Ads

Semester 6

Semester 6, Secara tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut. Terus diterjah dengan pelbagai perkara yang membuatkan kepala ini pening sebelum memulakan semester. Sebelum ini apabila naik sahaja ke semester baru semuanya seakan-akan baru. Semangat, fikiran, fokus semuanya telah di set baru. Tapi semester ini lain sedikit. Kerja-kerja yang tertangguh dan dirancang pada semester lepas hanya menunggu masa untuk diselesaikan pada semester ini.  

Saya tidak mahu menjadi orang yang terlalu sibuk, sibuk dengan diri sendiri. Pernah terdengar suatu kata-kata daripada seseorang, katanya apabila kita menguruskan masa dengan baik tidak ada istilah sibuk dalam kehidupan kita. Sebenarnya adalah tentang bagaimana cara kita menguruskan masa.

Ada seorang rakan yang membuatkan saya begitu memandang tinggi kepadanya dengan gaya dia bekerja. Dia tidak bercakap banyak, hanya senyum. Apabila bekerja dengannya tidak rasa tekanan.  Hanya bertanya semuanya ok? Sambil tersenyum. Orangnya tidak banyak songeh. Dia tidak banyak bercakap tentang orang lain. Hanya bercakap dengan idea dan apa yang perlu dilaksana. Dia tidak banyak bercerita kepada orang lain tentang apa yang dilakukannya. Orang akhirnya mengenali dia dengan hasil kerja dan penciptaan produknya.

Daripada sini saya belajar untuk melakukan kerja hanya dengan senyap dan biarlah diri diingati dengan pencapaian. Bukan sekadar cerita kosong yang sedap dibicara tetapi isinya kosong. Dia membuatkan saya berfikir jauh. Apalah guna apabila banyak sekali bicara tetapi hasilnya sekadar tin yang kosong apabila diketuk bunyinya amat kuat, tetapi isinya kosong.

Ya, saya sedar masa untuk membina diri dan menimba pengalaman semakin lama semakin suntuk, sebelum sesuatu yang baru datang yang memerlukan kita menggunakan segala pengalaman dan kemahiran itu. Perlunya kita belajar bagaimanakah cara untuk menguruskan sesuatu dalam masa yang sama pelbagai masalah perlu diselesaikan. Mungkin cara pembelajaran seseorang itu berbeza, tetapi matlamatnya tetap juga sama.

Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Hanya berusaha yang terbaik. Insya Allah Allah akan berikan yang terbaik juga. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang sentiasa berdoa, mengadu dan berusaha kepadanya.

Kemahsyuran, ketinggian kedudukan seseorang bukanlah diukur oleh manusia. Allah jua yang menentukan hina atau mulianya seseorang. Mengharapkan sesuatu daripada manusia hanya akan menyakitkan hati. Begitulah selalunya. Apa yang penting cuba ikhlas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.  


Semoga diberikan kekuatan

Travel Jitra

Cuti semester, berkesempatan untuk pulang ke kedah. Pergi ke tempat orang, melihat kehidupan masyarakat membuatkan hati begitu tenang. Hati sentiasa menggeletek melihat realiti kehidupan masyarakat disamping mengimbau kenangan lalu. Ini merupakan satu cara yang paling baik untuk melupakan segala tekanan dan masalah yang dihadapi. Rasa seronok dan bebas dapat berjalan tanpa terikat dengan apa-apa komitmen. Selalu aku bersembang dengan orang-orang yang kehidupannya suka travel ke serata dunia. Mereka begitu menyukai aktiviti mereka kerana mereka berasa bebas membawa diri sendiri tanpa diperhatikan sesiapa. Sejak kecil aku juga bercita-cita apabila mempunyai peluang aku mahu luaskan lagi perjalananku untuk mengenal Sang Pencipta, melihat alam, serta memerhati perbezaan dalam kehidupan masyarakat. Banyak yang boleh dipelajari dan difikirkan daripada kehidupan orang lain.

Suasana pagi, melihat kehidupan masyarakat kampung. Aku melihat anak-anak kecil sekolah rendah terpaksa bangun pagi, mandi air kolah yang bagitu sejuk!. Hari ini sejujurnya aku sendiri tidak mampu untuk mandi seawal pagi seperti anak-anak kecil ini. Terkenang dahulu, boleh sahaja bangun dan mandi terus pergi ke sekolah. Entah kenapa semakin besar terasa semakin liat. Pukul 7.30 juga aku melihat tok wan di tempat yang aku tinggal, mula bersiap untuk ke kedai kopi. Kata orang kalau tok wan ni hilang, boleh kayuh “gerek” pi kedai maknanya dia sihat la tu. Sebenarnya jauh juga tok wan berkayuh dengan basikal tuanya untuk ke pekan Tunjang.

Ayam-ayam kampung sudah mula keluar mencari makanan. Sang ibu mengiringi anak-anaknya ketika berjalan mencari makanan. Teringat aku apabila di universiti, waktu-waktu ini masih belum sedarkan diri. Masih lena dibuai mimpi dengan kesegaran pagi. Kaum-kaum ibu suri rumah mula keluar dan berkumpul dihadapan rumah, dan bersembang rancak. Entah apa yang dibualkan kerana aku melihat waktu-waktu lain juga mereka kelihatan rapat. Matahari mula naik, memancarkan cahayanya. Sungguh cantik apabila melihat pemandangan seluas mata memandang melihat sawah padi. Tetapi sekarang musimnya kering. Tiada kehijauan yang dapat menyegarkan mata. Tetapi ia masih indah dengan kekuningan jerami dan bau terbakar.



Sungguh tenang lari daripada kesibukan kota untuk melihat semua ini. Tenang lagi hati apabila berjalan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Di sini seolah-olah kehidupan itu begitu simple. Tidak ada apa yang perlu dikejarkan seperti di bandaraya. Masyarakatnya tenang, hidup serba cukup dengan apa yang ada. Keluar rumah hanya memakai kain pelikat tanpa memakai baju, yang perempun kain batik, baju besar kedah itu dan serkup kepala. Sangat simple.

Nat. Disini pasar pagi dipanggil nat. Letaknya di tepi sungai. Banyak ikan-ikan segar. Mudah diperolehi. Jalan sahaja pasti ada yang kenal antara orang-orang kampung di sini. Mereka sembang merapu, ketawa besar dan berlalu bagitu sahaja. Kemesraan yang tidak dapat di bandar. Mereka relax, tidak perlu bekerja hingga ke petang sampai tiada masa untuk menikmati kehidupan. Ada diantaranya pagi pergi menebar roti canai tengah hari sudah lepak di tepi rumah. 


Dalam perjalanan kali ini, aku sempat singgah di sekolah lama. Tingkatan 4 dan 5. Pada masa yang sama mengikut guru silat aku yang begitu sibuk mempersiapkan pasukan untuk pertandingan silat MRSM Se-Malaysia di MRSM Terendak. Masuk sahaja ke kawasan maktab, aku bertemu guru Matematik tambahan dahulu. Cikgu Roishaniza. Katanya yang bersuara lembut itu, cikgu ingat muka kamu tapi lupa nama kamu! Aku mengingatinya dan kami bersembang panjang. Dia bertanyakan di mana saya belajar sekarang.. Saya berkata kepadanya begitu cepat masa berlalu kan cikgu. Dah hampir 5 tahun. Saya pun tak sedar yang saya dah besar. Hahaha.

Baru beberapa tapak melangkah selepas itu, terserempak dengan cikgu Matematik, cikgu Haryanti. Persoalan yang sama, muka kamu cikgu perasan, tapi nama cikgu lupa. Kami bersembang dan dia kata muka kamu, badan kamu maintain lah. Saya ketawa. Haha. Katanya muka kelihatan matang sedikit. Tiba-tiba masuk mencelah cikgu Norlie yang terkenal dengan seorang yang ceria dan fesyen pakaiannya yang berwarna warni, terus dia mencelah “ apa yang penting mata dia tetap maintain ”. Hahaha. Dalam hatiku, kemana lagi mahu disembunyikan mata sepet ini. Mungkin cikgu-cikgu disini mengenali aku dengan seorang yang berwajah cina. Bagus juga, sentiasa diingati walaupun nama tidak ingat. Aku berharap 15 tahun lagi wajah dan badan aku tetap juga mantain. hehehe.  

Belum sempat habis bersembang ada satu suara daripada belakang, MUHAIMIN!! Aku menoleh dan… CIKGU NAZRI!!! Bapa homeroom semasa aku belajar aku dahulu. Aku bertanya kepadanya, cikgu, macam mana cikgu boleh kenal saya daripada belakang? haha. Katanya mestilah cikgu kenal. Sudah hampir 5 tahun, pelajarnya banyak silih berganti dia masih mengingati cerita aku, Umi, Ayah yang dahulunya begitu risau kerana jauh daripada mereka. Kami bersembang panjang lagi.


Di belakang tempat kami bersembang, pelajar-pelajar sedang giat berlatih silat olahraga. Mengingatkan aku dengan sebuah kata-kata daripada guru Bahasa Melayu aku dahulu. Suatu hari dia memanggilku, aku tidak ingat mengapa aku dipanggil. Katanya Boleh tak kamu belajar macam mana kamu berlatih silat petang-petang!. Aku masih ingat kata-kata cikgu Latifah ini. Aku sendiri tidak perasan yang aku begitu giat berlatih setiap petang.


 Aku mula melangkah lebih dalam untuk melepaskan kerinduan kepada Maktab ini. Banyak perubahan. Dewan besar, surau kini semuanya berhawa dingin. Landskap sekitanyanya bagitu menarik. Tidak sama seperti zaman aku dahulu yang hanya ada rumput-rumput kering dan pokok-pokok keding sepertinya kekurangan air untuk hidup.




Sungguh, ini semua dapat menenangkan hati dan fikiran. Tidak ada satu kerugian apabila kita diingati. Bukan diingati dengan kenakalan, kejahatan. Itu juga diingati tetapi dengan pandangan yang berbeza. Jika diberikan peluang, mahu sahaja aku pulang kembali untuk hidup disini. Tetapi aku tidak mahu lagi mengambil SPM. Itu memang perit. Hahaha. Perkara yang paling jauh dalam kehidupan ini adalah masa lalu. Masa terus berjalan meninggalkan yang leka. Setiap masa yang ada perlu digunakan sebaiknya untuk mengelakkan menyesal di kemudian hari. Pengisian masa penting untuk membentuk keperibadian yang mantap. Penyesalan yang paling tidak berguna apabila kita kembali kepada Allah dalam keadaan yang tidak sempat untuk bertaubat. Semoga Allah redha perjalanan kali ini. Aku mahu pergi lebih jauh melihat  kehidupan masyarakat.