Ads

Mahasiswa dan Graduan Pewaris Kepimpinan Negara


Alhamdulillah hari ini berkesempatan lagi untuk bertemu lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi pertemuan kali ini tidaklah ekslusif seperti pertemuan sebelum ini pada sesi dialog anjuran kelab Che Det tempoh hari. Seperti biasa, keterujaan untuk berjumpa dengan negarawan ulung ini tidak pernah luntur dalam diri. Kehadiran Tun ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka ini membuatkan saya merasa lebih bangga menjadi warga UTeM. Saya agak tergamam apabila melihat sambutan yang diberikan kepada Tun begitu besar sekali. Rupa-rupanya masih ramai anak muda yang menyokong dan menghargai perjuangan dan aspirasi Tun Dr Mahathir ini.  Sebut sahaja nama Tun Dr Mahathir fikiran saya terbiasa membayangkan masa hadapan.

Mahasiswa dan Graduan Pewaris Kepimpinan Negara

Inilah tajuk bicara yang dianjurkan.

Amanat daripada Tun

Untuk mengetahui apa yang akan terjadi pada masa hadapan, kita perlu toleh ke belakang dan melihat apa yang berlaku, supaya kita dapat tahu aliran perkembangan dalam Negara kita. Kita boleh bahagikan pertumbuhan Negara kita ini kepada 3 fasa.

Fasa yang pertama : Semasa kita masih dijajah oleh pihak british

Pada masa itu tidak ramai mereka yang menjadi graduate, daripada Universiti di luar Negara, dan tidak adapun Universiti dalam negara kita. Sebilangan kecil daripada bangsa kita telah melangsungkan pelajaran kita di Eropah, Hong Kong, dan mereka yang lulus daripada pelajaran tinggi ini kembali ke tanah air untuk berkhidmat. Mereka adalah kelompok pejuang yang membebaskan negara kita menjadi sebuah negara yang merdeka. Oleh kerana mereka adalah golongan yang terpelajar daripada orang yang miskin di negara kita, maka dengan mudahnya mereka diterima sebagai pemimpin. Ada juga pemimpin yang tiada kelulusan Universiti. Dato Onn umpamanya.

Golongan berpelajaran tinggi dan tidak ini telah berganding bahu dan mengajar rakyat supaya mencapai kemerdekaan. Berjuang menentang Malayan Union. Perjuangan ini mencapai kejayaan. Rakyat pada ketika itu ramai yang tidak terpelajar, pandangan mereka tidak begitu luas dan tidak membuat pertanyaan yang banyak terhadap pemimpin  mereka. Mereka berbaris dibelakang pemimpin dan bersama-sama berjuang. Dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Seorang lulusan undang-undang. Mereka tidak ada banyak soalan. Mereka bersatu dibelakang pemimpin yang berpelajaran tinggi ini.

Walaupun ramai antara mereka yang tidak berpelajaran, namun British merasa takut kepada gerakan yang meliputi seluruh rakyat Malaysia ini. British menggugurkan Malayan Union dan memberikan kemerdekaan kepada kita. Itu adalah fasa yang pertama. Tak ramai orang yang berpelajaran, yang jadi graduan. Mereka tidak ada banyak soalan dan memudahkan pemimpin kerana tidak dicabar. Setelah kita mencapai kemerdekaan, tumpuan kita adalah memberi ilmu dan pelajaran kepada rakyat sebanyak mungkin. Dengan itu ditubuhkan banyak kolej dan pusat pengajian. Malaysia menumpukan lebih kepada aspek pelajaran, penguasaan ilmu daripada pertahanan negara. 25 % pendapatan Negara digunakan untuk pelajaran. Hanya 5% diguna untuk pertahanan. Kita tumpu kepada penambahan bilangan rakyat yang berpelajaran. Kita hantar ramai orang ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Fasa yang kedua : Selepas merdeka

Ramai graduan yang mendapat pendidikan ini kembali untuk membantu negara supaya dapat dimajukan. Mereka tidak menyoal tentang soal politik. Sebaliknya bersyukur kerana kerajaan  membantu mereka mendapatkan ilmu. Bantuan ini memberikan perubahan baik kepada mereka. Kalau dizaman British dahulu, tidak mungkin mereka mendapat peluang yang lebih baik. Semua pegawai jawatan tinggi dipegang oleh pihak British. Demikian juga dalam bidang perniagaan. Semua perniagaan besar dimiliki oleh british seperti Guthrie dll. Orang tempatan tidak diberikan peluang. Bank dikuasai oleh british juga. Penduduk tempatan tidak diberikan lesen untuk menubuhkan bank. Yang ada hanya dua buah bank sahaja.  Rakyat tidak berpeluang memperkayakan diri mereka.

Tetapi, apabila sahaja kita mencapai kemerdekaan, perkara pertama yang dilakukan ialah membuka bank. Malayan banking dan sebuah lagi banking corporation yang ditubuh oleh rakyat tempatan. Maka dengan ini perusaharaan besar dapat dikuasai oleh rakyat Malaysia. Yang lebih utama adalah pelajaran kepada rakyat supaya mereka mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memegang jawatan yang tinggi dan menguruskan perniagaan yang besar. Pada masa itu lebih ramai yang terpelajar. Walaupun begitu, mereka mempunyai perasaan berterima kasih kerana memberikan peluang-peluang ini kepada mereka. Mereka tidak menyoal dan banyak mengkritik.

Kehidupan mereka semakin baik, sudah tentu perubahan ini disedari rakyat. Mereka menggunakan ilmu untuk mengambil alih banyak perkara daripada british.

Fasa ketiga : generasi sekarang

Usaha diteruskan untuk memberikan pelajaran keapda anak-anak kita. Jumlah mereka semakin meningkat kepada ratusan ribu. Harapan kita ialah apabila mereka berilmu, mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Aspek pentadbiran, pemerintahan dan juga perniagaan.

Namun, pada fasa ketiga, peluang yang diberikan ini dianggap sebagai perkara biasa. Dengan ini kita tidak lagi menghargai. Negara kita sudah bangun dengan pesat. Untuk pergi ke universiti sangat mudah pada hari ini. biasiswa sudah bertambah. Peluang pekerjaan juga bertambah dalam pelbagai bidang. Kehidupan kita sudah selesa. Maka kita tidak begitu menghargai kehidupan bahagia yang kita nikmati hari ini. kita sudah lupa zaman kita dijajah dahulu, kita sudah lupa zaman pembaikan yang kita lakukan dahulu. Apabila tidak menghargai, maka perasaan kurang senang hadir dengan kebaikan yang kita dapat. Dan kita mula mengkritik apa yang kita dapat.

Mengapa perlu bayar pinjaman? Mengapa perlu dibayar untuk pelajaran?. Mereka lupa wang yang mereka gunakan itu adalah yang hasil kesusahan rakyat yang sedia berkorban, supaya mereka dapat membina kehidupan yang lebih baik. Sebaliknya mereka mengkritik. Itu sikap orang yang tidak menghargai nikmat. Mereka dihasut supaya tidak menghargai dan tidak bersyukur kononnya ada pihak yang akan memberi lebih.
Inilah yang akan menentuk sama ada negara kita terus maju atau tidak. Walaupun kita sudah mendapat pendidikan yang tinggi, namun kita tidak cekap memperhitungkan apa yang sampai kepada kita. Sekiranya mahasiswa/i mahu mewarisi kepimpinan negara, mereka harus bijak memilih yang baik dan menolak yang buruk. Orang yang berilmu, apakah dengan adanya ilmu menjadikan mereka bijak? Ada yang berilmu tetapi tidak bijak. Untuk memimpin bukan sahaja kena berilmu, tetapi mesti bijak untuk membuat pemilihan. Jika pemilihan kurang baik, negara akan hancur.

Ijazah ini mestilah disertakan dengan kebijaksanaan dan perhitungan yang dibuat oleh kita. Mahasiswa/i haruslah bijak untuk meneruskan kepimpinan sedia ada. Bukan sekadar ijazah semata-mata untuk menjadi pemimpin. Pemimpin yang hanya berdasarkan populariti hanya akan menghancurkan Negara. Inilah yang terjadi di kebanyakan negara-negara Eropah. Pertumbuhan ekonomi negara mereka kian merosot.  
Dengan mata kasar kita dapat lihat negara kita membangun dengan pesat. Ini hasil daripada kecekapan pemimpin negara. Alhamdulillah setelah 55 tahun kita merdeka, pertumbuhan ini berterusan. Kita tidak akan mewarisi generasi yang akan datang dengan sebuah negara yang sudah merosot prestasinya. Justeru, mahasiswa perlu bersedia untuk mengambil alih daripada generasi yang ada. Ambil lah sebuah negara yang tiada cacat celanya. Inilah harapan kita. Ambil lah dengan ilmu dan niat yang cukup baik.

Sungguh mendalam apa yang Tun sampaikan. Harapan daripadanya sungguh besar. Beliau telah meninggalkan sebuah negara yang cukup aman dan maju kepada anak bangsa untuk diteruskan lagi. Memikirkan aspirasi Tun ini membuatkan saya mengelamun panjang. Bagaimana anak dan cucu kita pada masa hadapan. Adakah mereka merasa segala kenikmatan yang dirasai pada hari ini, atau sebaliknya.

Pada sesi soal jawab, saya tertarik dengan satu soalan mengenai kapsul masa yang ditanam pada 1987. Ia akan dibuka pada 2087. Soalannya mengapa ia 100 tahun yang akan datang? Dan adakah ianya akan valid lagi pada tempoh itu ?

Jawapan daripada Tun : Kapsul masa ini adalah untuk perbandingan dengan 100 tahun lagi bagaimana keadaan Negara kita. Pewaris kita pada masa itu akan dapat membandingkan dengan 100 tahun dahulu. Mereka tahu keadaan kita pada waktu ini. Apa yang penting saya dah tak ada lagi pada masa itu.

Inilah harapan daripada seorang negarawan ulung yang sangat mencintai negara dan anak bangsa. Amanat untuk 100 tahun lagi telah difikirkan Tun untuk ditinggal. Pada 2087, sedikit sekali kita yang hidup pada hari ini sempat untuk hadir dan bersama-sama mendengar amanat Tun itu. Saya berpandangan isi kapsul itu adalah kisah sejarah yang ditulis oleh Tun, ramalan, dan harapan Tun kepada generasi 2087. Saya hanya meneka, Hanya Allah dan Tun sahaja yang tahu.


Dalam usia yang masih muda ini Aku bermohon kepadaMu yaAllah jadikanlah kami seorang manusia yang berguna pada Agama, Bangsa dan Negara…

Semasa menulis saya teringat kepada sebuah lagu…



Penyanyi: Aishah

Bonda senyum riang
Menerima bahtera Merdeka
Putera puteri sayang
Putera puteri sayang
Sedang berjuang
Fajar telah tiba
Nan menyinsing membawa harapan
Tanah Semenanjung
Tanah Semenanjung
Pusaka Bangsa
(*)
Jiwa dan raga
Buktikanlah pada nusa bangsa
Supaya negara maju jaya
Aman Merdeka
Duhai ibu pertiwi
Putra putri datang sujud bakti
Ingin menunaikan
Ingin menunaikan
Sumpah dan janji
(Ulang *)




Asasi, matrikulasi, atau diploma

Assalamualaikum wbt.

Pertama sekali nak ucapkan tahniah kepada adik-adik yang telah mengambil keputusan SPM tahun 2012 yang lalu. Tahniah lagi sekali bagi yang mendapat keputusan cemerlang. Tujuan saya menulis post ini adalah untuk berkongsi sedikit pengalaman kepada adik-adik tentang hala tuju selepas ini. diploma? matrikulasi? atau asasi? Syukurlah kepada Allah S.W.T. kerana Dia masih izinkan kita untuk meneruskan kehidupan ini.

Dengan sedikit pengalaman yang saya bakal kongsikan ini, diharap dapat membantu adik-adik untuk memilih hala tuju yang terbaik. Saya bukanlah seorang ahli akademik atau daripada mana-mana pentadbir. Hanya seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda. Ini hanyalah pendapat peribadi saya untuk dikongsi. Diharap dengan sedikit perkongsian yang saya usahakan ini, sedikit sebanyak dapat membantu. Fokus perbincangan saya hanya kepada peluang pendidikan dalam negara.   

Untuk memilih tempat belajar perlulah melihat kembali kepada result yang kita dapat. Realistik.

Matrikulasi vs asasi

3 tahun yang lalu saya juga menghadapi dilema, asasi atau matrikulasi?. Alhamdulillah keputusan SPM yang saya dapat pada masa itu agak baik. Saya membuat pilihan untuk memasuki program asasi di UiTM Puncak Alam. Apa beza program asasi dan matrikulasi ini?
  • Program asasi ini diuruskan oleh Universiti, dibawah kementerian pengajian tinggi. Manakala program matrikulasi dibawah pengurusan kementerian pelajaran yang juga menguruskan sekolah rendah dan menengah.
  • Silibus yang digunapakai juga berbeza. Program asasi ini lebih banyak menggunakan silibus daripada luar negara. Untuk mendapatkan buku rujukan ianya perlu ditempah oleh pensyarah dan selalunya mengambil masa 2 minggu untuk sampai. Berbeza dengan matrikulasi, buku rujukannya mudah didapati di kebanyakan kedai-kedai buku.
  • Kehidupan yang berlainan. Kehidupan di Asasi ini agak mencabar kerana pergaulannya banyak  bersama pelajar-pelajar lain sama ada ijazah atau diploma. Matrikulasi pula lebih kepada kehidupan berasrama rakan sebaya.

Universiti awam yang menawarkan program asasi ini banyak sebenarnya. Tetapi saya hanya tahu daripada UIAM, UiTM, USIM dan Universiti Malaya (UM). Pengalaman saya mengambil kursus asasi agak perit tetapi menyeronokkan. Pada mulanya saya agak terkejut dengan sistem pelajaran dan suasana universiti ini. Pelajarannya pantas. Satu topik boleh habis hanya dengan sekali syarahan sahaja. Keadaan ni ditambah lagi dengan gaya hidup bebas mahasiswa. Maklumlah dahulu masih fresh. Banyak perkara tidak diketahui. Mudah juga terikut-ikut gaya orang. Peraturan di Universiti ini kurang ketat, perlu banyak survive sendiri. Tidak seperti matrikulasi.

Di matrikulasi saya tidak mendengar sebarang masalah. Kerana suasananya seperti asrama sahaja. Asasi dan matrikulasi ini cuma setahun berbanding diploma 3 tahun. Bolehlah dikatakan setahun di asasi atau matrikulasi ini memang sangat sibuk.

Pandangan peribadi saya sekiranya rasa mampu untuk bersaing pada tahap tertinggi mohonlah program asasi. Tetapi sekiranya keyakinan diri terhadap kemampuan diri tidak begitu tinggi, matrikulasi pilihan terbaik. Sekali lagi saya ingin mengingatkan realistiklah. Keputusan SPM yang baik tak semestinya menjanjikan kita akan berjaya pada masa akan datang. Banyak faktor yang boleh mengubah kita. Sistem pendidikan peringkat tinggi juga agak berbeza daripada sistem sekolah.

Ramai rakan-rakan saya di matrikulasi mendapat keputusan yang lebih baik berbanding saya sedangkan mereka di program matrikulasi. Mungkin faktor sudah terbiasa dengan kehidupan di asrama. Tahu perjalanannya bagaimana. Asasi tidak menjanjikan apa-apa kelebihan selain kehebatannya kepada requirement untuk memasuki program ini yang tinggi. Keputusan teruk akan ditendang keluar dan kuota untuk melanjutkan pelajaran di Universiti pada peringkat ijazah yang menawarkan program asasi itu sendiri tidak terjamin. Seperti contoh pelajar asasi UiTM tidak semestinya mengambil ijazah di UiTM. Ini bukan untuk menakut-nakutkan. Memanglah sekiranya malas berusaha dimanapun kegagalan akan kita temu.
Satu lagi yang menjadi kemushkilan saya adalah sistem pemilihan untuk program ijazah kelak. Seperti yang sedia maklum, pembelajaran di peringkat asasi ini lebih susah daripada matrikulasi. Silibus akademik dan kehidupannya. Gred peperiksaannya juga berdasarkan universiti. Tidak adillah untuk momohon semula UPU dan bersaing kembali dengan lepasan matrikulasi semula, yang mengikuti sistem yang berbeza dan dilihat lebih mudah. Apa bezanya asasi dan matrikulasi? dari perspektif ini dilihat rugi sedikit peringkat asasi ini kerana ianya lebih sukar lavelnya.

Kebaikan asasi pula adalah ketika di peringkat ijazah. Banyak perkara yang belajar di peringkat asasi diulang semula pada peringkat ijazah. Rakan-rakan matrikulasi saya adakalanya tidak pernah belajar subjek itu, tetapi saya sudah mempunyai asas ketika di asasi dahulu.

Diploma

Pengajian di peringkat diploma amat tenang. Ianya adalah jalan yang agak selamat tetapi mengambil masa dan kos yang lebih. Pengajian diploma agak relax. Banyak masa boleh digunakan untuk melakukan pelbagai perkara sambil belajar. Tetapi saya lebih menyarankan kepada adik-adik yang mendapat keputusan yang agak cemerlang untuk masuk ke matrikulasi. Sibuk setahun ini agak berbaloi. Jimat masa dan wang. 

Namun terpulang kembali kepada diri masing-masing untuk membuat pilihan. Ambil diploma kosnya mahal. Pinjaman PTPTN menjangkau belasan ribu. Naik peringkat ijazah, pinjam lagi. Di matrikulasi dan asasi elaun disediakan. (sekarang tak pasti masih ada atau tidak peruntukan elaun). Seorang rakan saya mendapat keputusan yang cemerlang pada SPM daripada SBP.  Tetapi beliau memilih untuk masuk ke politeknik. Sedangkan mendapatkan tawaran daripada matrikulasi dan diploma IPTA. Sekarang dia satu kelas bersama saya di peringkat ijazah. Tua dua tahun dia daripada saya.

Keputusan di tangan masing-masing. Saya hanya bertujuan untuk berkongsi sahaja. Sekiranya ada soalan boleh tanya.

Dapat saya simpulkan

Ranking kesukaran

1. Asasi
2. Matrikulsai
3.Diploma

Ranking kesenangan

1. Diploma
2. Matrikulasi
3. Asasi

Ranking peluang yang lebih mudah melanjutkan pelajaran ke ijazah

1. Matrikulasi
2. Asasi
3. Diploma

Ranking manfaat jangka panjang

1. Asasi
2. Matrikulasi
3. Diploma

* Penulisan ini berdasarkan pandangan ketika 2012. 

Warkah buat diri


Melihat kepada gaya hidup kebanyakan Mahasiswa pada hari ini membuatkan saya membayangkan apa yang akan terjadi kepada masa hadapan Negara. Majoriti mahasiswa pada hari ini sudah senang dengan kehidupan yang ada. Segala-galanya mudah. Dihujung jari. Mahu buat assignment, klik sahaja sudah keluar jawapan. Dunia tanpa sempadan menjadikan urusan pembelajaran semakin mudah.

Hakikat sebenarnya lebih mudah menjalani kehidupan sebagai pelajar Universiti berbanding pelajar sekolah. Sekiranya saya ditanya “ mahukah kembali kepada zaman persekolahan? ” saya akan berkata tidak. Kehidupan sekarang lebih bahagia berbanding zaman asrama dahulu.

Semakin besar mengapa semakin mudah? Adakah kehidupan ini semakin lama semakin mudah?. Atau kita yang ambil mudah. Suasana dunia hari ini menjadikan “Easy life” menghantui ramai orang. Hari ini majoriti masyarakat sukakan kepada perkara yang mudahnya. Contohnya instant coffee, instant maggi, kalau boleh menuntut ilmu pun nak di instant kan.

Jika begitu dimanakah nilai ilmu dan nilai diri sekiranya semuanya boleh diperolehi dengan mudah. Adakah alam pekerjaan nanti menjanjikan kemudahan. Mungkinkah kehidupan berkeluarga itu lebih mudah daripada kehidupan sebagai seorang bujang. Tidak sama sekali. Masa hadapan tidak menjanjikan apa-apa.  Masa hadapan perlu dibina. Pembinaan yang kukuh dengan material yang kukuh (pengisian yang baik) perlu untuk melahirkan generasi yang berkualiti.

Kehidupan sebagai mahasiswa membuka ruang untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan lagi nilai diri. Pengajian di bilik kuliah semata-mata tidak menjadikan kita menjadi insan professional. Dunia hari ini memerlukan kepakaran dalam praktikal untuk melaksanakan. Para pemikir perlu, tetapi siapa yang mahu menjadi pelaksana sekiranya semua orang mahu letak cita-cita yang sama tinggal di pejabat dan berfikir. Itupun jika pemikiran dilatih untuk berfikir.  Berapa kerat sahaja yang mahu berfikir.

Kita perlu kenal diri. Siapa aku ini? bagaimana pandangan orang lain terhadap diri aku?. Apa pencapaian yang aku dah lakukan?. Sekiranya terasa diri hebat, tanya kembali, apa pencapaian diri. Adakah aku ini mantan Perdana Menteri, atau salah seorang insan terkaya di Malaysia!. Hakikatnya umur yang muda ini tidak banyak pencapaian pun. Ditipu oleh mulut yang genius berkata-kata. Kritik tanpa memberikan penyelesaian. Membina masyarakat memerlukan idea yang praktikal. Kritikan? si bodoh tepi jalan pun boleh beri. Tetapi penyelesaian dan bicara ilmu tidak semua orang boleh sampaikan.

Kehidupan sebagai mahasiswa jauh lebih besar dan luas. Bukan semata mata di dalam bilik kuliah yang peruntukkan besarnya hanyalah 0.95 meter persegi seorang, berdasarkan garis panduan unit perancangan ekonomi Jabatan Perdana Menteri (2008). Betapa sempitnya kehidupan sebagai mahasiswa. 4 tahun dihabiskan untuk hanya berjuang bagi beberapa meter persegi sahaja.

Dunia ini luas. Suatu hari semasa berjalan menuju ke bengkel saya bertanya kepada seorang rakan. Kenapa balasan di Akhirat itu dahsyat ye? Sebagai contoh satu hari di dunia ini adalah 1000 tahun di akhirat. Kejahatan yang kita lakukan di dunia ini sedikit masanya. Sebagai contoh meninggalkan solat satu waktu akan diazab beribu tahun. Tak tercapai akal. Mengapa satu hari di dunia ini bersamaan 1000 tahun disana?. Jika begitu 1 hari di dunia Terlalu bernilai harganya!. Kehidupan ini terlalu bernilai.

Apalah gunanya hidup ini tanpa berfikir dengan matang. Bergelar mahasiswa ini adalah satu tiket besar kepada orang muda. Orang tua-tua amat menyanjungi orang muda yang bergelar mahasiswa. Beberapa pengalaman telah membuktikan. Cakap sahaja saya daripada universiti ini, terus dilayan macam mahu buat menantu. Sayangnya imej mahasiswa semakin tercalar kerana beberapa perkara yang dilakukan oleh segelintir mahasiswa yang membatasi had sebagai seorang mahasiswa.

4 tahun ini merupakan latihan untuk mematangkan. Inilah masa untuk buat salah. bukan masanya untuk landing atas tilam dan berfoya-foya. Mungkin ada yang akan marah. Tetapi inilah yang dapat dibuat untuk menyedarkan kerana rasa sayang. Kadang-kadang hati ini sakit. Diam lebih baik. Maka, berubah pula kepada penulisan. Mungkin lebih tenang.

~warkah buat diri yang selalu lupa~ Ya Allah janganlah engkau jadikan aku orang yang lupa lagi….
 

gambar hiasan

Budaya kerja cemerlang - DPT



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyifatkan kunci kepada kejayaan adalah bergantung kepada nilai sesuatu sistem yang diamalkan oleh sekumpulan manusia dalam melaksanakan tugas.
Dan atas faktor itu, beliau merasakan negara Jepun telah mendidik rakyat dengan suatu nilai yang baik dalam membentuk budaya kerja yang produktif dan berdisiplin.
Katanya, melalui amalan tersebut, Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1982 diperkenalkan dengan motif untuk menjadikan budaya kerja yang diamalkan oleh rakyat Jepun turut digunapakai oleh rakyat Malaysia.
“Pada tahun 1961, saya mengadakan lawatan ke Jepun di mana ketika itu Jepun dalam proses pemulihan disebabkan oleh Perang Dunia.
“Apa yang menyebabkan saya kagum adalah dalam proses pemulihan itu Jepun telah berjaya menjadi sebuah negara yang begitu maju dan pesat jika dibanding dengan kepesatan pembangunan di Malaysia.
“Saya begitu ingin tahu apakah faktor yang menjadikan negara ini begitu cepat membangun… apakah sistem yang diamalkan kerajaan ketika itu sehingga membolehkan Jepun terus membangun dalam pelbagai industri,” kata Tun Mahathir.
Katanya, dalam siri lawatan tersebut beliau akhirnya mendapati sistem budaya kerja yang cemerlang telah menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan pesat Jepun pada ketika itu.
Dan atas dasar tersebut katanya, amalan yang sama mula dikaji dan ia ternyata turut menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan Malaysia di masa akan datang.
“Saya begitu kagum dengan budaya kerja yang mereka amalkan… saya dapati kualiti dalam cara kerja yang diamalkan itu telah menyumbang kepada kejayaan Jepun ketika itu.
“Lantas, saya merasakan sekiranya rakyat Malaysia mengamalkan sikap yang sama yakni mengamalkan disiplin kerja yang sama, maka negara akan lebih maju melalui pekerja yang produktif yang dihasilkan,” katanya ketika berkongsi pengalaman bersama peserta Persidangan Dasar Pandang ke Timur-Suatu Dimensi Baru.
Katanya lagi, untuk memastikan pembangunan terus berlaku, sikap yang diamalkan ketika bekerja adalah faktor yang sangat penting.
Jelas Tun Mahathir, individu boleh mencapai tahap cemerlang mahupun mengalami kegagalan hanya melalui etika kerja yang diamalkan.
“Jika kita amalkan etika kerja yang baik kita harus berdisiplin, sentiasa positif dan produktif. Maka kita akan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Namun sekiranya kita gagal membentuk etika yang cemerlang, maka dengan mudah kita akan menempuh kegagalan,” tegasnya.
Bagaimanapun beliau menambah, negara tidak sepatutnya meniru bulat-bulat sistem yang diamalkan oleh sesebuah negara maju.
Sebaliknya, Tun Mahathir menyifatkan untuk mencapai kejayaan seseorang itu perlu mengamalkan nilai yang baik dan menolak etika yang boleh memberi kesan negatif.
“Kita hanya ambil apa yang baik untuk kita dan janganlah tiru apa yang buruk.
“Belajar untuk cemerlang dengan golongan yang sudah berjaya tetapi janganlah pula kita ikut kegagalan mereka,” katanya.


sumber

Dialog siri ke-2 bersama Tun Dr. Mahathir Anjuran Kelab Che Det (KCD)


Alhamdulillah untuk siri yang pertama saya diizinkan untuk bertemu sendiri bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Ianya suatu kenangan yang tidak akan dilupakan. Dapat bertemu dengan seorang negarawan yang hebat menjadikan diri ini sangat terasa kerdil dan bersyukur.

Saya tahu, ramai yang memasang impian untuk bertemu dengan negarawan yang hebat ini. Ini adalah peluang untuk bertemu Tun. Dalam sesi pertama pada tempoh hari, Tun Dr. Mahathir tidak kesorangan melayan kami tetapi turut hadir juga ialah Tun Dr Siti Hasmah. Ianya satu bonus yang besar kepada kami sebagai peserta.

Berikut maklumat tentang penganjuran Dialog bersama Tun untuk kali yang ke-2




Banyak perkongsian dan harapan yang diharapkan beliau kepada golongan muda yang bakal menjadi pewaris negara ini.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas sudilah membaca entry yang saya tulis pada penganjuran  sesi yang pertama dahulu.

Dialog Bersama Tun Dr Mahathir Anjuran Kelab Che Det (KCD). Part 1