Ads

Program Bakti Disemai Bukti Dituai

Pada 28 September 2013 Kelab Rukun Tetanggga dan Persatuan Penduduk Taman Bukit Katil Damai Melaka telah mengadakan program bumi hijau dengan kerjasama daripada Mahasiswa/I Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Program ini melibatkan penyertaan hampir 40 orang mahasiswa/I UTeM. Antara Program yang dijalankan adalah menanam pokok, membersihkan taska dan sekita taman, serta membina pondok pengawal di pintu masuk Taman Bukit Katil Damai. Sebanyak 103 batang pokok berjaya ditanam di sekitar taman. Program seperti ini dapat dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat luar dengan mahasiswa/I daripada UTeM.  












Photos by : Ridz maxx & Shuril

Laporan Program BBQ Anjuran Pembina Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Pada 22 September 2013 yang lalu, Pembina Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan sebuah program BBQ di Taman Botanikal Ayer Keroh. Program ini disertai hampir 50 orang pelajar lelaki daripada UTeM. Program dimulakan pada Pukul 10.30 pagi dengan penerangan tentang perjalanan program kepada peserta. Selepas taklimat ringkas peserta dibahagikan kepada kumpulan. 5 kumpulan dibentuk dan setiap kumpulan mempunyai bilangan ahli 7 hingga 8 orang. Aktiviti yang dijalankan berbentuk permainan. Dalam permainan pertama, Ia bertujuan untuk membentuk komunikasi yang baik sesama ahli kumpulan. Setiap kumpulan perlu menghantar seorang wakil sebagai pemberi arahan kepada ahli kumpulan yang lain. Ketua kumpulan dikehendaki menggayakan dengan bahasa badan seperti apa yang telah ditulis didalam kertas. Ahli kumpulan perlu meneka sehingga betul. Setiap kumpulan yang menang akan diberikan seutas tali. Kepanjangan tali mengikut siapa yang menyelesaikan tugasan terlebih dahulu akan mendapat tali yang lebih panjang. Permainan kedua diadakan untuk mengukuhkan persefahaman sesama ahli kumpulan. Setiap ahli kumpulan diberikan seutas tali. Mereka dikehendaki membuat satu bulatan kecil dan ahli kumpulan lain dikehendaki memegang hujung tali yang dipegang oleh pemilik tali. Mereka perlu menyelesaikan kekusutan tali yang dipegang dan menghuraikan sehingga mereka menjadi sebuah bulatan yang besar dengan tali dijadikan sebagai alat penghubung. Mana-mana kumpulan yang menang akan diberikan tali tambahan yang lebih panjang sebagai bekalan pada permainan akhir. Pada permainan ketiga, setiap ahli kumpulan dikehendaki untuk menutup mata dan hanya berkomunikasi melalui suara dan pendengaran. Tujuan aktiviti ini diadakan untuk melihat adakah persefahaman dapat dicapai walaupun deria penglihatan yang menjadi sumberkomunikasi utama ditutup. Setiap kumpulan dikehendaki membentuk formasi segi empat tepat, bulatan dan pentagon. Peranan ketua amat penting dalam permainan ini untuk menguruskan ahli supaya membentuk formasi yang diberi dengan mata yang tertutup. Kumpulan yang menang diberikan seutas lagi tali yang lebih panjang. Selepas 3 permainan, para peserta diberikan rehat sebelum menyambung permainan yang terakhir. Pada sesi rehat peserta diberikan penerangan oleh senior-senior UTeM tentang apa itu Pembina. Selepas 15 minit rehat acara terakhir diteruskan. Semua kumpulan dikehendaki untuk menyambung tali yang diberikan supaya menjadi lebih panjang. Kumpulan yang berjaya menyambung tali yang paling panjang adalah pemenang. Permainan ditamatkan pada jam 12.30 Tengah hari. Semua peserta menjamu selera dengan hidangan BBQ yang disediakan. Program diakhiri dengan sesi tazkirah oleh cikgu Alif. Pada jam 1.30 petang program ditamatkan.     















All Photos by e.amy

Organisasi

Untuk mencapai sesuatu matlamat kita tidak boleh bekerja seorang diri. Seseorang perlu belajar daripada orang yang lebih pandai ataupun daripada pengalaman sesebuah organisasi dalam menguruskan sesuatu agenda. Dengan bekerjasama ia dapat menutup lopong-lopong yang ada dalam diri. Kerjasama boleh dicapai didalam sesebuah pertubuhan/kerjasama. Ia menjadi lebih indah sekiranya semua itu dilakukan kerana Allah S.W.T. Untuk mencapai matlamat, kita sendiri yang pilih cara. Lazimnya matlamat mungkin banyak yang sama tetapi cara untuk mencapainya sangat berbeza-beza mengikut kemampuan diri.

Salah satu daripada cara mencapai matlamat diri adalah dengan menyertai program-program yang berbentuk membina skill, kerohanian dan juga pemikiran. Setiap program yang dianjur pasti ada pihak yang menguruskannya. Namun, ada orang hanya mahu  menyertai program tetapi tidak mahu untuk diserap dan terikat bersama organisasi tersebut. Hanya mahu menjadikan diri lebih baik tanpa dikongkong oleh cita-cita organisasi tersebut. Manusia datang daripada pelbagai latar belakang. Mereka mungkin ada cita-cita sendiri. Tetapi tidak cukup kuat untuk menggapai cita-cita tersebut kerana ada yang masih kurang dalam diri. Maka masuk kedalam sebuah program untuk belajar.

Program yang diikuti itu mungkin ia hanyalah sebagai suatu sub kepada apa yang perlu dilakukan untuk menggapai cita-citanya itu. Kita tidak boleh membuatkan seseorang yang lain untuk mengikuti cita-cita dan harapan kita. Penetapan cita-cita bergantung kepada taraf kehidupan, didikan awal dan pengalaman yang dilalui. Maka ianya pasti akan berbeza-beza. Mungkin ada yang meletakkan cita-cita yang besar. Ada juga yang meletakkan cita-cita lebih kecil tetapi lebih mendalam yang turut merangkumi cita-cita besar orang lain.

Mudahnya begini, seorang pemuda A mahu menjalankan perusaharaan kereta. Seorang pemuda B mahu menjadi pengeluar minyak hitam yang paling berkualiti. Ia mempunyai kaitan dengan asas kereta tetapi matlamatnya adalah berbeza. Pemuda A perlu belajar bagaimana cara minyak hitam bergerak didalam enjin. Dia menuntut dengan pemuda B. Pemuda B mempunyai cita-cita untuk menghasilkan minyak hitam yang paling berkualiti di dunia. Pemuda B tidak boleh memaksa pemuda A bekerja dengannya untuk menghasilkan minyak hitam yang paling berkualiti. Pemuda A sekadar mahu belajar bagaimana minyak hitam bergerak. Dia ada agendanya sendiri. Cerita ini boleh jadi terbalik sekiranya pemuda B yang menuntut dengan pemuda A. Matlamat mereka adalah sama, untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai.

Hasil daripada gabungan ini pastinya akan menghadirkan variasi kominiti, idea dan kepakaran dimana ia dapat menjadikan sebuah komuniti yang hebat. Pada saya tidak perlu risau seandainya kita masuk kedalam sesebuah organisasi untuk mencari ilmu. Untuk memilih cara bagaimana matlamat kita dapat dicapai itu adalah pilihan sendiri. Kehidupan berorganisasi amat perlu. Lebih baik bergerak dalam kumpulan. Tetapi dalam dunia ini terlalu banyak kumpulan atau pertubuhan yang ada. Ia tidak termasuk dengan perjanjian tidak rasmi bersama teman-teman rapat untuk menjalankan sesuatu projek dimana mereka mempunyai matlamat dan minat yang sama.

Walaubagaimanapun, kita perlu melihat kemampuan diri sendiri. Adakah mampu untuk keluar dan setting kehidupan dengan sendiri. Jika tidak mampu dan tiada idea organisasi adalah jalan terbaik. Mungkin disana terdapat Idea baru yang boleh membuka mata. Faktor tempat juga amat penting. Kalau berada di negara orang, atau di tempat yang tidak ada sinar islam, mana-mana organisasi yang berteraskan Islam amat baik untuk disertai bagi menjaga fikrah islam dalam diri.


Kunci disini adalah kita tidak boleh bergerak seorang. Lebih ramai lebih bagus. Tetapi ia perlu kena dengan jiwa supaya segala keghairahan untuk mencapai yang lebih tinggi mengikut minat yang mendalam tidak terbantut dengan sistem yang bukan menjadi agenda utama kepada diri seseorang. Ada banyak benda baik dalam dunia ini. Tetapi sukar untuk membezakannya adakah ia benar-benar baik kepada kita.

Rahsia tarikh lahir

Ada apa dengan tarikh lahir? Agak seronok juga mengira nombor tarikh lahir ini dan merujuk kepada karekter serta kebolehan tertentu yang mewakili nombor tersebut. Tetapi adakah cara ini boleh dilakukan atau ianya salah dan tidak boleh dikakukan. Dalam entry ini saya tidak membincangkan bagaimana cara untuk mencari dan mengira nombor tarikh lahir untuk mengenal identiti diri. Terlalu banyak blog-blog atau portal lain yang ada boleh dijadikan rujukan.

Cuti minggu baru-baru ini seorang adik saya yang belajar di sebuah sekolah agama yang berstatus asrama penuh pulang dan menceritakan di sekolahnya ada dijalankan satu program mengira tarikh lahir untuk mengenal watak berdasarkan kajian daripada Al-Quran. Saya menjadi agak teruja kerana ia bersangkut dengan Al-Quran. Kaedah pengiraannyanya sedikit berbeza dengan apa yang biasa saya lihat di internet.

Ia mengingatkan saya semasa zaman persekolahan dahulu di salah sebuah sekolah berasrama penuh. Seawal pengajian, kami banyak didedahkan dengan soalah-soalan untuk mengenal watak diri. Ia tiada jawapan yang betul dan tiada jawapan yang salah. Ativiti ini diadakan dengan kerap. Penceramah daripada luar kadangkala dijemput untuk menjalankan proses ini dengan lebih berkesan.

Mungkin ini adalah satu cara sekolah berasrama penuh mengenal watak dan potensi setiap pelajarnya secara umum. Saya agak bersetuju dengan program ini kerana setiap manusia yang lahir telah tertulis segala rezeki untuknya di bumi ini. Tarikh lahir juga pastinya merujuk kepada sesuatu perkara untuk dijadikan rujukan.
Tetapi mengira tarikh lahir ini bukanlah semata-mata kita percaya kepada apa yang dikaji itu. Hanya Allah juga yang maha mengetahui. Sepanjang saya membuat pengiraan hasilnya tidaklah 100% tepat. Tetapi peratusan ketepatannya tinggi juga.

Ia bergantung juga kepada persekitaran hidup. Didikan keluarga boleh mencorakkan pemikiran dan karakter seseorang. Daya usaha yang gigih boleh menjadikan seseorang itu berjaya walaupun tidak mempunyai kepakaran seperti yang terdapat dalam pengiraan. Sekiranya ini dijadikan rujukan, pastinya dunia ini tidak akan menjadi indah. Mungkin kita akan malas berusaha lagi kerana kononnya sudah tahu apa kelebihan yang ada.

Ia bukanlah meramal masa hadapan. Ia tidak lebih untuk mengenal diri. Keputusan yang dapat bukanlah untuk menjadikan diri lebih malas, tetapi menjadi panduan dan sebagai alat untuk lebih mengenal diri dan bersyukur kepada pemberian Allah. Kadangkala kita sendiri menjadi keliru dengan diri sendiri. Mungkin dengan cara ini ia dapat menghurai kekusutan diri dengan jawapan yang mudah.



Sejarah dan masa depan

Peperangan politik memasuki fasa yang baru. Ia bukan lagi hanya fokus kepada masa hadapan. Peperangan ini sedikit demi sedikit mengundur kembali bagi mengimbau sejarah. Namun, bukanlah untuk dihayati. Tetapi dalam proses untuk mencelarukan, memutar belitkan supaya kena dengan ideologi yang dibawa masing-masing.

Terkadang agak pelik, sejarah adalah sesuatu yang sudah termaktub. Ia diceritakan sejak berzaman. Ada  juga yang didokumentasikan untuk dipelihara. Tetapi mengapa ada juga yang masih tidak percaya dengannya. Soal siapa yang menuntut kemerdekaan, pemilihan bendera negara tidak sepatutnya dipersoalkan. Ia adalah perkara besar dan mempunyai bukti yang kuat. Sejarah perlu difahami apa asasnya. Sesuatu yang berlaku apa punca yang sebenarnya.

Tetapi ia diputarbelitkan dengan mengangkat cerita kecil pada masa itu menjadi cerita utama untuk dijadikan sebagai pengganti sejarah pada hari ini. Dengan ini ceritanya akan menjadi berbeza walaupun masa dan tempatnya adalah sama. Ada juga yang membuat persepsi sendiri tentang apa yang berlaku pada masa itu. Ia tidak membantu, tetapi menimbulkan pelbagai lagi persoalan.

Masa hadapan kian kabur dengan kekeliruan sejarah yang dibuat. Hari ini bukan soal memperjuangkan masa hadapan semata-mata. Tetapi sehingga meracuni akarnya. Mahu bermula daripada bawah untuk mengubah masa hadapan supaya kena dengan ideologi yang dibawa. Anak muda hari ini sudah tidak peka lagi dengan budaya bangsa. Namun, bukanlah semuanya. Budaya daripada luar begitu senang untuk meresap kedalam diri.

Dunia tanpa had menjadikan segala-galanya perlu untuk berjaga-jaga bukan untuk keluar sebebas-bebasnya.
Sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan ketulenan sejarah dipelihara. Apa yang lebih penting perlu difikirkan bagaimana untuk menjadikan anak-anak muda generasi masa hadapan lebih peka dan menghayati sejarah negara. Ini bukanlah semata-mata bermotifkan politik, tetapi ia adalah tentang jati diri masyarakat. Tak akan mahu hidup dengan sejarah yang menipu. Apalah gunanya sekiranya cerita hebat tetapi penuh dengan penipuan.

Memperkasakan sejarah ke dalam diri generasi muda amat penting. Kerajaan atau golongan akademik perlu mencari kaedah untuk memelihara generasi masa hadapan supaya tidak terjadi kecelaruan identiti dalam masyarakat.