Ads

Pasar Malam : Tempat mencari pengalaman


Sejak di bangku persekolahan sehinggalah peringkat Universiti perkataan keusahawanan pasti akan terdapat dalam misi atau pelan strategik pusat-pusat pengajian ini. Saya tidak mengerti apa maksudnya keusahawanan yang mereka canangkan. Semasa di bangku sekolah, saya melihat rakan-rakan aktif dalam keusahaawanan. Mereka membuka syarikat dan memajukannya dengan pelbagai cara. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan. Mungkin ini adalah masanya untuk mencuba sendiri. 

Setuju atau tidak sekiranya saya berpendapat pasar malam merupakan nadi ekonomi dan wadah pencarian pengalaman untuk orang-orang melayu khususnya? Tanggapan saya dahulunya melihat pasar malam ini adalah suatu tempat yang lekeh, kurang kebersihan dan melalaikan.

Tetapi apabila melihat daripada perspektif yang berbeza dengan terjun sendiri ke dalam kehidupan sebagai seorang peniaga, saya mengakui pasar malam ini tidaklah seperti yang saya bayangkan dahulu. Sebagai orang yang baru bertatih saya melihat kewujudan pasar malam ini sungguh besar manfaatnya kepada orang-orang baru dalam perniagaan dan kepada ekonomi orang Melayu.

Orang-orang melayu saya percaya tidak ramai yang mampu untuk membuka kedai yang besar, dan membayar sewa tapak yang mahal. Ia mungkin tidak menjadi masalah bagi peniaga Berbangsa Cina. Pasar malam inilah wadah yang ada untuk mencari pengalaman dan berniaga dengan modal yang lebih rendah. Saya ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan atau penganjur dapat menjadikan pasar malam ini sebagai sebuah majlis yang besar, kemas dan selesa. Tandas, surau serta perkara asas lain perlu disediakan.  

Bulan Ramadhan bakal tiba tidak lama lagi, sebelum ini saya dan beberapa orang rakan bercadang untuk melibatkan diri dalam perniagaan pada bulan Ramadhan kali ini. Keputusan dibuat kerana kami mempunyai masa yang banyak setelah berakhirnya praktikal dalaman secara harian di Universiti. Kadang-kadang kami pulang seawal jam 12 tengah hari. Pada petangnya tiada apa yang dibuat. Setiap hari hanya membelanjakan wang sahaja.

Daripada bekerja dengan orang, lebih baik mencuba untuk mengatur perjalanan pendapatan sendiri. Berapa yang bakal diperolehi bukan menjadi matlamat, tetapi kepuasan dan pengalaman yang lebih mahal harganya.

Sebenarnya amat beruntung menjadi Mahasiswa berniaga. Walaupun masih baru dan belum berjaya, ucapan tahniah daripada orang-orang yang lebih tua mencurah-curah. Mereka seakan-akan memandang tinggi aspek keusahawanan ini. Kerajaan juga ada menyediakan kuota khas untuk Mahasiswa berniaga dalam pemberian tapak melalui Fama. Mahu menjadi Mahasiswa yang baik atau sebaliknya itu terpulang kembali kepada individu bagaimana mereka melihat masa hadapan.

Pengalaman 

Pengalaman pertama berniaga begitu mengujakan. Walaupun ada sedikit perasaan gementar, biasalah ini adalah kali pertama. Langkah pertama pasti tiada yang sempurna. Belajar daripada kesilapan dan pengalaman. Kami amat bertuah kerana dapat berjiran dengan 2 orang makcik peniaga lama di sini. Mereka cukup peramah. Kami banyak bertanyakan tentang perjalanan dan situasi disini. Saya suka untuk mengetahui pengalaman makcik berdua itu dalam perniagaan pasar malamya. Alhamdulillah, mereka tidak sedikitpun lokek untuk berkongsi. Sambutan yang menggalakkan diterima membuatkan kami  lebih bersemangat untuk terus berusaha. Daripada sini, banyak ragam kami lihat daripada pelanggan yang datang untuk membeli. Ada yang membeli sebaris air yang kami jual secara serentak, katanya untuk merasa.  Saya yakin mereka bukan “spy” daripada sini kerana datang bersama keluarga.

kepuasan dapat dirasai kerana ini adalah hasil usaha sendiri. Wang dan servis bertukar tangan secara terus. Nampaklah hasilnya dengan nyata sekali.

Melihat kepada situasi, saya berpendapat pasar malam ini tidak melalaikan. Yang lalai adalah peniaga itu sendiri. Waktu solat, kebersihan dan ketertiban merupakan perkara yang penting yang harus dijaga. Itu adalah aspek pengurusan diri sendiri. Mana yang penting haruslah utamakan. Jangan sampai menjadi lalai mengejar dunia.

Semoga dengan usaha ini dapat mematangkan diri dan menjadi lebih realiti dengan apa itu kehidupan.



Negara orang, pandangan orang

Sudah lama tidak menulis kerana kesibukan tugasan, laptop rosak dan juga daripada kelalaian menguruskan masa dengan baik. Hari ini hati tergerak kembali untuk menulis semula walaupun menggunakan laptop seorang sahabat.

Pada semester ini kumpulan di universiti saya menerima kunjungan pelajar daripada Indonesia. Mereka daripada program exchange student yang dianjur oleh pihak universiti. Pada mulanya kami satu kelas agak janggal untuk bertegur sapa dan bertanyakan khabar, walaupun daripada satu wilayah nusantara. Tetapi lama kelamaan hubungan menjadi semakin erat. Interaksi kepada tugasan yang diberikan membuatkan kami dapat berinteraksi dengan pelajar daripada Indonesia ini secara tidak langsung.

Sebelum meneruskan lagi cerita tentang sahabat Indonesia saya, saya mahu berkongsi suatu soalan yang saya pasti akan tanya kepada pelajar atau warga asing yang saya berinteraksi.

Soalannya adalah how do you think about Malaysia compare to your country? Beberapa semester lepas saya menanyakan soalan ini kepada seorang pelajar universiti ini yang berasal daripada Yaman, Shariff namanya. Pada awal semester yang lalu, soalan yang sama juga saya tanyakan kepada seorang lagi rakan saya yang berasal daripada Arab Saudi. Mahmoud, how do you Think about Malaysia? Kedua-duanya memberikan jawapan yang sama “Ok la” tetapi itu bukan tujuan utama saya bertanyakan soalan. Biasanya saya akan memanjangkan lagi  perbualan  untuk melihat gambaran di negara orang. Mahmoud rumahnya terletak kira-kira 30 minit daripada ka’bah. Dia mengatakan kehidupan di Malaysia ini lebih sederhana, saya bertanyakan lagi kepadanya sederhana yang bagaimana itu? Dia menambah, disini masyarakatnya hidup tidak terlalu bermewahan seperti di Arab dan tidak juga terlalu susah.

Soalan yang sama lagi saya bertanyakan kepada sahabat Indonesia saya, Arwin namanya. Saya bertanyakan bagaimana pendapatnya tentang kuala lumpur. Yang mana lebih besar berbanding Jakarta. Dia mengatakan Jakarta itu lebih besar saiznya tetapi Kuala Lumpur lebih rapi perancangannya. Suatu kelaziman yang berlaku di Indonesia, “Macet” atau dalam erti lain adalah kesesakan jalanraya yang teruk. Dia mengakuinya. Saya melihat dalam wall Facebooknya ada gambar lawatan mereka ke Putrajaya. Pusat pemerintahan Malaysia. Dia menunjukkan kekagumannya kepada Putrajaya dengan membandingkan pusat pemerintahan di Singapura. Katanya di Singapura juga ada sebuah pusat pemerintahan yang semuanya berkumpul satu tempat.

Sepanjang mereka berada disini banyak perkara yang berlaku di Negara Malaysia ini, yang paling besar adalah pilihan raya. Saya yakin mereka memerhati dengan teliti suasana pilihan raya di negara kita. Semasa berjumpa di dalam kelas dia begitu berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sistem pilihan raya dan kerajaan di Negara ini. Pada mulanya saya berfikir pengetahuannya kurang, andaian saya cukuplah sekadar saya menerangkan tentang 222 kerusi parlimen, berapa yang perlu dimenangi untuk menjadi sebuah kerajaan dan siapa melawan siapa.

Tetapi pengetahuannya ternyata lebih luas, dia pula yang memberikan senarai parti komponen yang terdapat dalam Barisan kerajaan dan pembangkang. Saya menerangkan dengan lebih lanjut satu per satu ciri-ciri parti yang ada mewakili kerajaan dan pembangkang. Daripada parti yang mewakili perkauman hingga kepada membawa agenda agama. Tanpa menceritakan dengan lebih lanjut lagi kepadanya, dia memberikan pendapatnya, mengapa parti ini tidak bergabung dengan ini, bagaimana sekarang dia boleh sahaja bergabung dengan parti yang seperti ini? Ini adalah Islam dan itu adalah Islam kenapa ini tidak aja bergabung dengan ini, mereka jugakan sama-sama Melayu. Saya terkelu juga untuk menjawab. Sahabat yang saya yakini neutral ini memberikan pendapatnya.

 Pada fikiran saya, anak muda biasanya beraliran kepada parti pembangkang. Tetapi dia memberikan pendapat yang jauh daripada agakan saya. Saya berkata kepadanya, anak muda disini kebanyakannya menyokong parti pembangkang, saya fikir kamu juga akan mempunyai pendapat seperti mereka. Parti Kerajaan pada hari ini semakin lama menjadi semakin lemah. Saya tidak pasti dengan masa hadapannya.

Dia membalas, saya tahu kebanyakan anak muda disini menyokong pembangkang. Tetapi saya datang dan melihat hasil daripada 55 tahun, apa yang Malaysia sudah ada hasil pemerintahan selama ini.  Jauh  lebih baik daripada Indonesia. Dia berseloroh, jika BN kalah disini hantar aja mereka ke Indonesia menjadi pemerintah disana. Saya dan Arwin ketawa besar. Ternyata dalam ketawa yang besar ini ada sebuah makna dan harapan yang besar kepada saya dan dia.

Daripada sini saya mulai rapat dengan Arwin, kami terus bertukar cerita dan berkongsi informasi. Dia menceritakan keadaan politik di Indonesia. Dia menceritakan kepada saya siapa yang bertanggungawab membawa IMF kepada Indonesia dan kesannya. Antara kesannya adalah projek pembinaan kapal terbang di Indonesia. Dia memberikan perumpamaan Proton kepada saya tentang projek kapat terbang disana. Katanya projek itu disekat oleh IMF. Sekiranya tiada IMF, projek itu akan menjadi seperti Proton mampu membuat keluaran sendiri daripada Negara sendiri. Tetapi sayang, ia disekat kerana bakal bersaing dengan boeing dan lain-lain.

Dia juga meluahkan kekesalannya dengan kekayaan di negaranya yang tidak diselia dengan baik. Pemerintah hanya membolot untung atas angin kepada diri sendiri tanpa mengambil kira kebaikan rakyat. Di Malaysia seperti Proton dan Petronas banyak melakukan perpindahan teknologi daripada syarikat besar dan berpengalaman. Dan akhirnya mampu untuk menjalankan kerja serta mempunyai kepakaran sendiri. Tetapi tidak seperti di negaranya, dia berkata banyak kontrak yang diserahkan kepada pihak luar, Kerajaan hanya mengambil untung sahaja. Hasil mengalir ketangan yang lain, dan tidak mendapat hasil secara maksima. 

Berulang-ulang saya berkata kepadanya sekiranya segala sumber yang ada di Indonesia dimanfaatkan dan diuruskan dengan betul, pasti Indonesia akan menjadi sebuah Negara yang hebat!. Negara Indonesia mempunyai banyak sumber alam melebihi Malaysia, dan juga mempunyai tenaga buruh yang ramai dan murah. Setara ini pun ekonomi Indonesia agak baik, apatah lagi apabila semuanya diuruskan dengan lebih baik.

Saya dan Arwin menjadi rapat kerana pertukaran pendapat dan perkongsian seperti ini. Saya ada membuat satu nota bagaimana Proton ditubuhkan, siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana masa hadapannya dengan merujuk kepada beberapa buah buku.  Tetapi nota itu masih tidak dapat dibentangkan kepadanya lagi kerana kekangan masa. Harap saya dapat berbual lagi dengannya sebelum kepulangannya ke Indonesia pada 21.6.2013 ini. Terima kasih sahabat Indonesia yang baik, kalian banyak membuka minda saya. =)



       

Exhibition PDD @ UTeM

Alhamdulillah hari yang ditunggu-tunggu bagi semester 4 ini telah berlangsung dengan jayanya. Hari untuk exhibition Project Design and Development. Semua pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dikehendaki mengusulkan satu idea projek pada awal semester yang lalu. Beberapa Idea yang menarik akan dipilih oleh rakan-rakan melalui undi secara online untuk membentuk kumpulan dan dijadikan projek pada semester ini. Setelah idea dipilih, bermulalah perjalanan projek. Kami dikehendaki untuk menghasilkan satu projek (yang telah dipilih melalui undi) untuk dihasilkan. Bermula daripada awal, perancangan dibuat. Rnd untuk produk ada juga dijalankan. Kami dikehendaki mendapatkan maklumat daripada orang ramai untuk melihat apakah keperluan yang diperlukan dan aspek teknikal yang perlu ada dalam projek.  Subjek ini begitu mengajar kami dalam perjalanan menjadi seorang jurutera. Dokumentasi  juga dibuat dan perlu dihantar dengan lengkap. Secara ringkas, segala-galanya perlu difikirkan untuk menghasilkan sesuatu produk dan konsep daripada awal hingga akhir. Akhir sekali adalah untuk pameran produk. Banyak komen-komen, kritikan dan idea yang diberikan oleh penilai. Kami menerima dengan hati yang terbuka =)