Ads

Konvokesyen 9

Setelah 3 tahun menjejakkan kaki ke UTeM ini. Tetapi ini adalah kali pertama saya terlibat secara langsung dengan majlis gilang gemilang Universiti ini. Sebelum ini tidak langsung tertarik dengan majlis tahunan ini sehinggalah ada komitmen yang perlu diberi untuk menjayakan majlis tahun ini.

Banyak peristiwa yang terjadi. Kebanyakannya adalah peristiwa yang menggembirakan. Seronok melihat rakan-rakan senior datang dengan berpakaian kemas. Blazer, seluar slack hitam, kasut yang berkilat dan rambut disisir dengan rapi. Ada juga yang datang dengan memakai baju melayu. Sungguh tinggi adab Melayu ini.

Ramai rakan-rakan senior yang saya kenal dahulunya menjadi pemimpin persatuan. Daripada sana saya mula mengenali mereka. Dan daripada situ juga keakraban dibina. Dahulu sama-sama bekerja untuk memajukan persatuan, tetapi hari ini saya melihat mereka dengan pandangan yang begitu tinggi sekali terhadap kejayaan yang mereka perolehi.

Pesta konvo ini juga mengingatkan saya kepada suatu ketika dahulu dimana sewaktu kami adik beradik kecil, kami menghadiri majlis konvokesyen ayah di UPSI. Pada masa itu saya tidak tahu apa pun, yang saya tahu ayah diraikan dengan kejayaannya. Ada bunga dan Ibu yang sentiasa di sisinya. Hari ini saya merasai keperitan untuk berjaya seperti ayah.

Sempat juga berbual dengan pengalaman-pengalaman rakan-rakan senior ini. Ada yang telah berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik dan ada juga yang masih tercari-cari. Banyak cerita yang diperolehi daripada situasi mereka di interview, perasaan mereka setelah bergraduan, dan soalan yang saya paling gemar sekali untuk bertanya adalah “tak nak sambung belajar ke?”

Masing-masing ada alasan sendiri. Saya lihat bukan bunga yang banyak dapat meraikan, bukan layanan istimewa yang dapat membahagiakan. Tetapi adanya orang yang tersayang disisi sudah cukup buat diri merasi bahagia.


Jodoh

Hidup berpasangan merupakan fitrah kepada setiap manusia. Membina keluarga yang bahagia pasti menjadi harapan utama setiap pasangan yang berkahwin. Sebelum melangkah jauh, persiapan yang rapi perlu ada untuk menempuh cabaran baru. Perkahwinan bukanlah sebuah permulaan kepada matlamat, kehidupan dan pengorbanan. Ia adalah tingkatan baharu kepada kehidupan. Ia adalah stage baharu yang lebih sukar. Sama seperti permainan video, lebih tinggi stage yang berjaya dijejak lebih sukar cabaran.

Akhir-akhir ini Allah sudah menunjukkan bunga-bunga kepada perkara ini, menjadikan saya terpanggil untuk melontar pendapat di blog ini. Saya tidak gelojoh mencari dan tidak menghindarkan diri. Jodoh Allah siapa yang tahu. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Apa yang boleh dilakukan hanya melihat, berfikir dan mengeluarkan satu kesimpulan. Adakah ini akan menjadikan diri lebih baik atau sebaliknya.  

Selari dengan pertambahan umur perkara seperti ini akan datang mengusik juga. Ia terpulang kepada kita bagaimana untuk menguruskannya. Kita tidak mungkin dapat membuang perasaan itu. Ada banyak pendapat dalam perkahwinan.

Ada yang berkata umur yang muda tidak bagus untuk berkahwin. Kena tunggu dewasa sedikit baru jadi lebih matang. Tetapi mengapa ada sahaja penceraian dalam kalangan orang dewasa. Sudah tua-tua pun masih ada alasan tidak serasi walaupun sudah puluhan tahun bersama.

Mengapa ada pasangan yang dahulunya berkahwin muda tetapi kekal hingga akhir hayat. Saya fikir ini bukan soal umur. Ia soal keperibadian (akhlak). Keperibadian yang baik menghasilkan matlamat yang baik. Matlamat yang baik memacu tindakan yang baik.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada kita sudah bersedia atau belum? Soal kewangan? pada saya penting tetapi bukan faktor yang paling besar. Mengapa ada sahaja orang yang kaya bercerai? Mengapa ada orang yang sedikit susah, mempunyai anak yang ramai boleh hidup bahagia? Terlalu banyak persoalan yang boleh ditimbulkan dengan seni kehidupan ciptaan Allah ini. Pasti ada sesuatu matlamat yang boleh membuatkan seluruh kehidupan bahagia dimana ia  mampu untuk dicapai.

Yang penting kita jangan menipu diri dengan berkata saya sudah bersedia. Mintalah petunjuk daripada Allah dengan solat istihkarah dan berdoa. Bukan dengan keluar bersama melakukan perkara yang jauh menyimpang kononnya mengenali hati budi. Berpada-padalah.

Saya kurang gemar membicarakan soal jodoh ini dengan berlebihan kerana ia selalunya akan menghadirkan rasa syok sendiri. Rasa bangga dengan pasangan yang masih belum ada apa-apa ikatan. Apabila rasa bangga itu menjadi berlebihan, perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dibuat. Ia selalunya ditutupi oleh keindahan yang dimainkan oleh diri sendiri.