Ads

Budi

Tinggi rendah darjat seseorang dapat dilihat melalui budi yang diberikan kepada orang lain. Semakin banyak menanam budi, kedudukan dan kehormatan seseorang di masyarakat akan semakin tinggi.  Berbudi tidak hanya dalam bentuk pemberian material, tetapi juga berbentuk bantuan tenaga, pemikiran, serta perlakuan dan kata-kata yang sopan dan halus.

Hari ini saya percaya, bukan mudah untuk berbudi apabila hanya melibatkan satu pihak sahaja. Pepatah Melayu, yang tua dihormati, yang muda disayangi. Untuk melahirkan masyarakat yang bertoleransi, yang tua perlu menyanyangi yang muda, sebagai balasan, yang muda pula perlu menghormati yang tua pula. Begitu juga sebaliknya. Masing-masing perlu menghargai satu sama lain.

Budi yang baik perlu ditanam sejak daripada kecil. Ia tidak akan terjadi sendiri, untuk melahirkan keperibadian yang baik. Membentuk masyarakat yang baik perlu bermula daripada awal. Ia memerlukan usaha jangka panjang dan berterusan. Kita amat beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Melayu. Apabila disebut Melayu pastinya agama yang dianuti adalah Islam.

Agama islam amat menitik berat soal akhlak. Imam Al Gazali menyatakan bahwa akhlak adalah perangai yang melekat pada diri seseorang yang dapat melahirkan perbuatan baik tanpa mempertimbangkan fikiran terlebih dahulu. Perangai sendiri sebagai suatu sifat dan watak yang dibawa seseorang. Akhlak yang baik amat ditekankan dalam Islam, seperti menghormati orang lain, haiwan dan alam sekitar.

Sebuah persoalan, mengapa orang bukan islam lebih baik wataknya daripada orang islam? Puas juga saya mencari jawapannya. Dan saya temukan jawapannya di sebuah penulisan ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Ini kerana, budaya bangsa atau tabiat baik individunya tetap dipelihara melalui kaedah penyuburan rasa cinta kepada nilai-nilai tradisi dan pengamalan disiplin hidup yang tinggi sejak kecil lagi, sama ada di dalam keluarga, sekolah-sekolah, organisasi atau masyarakat. Kebaikan orang bukan Islam hanya disebabkan kecintaan terhadap budaya mereka yang mampu dipertahankan hingga setakat ini.

Mereka menjadi baik kerana budaya yang mereka pegang sejak dari dahulu, dan mereka bangga dengannya. Akan tetapi itulah aturan ciptaan manusia. Ia tidak menyeluruh. Masyarakat Jepun terkenal dengan sikap rajin dan menghormati orang lain, tetapi mereka mempunyai spiritual yang rendah, seperti kadar bunuh diri yang tinggi.

Kata HAMKA. Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkahlaku dan akal budinya.

Melawat Hidayah ; 19 Januari 2014

Cuti semester, masa untuk melapangkan masa bersama keluarga. Pada cuti sekolah hujung tahun yang lalu, tidak berkesempatan untuk pulang bercuti bersama adik-adik kerana kesibukan menghadapi peperiksaan akhir. Cuti semester ini merupakan peluang untuk bertemu adik-adik walaupun mereka berada di asrama. Cuti hujung minggu yang lepas berkesempatan melawat Hidayah yang berada di SMAP Bentong. Seronok melihat wajah pelajar asrama apabila melihat kedatangan Ibu bapa dan ahli keluarga datang melawat. Wajah yang begitu ceria!

Tahun ini Hidayah sudah berada di tingkatan 5. Tahun yang paling sukar di alam persekolahan kerana ada peperiksaan yang amat penting pada hujung tahun, SPM.

Memandangkan banyak pertanyaan dalam post yang lepas tentang SMAP Bentong ini saya mengambil kesempatan juga untuk bertanyakan adik tentang update semasa sekolah ini. Katanya semakin seronok tinggal di sekolah ini. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang cukup islamik. Ia melahirkan para professional dalam bidang sains dan pada masa yang sama mengisi juga jiwa anak-anak ini dengan ilmu-ilmu agama.

Saya bertanya tentang bagaimana guru-guru sekolah ini mengajar, katanya ok, best saja. Setakat ini guru yang mengajar di tingkatan 4 merupakan guru yang sama mengajar di tingkatan 5. Saya bertanya, adakah mereka ini muda-muda atau berpengalaman? katanya, bercampur. Ok ka? Ok saja, tak ada masalah. Cuma apabila di tingkatan 5 ni mereka lebih bersungguh untuk mengajar.

Cerita tentang guru muda mengingatkan saya  sewaktu sekolah dahulu. Ada juga guru muda yang mengajar sampai ke tingkatan 5, dan dia begitu bersungguh-sungguh. Dengan tenaga yang ada padanya membuatkan kita terkepung dengan perhatiannya. Dan akhirnya subjek yang saya belajar di bawahnya mendapat keputusan yang baik juga. Mungkin lain pula dengan guru berpengalaman, mereka lebih santai, bermain dengan psikologi dan pengalaman.     

Berkaitan dengan akademik, pencapaian sekolah ini cukup membanggakan. Peperiksaan tingkatan 4 (first batch) pada tahun lepas sekolah ini mendapat kedudukan ke 2 daripada kalangan SBP selepas Sekolah Tun Fatimah. Katanya ranking ini tidak ada di internet kerana sekolah ini masih baru dan masih belum mendaftar dengan sistem ranking yang saya sendiri tidak tahu bagaimana prosesnya.

Untuk pengambilan tingkatan 4 kali ini katanya dia akan menjadi kakak facilitator. Seramai 15 orang guru tahfiz akan dibawa masuk untuk menjaga pelajar baru tingkatan 4 pada kemasukan kali ini. Setiap guru tahfiz ini akan memegang lebih kurang seramai 15 orang pelajar.

Asrama pula masih banyak yang kosong. Untuk intake kali ini ada juga kemungkinan pelajar yang baru masuk ini mendapat asrama yang masih baru. Sempat untuk saya sembahyang zohor disini. Teringat ketika masuk kedalam surau semasa mendaftar adik dahulu, surau ini kosong, tidak banyak kelengkapan. Tapi hari ini surau ini sudah nampak begitu ceria dengan kemudahan yang ditambah baik.

Selepas solat para pelajar diminta untuk menyampaikan ceramah mengikut jadual yang disediakan. Daripada sini ia dapat melatih aspek pengucapan umum dalam kalangan pelajar. Adik pernah cerita kekagumannya dengan beberapa orang pelajar yang menyampaikan tazkirah dengan begitu mantap disertai dengan ayat-ayat Quran dan hadis.

Hujung minggu merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar di sini. Mereka dibenarkan turun bermain pada waktu malam. Kawasan permainan diterangi lampu spotlight yang terang, dan kantin akan ditutup pada pukul 1 pagi.


Ada juga pelajar yang mengambil keputusan untuk keluar daripada sekolah ini walaupun telah menghabiskan setahun pengajian di sini. Situasi yang sama berlaku semasa saya bersekolah dahulu. Akhirnya mereka yang keluar selalunya akan menyesal. Kerana banyak faktor, antaranya mereka keluar ke sekolah lama dengan harapan bertemu rakan lama, tetapi rakan-rakan mereka telah berpindah ke sekolah yang lain dan ketika hari keputusan SPM, keputusan yang meraka perolehi tidak setanding rakan-rakan di sekolah yang mereka keluar ini. Pada saya, saya begitu yakin dengan sistem yang ada dalam sekolah berasrama penuh ini. Mungkin ini adalah sebuah sekolah yang baru, tetapi sistem yang pendidikan diamalkan bukan sesuatu yang baru.  


kantin sekolah

masa yang ada bersama ayah diguna sebaik mungkin


sesi tazkirah oleh pelajar

Memiliki

Manusia, kehidupan manusia secara fitrah diciptakan memerlukan orang lain untuk melengkapi hidupnya. Begitu juga dengan ciptaan lain, antaranya seperti arus elektrik yang mempunyai cas positif dan negatif. Apabila digabungkan menjadi arus yang neutral. Adanya sakit, muncul ubat yang menyembuhkan, selain tua dan kematian. Ironinya setiap yang diciptakan pasti akan ada kelemahan dan kelemahan itu dapat ditampung dengan penciptaan pasangan untuk saling melengkapi. Kehidupan ini semuanya berpasangan dan memerlukan.

Kisah Adam dan Hawa. Adam merupakan manusia pertama yang diciptakan Allah S.W.T. Allah meletakkan Adam di sebuah tempat yang cukup indah, bukan calang tempat. Syurga, ya… syurga. Tetapi ada sesuatu yang masih kurang, walaupun menetap di sebuah tempat yang paling indah. Adam tetap merasa kesunyian. Lalu Allah menjadikan Hawa sebagai pasangan Adam di syurga sebagai peneman. Itulah kehidupan manusia yang serba lemah, memerlukan pasangan dalam urusan seharian.

Tugas manusia hanya berusaha mencari yang terbaik. Siapakah dia yang benar-benar sesuai untuk dijadikan sebagai peneman dikala susah atau senang. Pelbagai ranjau dan liku perlu dihadapi untuk menjumpai seseorang yang sesuai. Kadang kala dengan ujian ini Allah melatih kita untuk menjadi seorang manusia yang kuat dan lebih bijak untuk menilai. Masa hadapan siapa yang tahu. Jodoh pertemuan, ajal, maut semuanya ditangan Allah S.W.T. Tugas kita hanya berusaha melakukan yang terbaik.

Semua yang ada dalam dunia ini hanyalah pinjaman Allah semata-mata. Manusia begitu lemah untuk memiliki sesuatu tanpa izinNya. Walaupun dapat memiliki, ianya tidak pernah kekal. Biarpun betapa agungnya sebuah cinta pasti akan ada detik perpisahan. Paling akhir berakhir dengan kematian. Satu contoh cinta agung. Cinta seorang ibu kepada anaknya yang begitu mendalam. Hingga suatu masa si ibu terpaksa melepaskan anak kesayangannya meredah lautan kehidupan yang ganas bergelora.

Bukti cinta si ibu. Si ibu tidak melepaskan anaknya begitu sahaja untuk terjun kedalam keganasan ombak kehidupan. Dia sedar akan hakikat masa hadapan anaknya. Dia tidak boleh selamanya berada di sisi anaknya. Dengan kasih sayang dia mempersiapkan anaknya supaya benar-benar bersedia untuk mengemudi kapal mengharungi keganasan ombak. Setiap gerak geri anaknya sentiasa bersama doa. Walaupun  anaknya dilepaskan, si ibu tetap menjadi penasihat yang paling setia dan benar-benar ikhlas.

Dalam kehidupan ini manusia benar-benar lemah untuk memiliki sesuatu. Mengapa? Diri sendiri juga Allah yang memiliki. Tika hati bertaut kepada sesuatu, rasa sayang datang mengisi ruang hati. Jadi apa tindakan yang perlu dibuat? Seorang manusia tidak boleh mengarahkan seorang yang lain untuk akur kepada kemahuannya tanpa sebarang ikatan. Mungkin sahaja boleh, tetapi dengan faktor masa segala hipokrit pasti tak akan dapat disembunyikan lagi. Mungkin atas faktor materialistik seseorang boleh akur, tetapi kena ada ganjaran yang sentiasa lumayan. Dalam mencari kebahagiaan, tiada ganjaran yang sentiasa lumayan.

Bukti sayang tidak hanya melalui percakapan. Ia boleh jadi melalui perbuatan dan ia boleh dirasai oleh hati kecil manusia. Mulut sering sahaja menipu dengan keindahan kata, tetapi perbuatan menunjukkan apa sebenarnya yang yang ada dalam hati, ia sentiasa penuh dengan harapan. Manusia diciptakan dengan naluri. Daripada naluri ini boleh dibuat satu kesimpulan berdasarkan tindak tanduk seseorang. Sayang tak semestinya mengikat. Sayang tak semestinya mengongkong. Hakikat sayang adalah tidak rela membiarkan orang yang kita sayang terseksa dengan aturan dan kemahuan kita tanpa ada satu alasan yang munasabah. Allah kan ada, serahkan kepada Allah untuk menjaga. Hakikat sayang juga tidak rela membiarkan orang yang kita sayang berada dalam kemurkaan Allah. =)

Setiap hari berdoa kepada Allah supaya orang yang disayangi sentiasa bahagia. Bahagialah walaupun mungkin bukan ditakdirkan untuk diri memilikinya. Allah jua yang maha mengetahui kerana dia yang Maha Pemelihara. Allah memiliki dan juga memelihara setiap mahkluk ciptaannya. Kita, sebagai hamba hanya boleh memiliki dengan sementara tetapi tidak ada kudrat untuk memelihara.     

Aku berserah kepadaMu Tuhan, Jagalah dia untukku. Aku sedar, hari ini aku tiada apa-apa hak untuk memiliki. Jadikanlah aku orang yang kuat untuk menerima ketentuanMu. Jagalah dia untuk ku. Andai rindu, aku mengadu kepadaMu kerana engkau sang pemilik segala hati…