Ads

Tahun baru

Kesibukan minggu peperiksaan membuatkan hati tidak tenang untuk melakukan banyak aktiviti lazim harian. Segala isu-isu semasa agak outdated dan tidak sempat untuk di update. Malam tahun baru, Keluar makan bersama seorang rakan. Dan bersembang sesuatu tentang tahun baru.

Bad, esok umur hang berapa ?

24, haha.

Itu tak pa lagi, Wan 25, Yamin 26, EJ 26, Fendi 27. Hahaha

Uish, tudia. Dah lewat 20-an tu. Hahaha.

Malam tahun baru diseling dengan ketawa besar tentang pertambahan umur.

Tak sangka, pejam celik, ketawa, sakit hati selama ini adalah masa yang telah berlalu. Tanpa disedari, majoriti rakan-rakan baik saya sudah menjangkau usia 25 tahun. Tempoh yang agak matang untuk membina sebuah kehidupan yang baru.

Belajar di universiti pun ada satu tahun setengah lagi. Dulu masa mula-mula masuk universiti, muka masing-masing macam budak lagi, sekarang sudah berjambang belaka. Hahaha. Sungguh pantas semua ini terjadi. Masa terus berjalan meninggalkan yang leka. Tubuh badan juga tidak pernah leka untuk membesar menjadi seorang dewasa. Tetapi tidak pasti adakah akal fikiran juga menuruti perkara yang sama.

Belajar mengenali manusia ada kalanya membuatkan saya tersenyum. Ada juga yang membuatkan hati sungguh panas. Inilah pengalaman yang mendewasakan. Apa yang penting peribadi diri mesti kuat untuk menahan diri daripada terbabas melakukan perkara tidak sepatutnya. Macam-macam projek juga yang perlu dirancang untuk mengenali erti sebuah kehidupan.

Hari ini saya belajar sesuatu yang penting. Tanggungjawab. Kalau tidak dilaksanakan, siapa lagi yang mahu laksanakan. Pertambahan umur diiringi tanggungjawab. Manusia silih berganti memikul tugasan. Yang lama pergi meninggalkan buat selama-lamanya. Yang baru perlu membesar dengan baik dengan bimbingan orang besar yang masih hidup. 

Apapun inilah nikmat Allah yang sangat besar. Kesempatan untuk hidup lagi. Alhamdulillah. Semoga diri ini tidak terus lalai.

                                                                                                                                     31 Disember 2013

Kesempurnaan

Kita pasti mengharapkan sesuatu yang terbaik dalam kehidupan. Segala perkara yang dilakukan pasti mengharapkan hasil yang terbaik.  Apabila terlalu mengharapkan kepada kesempurnaan, hati tidak menjadi tenang memikirkan sesuatu yang sentiasa berada di luar jangkaan. Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari.

Mencari kesempurnaan pada saya adalah mustahil kerana kita sendiri sebagai manusia penuh dengan kelemahan. Tetapi untuk mencuba yang terbaik adalah hak kita. Segala ketentuan Allah perlu diterima setelah bekerja dengan bersungguh-sungguh. Bukan senang untuk menjadi yang terbaik. Keperitan menahan proses itu yang membuatkan tidak tahan. Jadi dimana sumber kekuatan kita?

Kekuatan perlu dibentuk daripada dalaman diri. Apabila sumber kekuatan diri disandarkan kepada faktor luaran seperti kehadiran kekasih, kerana wang, ia mungkin tidak bertahan lama. Mudah untuk diruntuhkan semangat itu. Tetapi sesuatu yang betul-betul daripada dalam diri, atas kesanggupan sendiri pasti ia lebih bertahan.

Hingga suatu masa apabila kita terdesak, tiada lagi manusia yang boleh menolong kita. Fikiran juga menjadi beku tidak dapat berfikir. Siapa lagi yang boleh menolong pada saat ini? Kepada siapa lagi kecuali Kepada Allah jua tempat kita mengadu. Allah itu amat dekat dengan kita. Hubungan dengan Allah itu penting baru ada rasa kemanisan untuk berdialog dengan Allah.

Allah itu adalah pemilik segala hati. Sekiranya kita mempunyai hasrat terhadap sesuatu/seseorang sampaikan kepada Allah dan Allah jua yang akan menyampaikan hasrat kita itu. Manusia ini tiada yang sempurna, maka Allah beri ruang untuk manusia menjadi lebih baik dengan menawarkan beberapa ganjaran dan manusia harus meminta kepadanya untuk menutup segala lubang kelemahan.


Tulis

Semester ini merupakan semester yang agak sibuk. Pejam celik sudah 3 tahun saya menjejakkan kaki di Universiti ini. ramai senior-senior yang telah keluar. Segala perjalanan organisasi sedikit demi sedikit diserahkan kepada pelapis. Tugasan baru, kerja-kerja akademik yang semakin mencabar mula datang. Sedikit demi sedikit tanggungjawab itu datang hingga menjadikan masa hari ini berlalu dengan pantas. Hampir sebulan tidak menulis di blog ini.

Tugasan-tugasan ini mematangkan saya, ia membuatkan saya mengenal erti kedewasaan. Apabila menguruskan sesuatu yang belum pernah dilakukan membuatkan saya belajar banyak perkara baru dalam kehidupan. Pandangan terhadap sesuatu perkara menjadi lebih realistik. Terkadang saya terfikir mengapa mahu menulis selama ini. Adakah kerana mahu terbitkan sebuah buku semata atau menjadikan kehidupan manusia lebih baik.

Pengalaman mengajar saya banyak perkara yang bernilai. Semoga diri ini diberikan kesempatan masa untuk menulis kembali dengan niat dan matlamat yang lebih jelas.  

                               
                                                                                                                         8.54 am, 10 Disember2013