpa ada sebarang kajian. Lebih parah ada yang tidak langsung mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa. Mereka semborono sahaja mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

Ada juga manusia yang datang untuk membantu. Mereka menggunakan cara masing-masing mengikut kepercayaan. Seorang bomoh yang menggelarkan dirinya “bomoh VIP” yang saya kira secara tidak langsung telah memalukan Agama, Bangsa dan Negara dengan tindakan bodohnya yang dikatakan mampu melihat dimana kapal terbang itu berada hanya dengan menggunakan tikar, buah kelapa, raga, tongkat, bubu ikan dan beberapa alatan lain yang mengarut. Bagaimana manusia seperti ini boleh mendapat liputan yang meluas. Berdasarkan percakapan beliau sudah boleh nampak ketidakcerdikan yang ada pada “bomoh VIP” ini. Sekiranya kaedah ini berjaya apa guna teknologi yang dibina manusia itu.

Media asing juga memberikan tumpuan kepada isu besar ini. Media daripada barat terutamanya memainkan peranan untuk menghentam Negara ini. Mereka cuba untuk mengangkat isu yang sensasi dalam kes ini seperti kes kehilangan passport berbanding melaporkan proses pencarian. Negara seharusnya berjaga-jaga kerana pada masa ini adalah masa yang terbaik untuk mereka menyelit masuk ke dalam Negara dan melakukan huru hara pada saat mata seluruh dunia tertumpu kepada kehilangan pesawat ini.

Insiden kali ini cukup menyentuh hati. Entah kenapa, rasa sebak dan begitu kasihan terhadap nasib penumpang yang masih belum diketahui statusnya. Dalam beberapa siri kecelakaan sebelum ini semuanya agak kurang menjadi perhatian saya. Tetapi kali ini ianya cukup membuatkan hati sebak.

Apa yang mampu kita lakukan sebagai orang biasa yang tidak punyai apa-apa kemampuan hanyalah berdoa. Hari ini negara yang kita cintai ini diuji oleh Allah. Kapal terbang milik Negara hilang, jerebu yang sampai tahap kritikal, kemarau, dan masalah kekurangan bekalan air. Mungkin Allah rindu kepada doa kita. Dia wujudkan ini semua supaya kita bersatu hati untuk berdoa kepadaNya.

MH 370 I love you, We love you 

Orang Islam

Saya menjadi sedikit keliru dengan beberapa perkara… yang melibatkan orang islam

Aspek pendidikan tiada sebuah Negara Islam pun yang mendominasi carta Negara yang mempunyai pendidikan terbaik. Mungkin ukuran yang menjadi indikator amat berbeza daripada cara Islam. Tetapi lihat sahaja Negara Mesir, apa yang terjadi. Dahulu Bahgdad di Iraq merupakan pusat ilmu dunia. Setelah kedatangan Hulagu Khan memusnahkan kota ini sehingga membuatkan air sungai yang mengalir di kota ini kehitaman kerana dipenuhi dakwat akibat daripada buku-buku yang dimusnahkan, kita tidak dapat melihat lagi Baghdad yang dahulu.

Negara yang paling dikaitkan dengan rasuah pula adalah Sudan, Afghanistan. Bukankah ini Negara yang dikaikan dengan Islam?

Negara yang bersih seperti Switzerland, Norway, Findland, Costa rica, Austria dan Latvia. Apakah ini Negara yang Islam menjadi majoritinya?

Kadang kala saya keliru dengan beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan. Nampak seperti cukup buruk. Melihat kepada negara lain yang melakukan sesuatu yang buruk itu menjadi maju, ia dapat membuatkan diri terdiam, sekurang-kurangya mungkin untuk sementara walaupun ia tidak kukuh. Lahir sahaja kedunia ini sudah dibiasakan dengan sistem dan gaya kehidupan seperti ini. Ia meresap kedalam diri. Apa boleh buat hanya tahu tapi tidak mampu.

Penghasilan kereta daripada Negara Islam. Proton umpamanya tidak mendapat sambutan. Malah dikritik. Pak-pak arab yang kaya di timur tengah tidak langsung memandang kereta jenis ini. Mereka hanya memilih untuk hidup mewah dan membazir. Mereka kaya tetapi tidak menyumbang sedangkan Islam ini berkembang daripada bangsa mereka mulanya. Mungkin salah aspek industri pembuatan juga yang tidak begitu memuaskan. Ini semua adalah hasil kerja orang-orang Islam. Siapa yang mencipta kaizen? Bukankan konsep ini ada pada ajaran Islam.

Pendapat banyak bercelaru dengan perlaburan di ASB. Ekonomi dunia sekarang bukan dipegang oleh orang bukan Islam. Jadi segala aktiviti perniagaan yang dijalankan hanya mengikt nafsu mereka tanpa ada sebarang kekangan. Kita sebagai orang yang lemah, hanya mengikut sahaja. Lebih parah kita bergaduh kerana perbezaan pendapat. Saling mengkafirkan. Baik yang mengkafir atau yang dikafirkan sama sahaja.

Masyarakat luar bertepuk tangan. Kita semakin lama semakin lemah, mereka tunggu masa untuk campur tangan dan mengambil alih “ nikmat keamanan” yang ada di Negara ini. Tiada usaha yang dilakukan hanya perang mulut dan dendam yang menjadi perkara yang paling besar. Masyarakat terus hanyut.

Saya tidak mahu menunding jadi kepada sesiapa. Saya juga orang Islam yang lemah. Hanya mampu bersuara tetapi tidak mampu mengubah. Tapi, sekurang-kurangnya kita janganlah mengucarkacirkan keadaan. Kalau tak mampu menjadi orang baik jangan jadi penyamun.

Mungkin kita akan kata ini semua adalah cubaan untuk orang islam. Tetapi adakah sampai kiamat ummat islam tidak boleh maju hanya kerana ini semua adalah cubaan…


Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk menjadi hambaMu yang lebih baik dari masa ke semasa