Ads

Ibu

15 November 2013, 3.39 AM. Aku melihat jam dihadapan laptop, sambil ditemani lampu meja yang bercahaya malap. Kebelakang hari ini hatiku menjadi gundah. Entah mengapa, tidak tahu punca. Bingung aku memikirkannya. Masalah semakin lama memberikan cabaran kepada aku. Hari ini setiap tahun dalam hidupku aku pasti akan mendapat satu masej yang membuatkan aku menitiskan air mata….kesyukuran. Daripada seorang wanita yang begitu mencintai aku. Bukti cintanya telah terbentang luas. Apa yang ada pada diriku adalah hasil bukti cintanya kepadaku. Wanita ini tidak pernah mengkhianati aku walau aku berkali-kali mengkhianatinya. Dia tetap memberikan harapan kepada hati batuku. Hinggalah hatiku menjadi lembut dengan cintanya.

21 tahun yang lalu, aku masih belum mengerti erti kehidupan. Aku bukanlah sesiapa tanpa seorang yang sanggup menahan kesakitan kerana cintanya kepada aku. Wanita ini tidak pernah melihatku, aku tidak pernah menolong melakukan tugasannya, tetapi dia sanggup mahu menahan sakit kerana cintanya. Sesungguhnya cinta itu begitu suci, yang mengotorinya hanya manusia jua.

Aku bukanlah seorang yang bijaksana, tetapi dia membuatkan aku merasa bagaikan orang bijak, aku bukanlah bernilai dimata orang, tetapi aku menjadi begitu bernilai dimatanya, aku bukanlah seorang yang boleh memberikan harapan kepada sesiapa tetapi dia tetap memberikan harapannya kepadaku. Malam ini hujan renyai-renyai, sambil ditemani kemalapan lampu meja, membuatkan hatiku lebih sayu untuk menahan sebak. Entah mengapa, setiap tahun aku merasai perasaan ini. Ia tetap sama. Dan kesakitan yang dialami pada malam ini, 21 tahun yang lalu tidak pernah padam kerana cinta...


Ibu, Air mataku mengalir kesyukuran, Kerana... 21 Tahun yang lalu...


Gagal

Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Dalam kehidupan, pasti ada naik dan turunnya. Benarlah kata orang hidup ibarat roda. Kalau hidup ini asyik berada di atas sahaja, tidak berwarna warni pula perjalanan hidup. Sekiranya semuanya berjalan dengan lancar, mungkin sahaja apa yang baik tidak dapat ditemui lagi kerana sudah biasa dengan kesenangan. Dengan kesusahan kita belajar apa itu kesenangan.

Dengan kegagalan perlu belajar daripadanya. Perlu bangun. Allah tidak suka kepada orang yang berputus asa. Indahnya menjadi islam. Dengan kegagalan kita terus mencari apa itu erti kejayaan. Sekiranya gagal lagi,  cari lagi kenapa gagal. Sekiranya gagal lagi… akhir sekali carilah apa itu erti kejayaan. Kejayaan adalah sesuatu yang begitu subjektif untuk dinilai. Kejayaan itu harganya berbeza kepada setiap orang. Fikirlah makna kejayaan itu apa sebenarnya. Luaskan pandangan dengan makna kejayaan.

Kejayaan bukanlah semata-mata dikaitkan dengan wang yang banyak, bukan mendapat banyak A dalam peperiksaan. Kerap kali kemanisan kejayaan itu bukan kerana materialistik. Kejayaan adalah memberikan kebahagiaan kepada orang yang tersayang. Kejayaan boleh dikira dengan membuatkan orang gembira. Untuk memberi bahagia tidak perlu wang yang banyak. Apalah guna sekiranya wang yang banyak tetapi tidak dikongsi dengan orang yang tersayang akibat kelalaian sendiri atau takdir yang memisahkan.
  
Apa yang penting kita terus mencari apakah kejayaan pada diri kita. Hati menjadi gundah apabila kita sempitkan makna kejayaan. Ibu sentiasa pesan lahir sahaja kamu ke dunia ini, pasti ada rezeki yang Allah telah aturkan. Terima kasih ibu kerana sentiasa menyedarkan kami.


Dan, Kejayaan yang abadi adalah kejayaan menurut perintah Allah serta mengharapkan rahmat daripadaNya. Semoga diberikan kekuatan untuk berada di jalanMu Ya Rabb.

Berperang

Adat orang berniaga kadang-kadang untung, kadang-kadang rugi. Rezeki Allah siapa yang tahu. Apa yang menjadi hak kita sebagai manusia adalah berusaha. Sempat saya bersembang dengan seorang pakcik, dia berniaga bakso bersebelahan dengan tempat saya dan rakan-rakan berniaga di pesta konvo baru-baru ini. Ketika ketandusan pelanggan saya pergi ke gerai pakcik itu untuk membeli makanan dan bersembang dengannya.

Dia tanya bagaimana dengan hasil hari ini, saya menjawab kurang sikit pakcik, lagipun cuaca hujan sepanjang hari. Biasalah adat orang berniaga. Mana boleh untung selalu katanya. Saya kata, itulah pakcik, hari ni macam tak berbaloi. Dia kata rezeki itu milik Allah. Berniaga ini sebenarnya ibarat berperang. Ada masa kita kalah ada masa kita menang.

Katanya lagi kita dah menyediakan kelengkapan yang baik, kita dah berusaha dengan baik, keputusan kita tidak boleh jangka. Saya seronok mendengar pengalaman daripada orang yang lama ini. Apabila dia kaitkan perniagaan dan peperangan saya terfikir, ini adalah peperangan pada zaman moden.

Teringat apabila membaca buku falsafah Tsun Zhu yang berkaitan dengan falsafah peperangan. Orang cina menggunakan falsafah ini untuk menjalankan perniagaan mereka. Tetapi falsafah ini agak tidak kena dengan Islam kerana mempunyai elemen penipuan dalam peperangan. Tetapi mungkin boleh ambil mana yang baik untuk dijadikan contoh dan idea.


Seronok juga apabila perniagaan ini dikaitkan dengan peperangan. Barulah nampak hidup dan matinya. Menjadikan diri lebih serius dan bersemangat untuk sentiasa menang.   

Pengkritik

Untuk membangunkan sesebuah organisasi kritikan yang membina amat perlu untuk membaiki segala kesalahan yang dibuat. Pada saya kritikan terbahagi kepada dua. Yang pertama adalah kritikan yang membina. Ia dilontarkan dengan hati yang ikhlas untuk melihat perubahan yang baik dan yang kedua adalah kritikan yang berniat jahat untuk menghasut orang lain menyebelahinya untuk menentang sesuatu perkara.

Apa yang saya lihat, kritikan yang membina tidak dibuat secara keterlaluan. Ia tidak dilontar dengan emosi. Sebaliknya ada fakta dan logik yang kuat kenapa sesuatu perkara perlu diperbaiki. Kritikan yang baik bukan hanya ikut cakap orang sama seperti lalang. Kritikan ini untuk mengajak orang lain berfikir dan menyelesaikan masalah. Ia bukan menyemai kebencian kepada pihak yang melaksana. Si pengkritik seharusnya perlu mempunyai cita-cita tinggi untuk membetulkan perkara yang tidak baik.

Kritikan yang buruk pula sekadar menghasut orang lain. Sembang dengan hanya apa yang terlintas dalam fikiran pada masa itu sahaja. Di kedai kopi. Ia tidak disertai dengan kajian, sebaliknya bersumberkan sesuatu yang berat sebelah dan andaian sendiri. Sesiapa juga boleh membuat andaian. Untuk menjadi seorang yang berfikiran positif pun banyak perkara yang perlu dilakukan dengan cara banyak membaca bahan ilmiah dan juga menjaga disiplin diri dengan baik. Kritikan ini tidak fokus kepada isu yang dibincang, sebaliknya ia merebak jauh menyentuh peribadi si pelaksana.

Semua orang boleh mengkritik, tetapi tidak semua orang boleh memberi penyelesaian kepada masalah yang terjadi. Mulut amat ringan untuk berkata-kata, tetapi berat sungguh badan untuk bergerak dengan apa yang dikata. Selalunya orang yang hanya tahu mengkritik tanpa berusaha hanya mahu orang lain melakukan perubahan untuknya. Dia tidak pernah fikir bagaimana dirinya boleh mengubah sesuatu perkara walaupun dengan perkara yang kecil.


Mengkritik tidak salah tetapi biarlah ada kesan yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat. Bukan hanya suara didalam selimut apabila dibuka selimut terus kecut untuk berkata-kata.