Ads

Sabarlah Mak cik Puteh


Mendengar cerita tentang penderitaan seseorang cukup menginsafkan. Petang tadi umi ziarah seorang kawannya yang sedang menderita kanser payudara. Agak mengejutkan Umi, kerana beberapa bulan yang lepas dia masih sihat dan makan bersama-sama. Dia juga Seorang guru di SK Bukit Puchong bera, Pahang DM.  

Walaupun ketulan barah sudah dikeluarkan, tetapi bakinya masih ada didalam badan dan kini Kansernya sudah merebak ke kepala dan perut. Dia sudah tidak berupaya menggerakkan tubuh badan dengan sempurna. Pemikirannya juga sudah kian lupa. Seorang guru yang dahulunya bertenaga berjuang untuk masa hadapan pelajarnya kini terlantar di katil. Tiada apa-apa yang mampu dilakukan. Sakit… sakitnya kepala. Itu sahajalah yang mampu diucapkan. YaAllah Engkau sayangilah wanita ini. Banyak jasanya kepada Ummat ini. Jika sebelum ini kita yang masih sihat ini sibuk mencari baju dan kasut baru, apalah ertinya ini semua kepada guru itu tadi. Dia sempat memohon maaf andai ada salah dan silap sepanjang perkenalan dengan umi. Sewaktu pulang, kedengaran lagi sakit…sakit…sakitnya perut. YaAllah, hibanya hati ini.

Hidup ini hanyalah pinjaman. Terpulang kepada kita sejauh mana kita merasakan ini semua adalah pinjaman.
Aku bersyukur YaAllah, hari ini wanita itu bukan aku. YaAllah jadikan aku seorang yang bersyukur kepadaMu. Janganlah engkau biarkan aku berada dalam kebodohanku. Engkaulah Tuhan yang maha berkuasa atas segala sesuatu. 

Kisah surau dan Hari raya


Alhamdulillah masih lagi dikurniakan Allah kesihatan dan umur untuk menyambut hari raya korban pada tahun ni. Banyak yang dah berubah dan bertukar. Sebelum ni, masa kecil-kecil bangun saja terus mandi dan makan. Sebelum solat, Umi pakaikan butang baju dan sampin. Kedengaran  Ayah sudah bertakbir di surau. Jarak surau dan rumah atuk hanyalah beberapa langkah sahaja di seberang jalan. Sekarang nampaknya sudah tidak sama seperti dahulu. Bangun subuh, Solat jemaah bersama-sama. Selesai bertakbir dan berdoa… eh macam ada yang kurang. Kenapa surau ni tak seperti dahulu? Dahulu aku datang sahaja sudah tersedia semuanya. Mimbar, sejadah, dan karpet semuanya masih belum tersedia dan tidak dibentang. Patutlah suram sahaja. Pagi-pagi lagi saya dan ayah sudah bergotong royong kecil menyiapkan surau untuk solat hari raya. Hamparkan sejadah, angkat mimbar daripada stor dan membuka lipatan karpet di luar.

 Semasa mengeluarkan mimbar khutbah daripada stor, ayah berkata, “Mimbar kayu ni arwah atuk johari sebelah rumah yang buat dulu.” Wah masih berjasa arwah atuk johari kerana inilah mimbar khutbah yang sama sejak saya kecil hinggalah sekarang. Kalau dibuka tingkap sebelah surau masih kelihatan bengkel dan stor arwah atuk johari. Selepas solat hari raya aidiladha, sejadah dilipat semula. Baru terfikir, dahulu siapa agaknya yang melakukan kerja-kerja mulia ini semua  ya?.  Atuk Nan! Ya atuk nan. Dimana atuk nan?. Pada petangnya saya bertanya kepada ayah, atuk Nan masih ada lagi kah. Ayah kata, ada lagi tapi dah tak sihat.

    

Charging Iman


Mengecas Iman

Iman Ini ibarat Bateri. Apabila dicas, banyaklah tenaga dan perlu sentiasa diperbaharui. Tapi apa sumbernya? Antaranya dengan menghadiri Usrah. Melalui  usrah, setiap minggu dapat mengecas kembali iman yang semakin luntur dalam diri. Ia adalah wadah untuk memperingati dan memperbetulkan segala kesalahan dan kejahilan diri. Usrah seminggu sekali cukup untuk mengecas Iman. Apabila hujung minggu, Mungkin sahaja bateri iman itu sudah hampir habis. Belum sempat habis, ia dicas semula untuk minggu yang akan datang. Inilah antara kelemahan manusia. Sedangkan keimanan perlu diperbaharui. Apalah yang kekal pada kita. Saya belajar menerima hakikat yang ada pada manusia tiada yang kekal.

Usrah… Takutlah.

Janganlah dianggap Usrah ini satu perkara yang menakutkan dan terlalu rigid. Sebenarnya dalam usrah adalah satu wadah untuk berkongsi masalah, pengalaman dan Ilmu.   
Berusrah dengan seseorang  yang penuh ilmu didada dan penuh hikmah membuatkan hati menjadi tenang dan rasa diri ini terlalu kekeringan ilmu. Usrah pada hari ini bukan lagi bermatlamatkan Akhirat semata-mata. Tetapi ia juga meliputi Isu-isu semasa, seperti Politik, Motivasi, Kriminal, Bisnes, apatah lagi perkara yang terjadi di sekeliling kita. Sudah tiba masanya kita membuka mata. Adakah kita keseorang yang rigid atau Usrah yang menyediakan sekumpulan mahasiswa dan seorang Ilmuan ini yang rigid?  Usrah tidak perlu memakai kopiah, jubah dan celak. Pengalaman saya berusrah selalunya hanya mengenakan baju round neck seluar jeans dan Terjemahan Al-Quran. Itu sahaja. Simple habis!  Hakikatnya bukan itu yang menjadi ukuran tetapi hatilah yang memandu.

Usrah bukan tempat untuk mencari kesalahan

Usrah ini bukanlah bertujuan untuk menghentam antara satu sama lain. Tiada manusia yang sempurna. Ia bertujuan untuk berkongsi dan meringankan. Bukanlah seperti menjaga tepi kain orang, tetapi dengan sebuah kumpulan, banyaklah yang berfikir untuk kita.  InsyaAllah ada jalan. Kadang-kadang kita takut untuk mengakui kesalahan. Sampai bila mahu takut dengan bayang-bayang sendiri…

Allah tidak hairan manusia melakukan dosa, tetapi Allah hairan kenapa tidak mahu bertaubat.

Ciri-ciri halaqat yang bagaimana patut kami ikuti?
http://langitilahi.com/10106

Mata, Tangan dan Akal ini,
Lebih dekat dengan diri,
Nasihat yang paling kuat untuk diri sendiri.


Gambar Hiasan 

Kematangan


Banyak aspek yang boleh dijadikan pengukur dalam menentukan kematangan seseorang.  Dari perspektif agama, ada yang mengukur kematangan itu dari sudut hubungan dengan tuhan. Sejauh mana usaha ke arah mendapatkan redha Allah. Selalunya ramai yang  menganggap kematangan ini dilihat daripada aspek pemikiran. Pemikiran sifulan itu hebat, lantas melabelkan dia itu hebat. Buktinya? Mungkin seseorang itu petah berkata-kata, setiap kata-katanya ada sahaja isi dan hikmahnya. Mungkin juga seseorang itu mempunyai kemahiran menulis dan bercerita dengan penuh hikmah melalui Blog, atau mana-mana wadah di alam maya. Secara tidak langsung pembaca menafsirkan siapa dia di alam nyata.

Pendapat peribadi.

Ukuran kematangan hanya berdasarkan sebuah pemikiran dan penulisan boleh jadi  tipu sama sekali. Pemikiran yang baik sepatutnya melahirkan tindakan yang baik. Aspek kematangan yang sebenar adalah Tindakan. Kehidupan ini  bukanlah bergerak melalui Teori. Kehidupan ini adalah praktikal. Teori hanyalah sebagai cahaya, Praktikalah yang membawa menuju cahaya. Sebagai contoh situasi hari ini : ramai yang tahu tidak menutup aurat itu haram. Teorinya tahu, Itu adalah dosa,  tetapi praktikalnya dimana? mengapa masih tidak menutup aurat. Mulalah pelbagai alasan dicipta untuk membenarkan segala kesalahan. Tetapi seringkali menipu diri dengan kebenaran yang menipu. Yang salah tetap salah, berada didalam lingkaran kebodohan dan kesombongan diri sendiri. Semakin lama semakin tertipu dengan diri sendiri hingga tidak dapat membezakan yang mana baik dan buruk. Matangkah sekiranya mengetahui  tetapi tidak melaksanakan apabila mampu. Cerita ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan banyak situasi.

Sejauhmana kita dapat mengelakkan dosa dan mengikuti kebaikan  yang kita fikirkan adalah kebijaksanaan dan kematangan.

Rasulullah S.A.W pernah ditanya siapakah manusia yang paling bijak. Jawapan baginda adalah orang yang mengingati mati dan bersedia untuk mati (Melakukan Amal ibadat).

Begitu juga dengan diri kita sendiri, Ilmu sudah ada, perlaksanaannya dimana. Mahukah dilabel sebagai seorang yang “Hipokrit” apabila kebenaran di ketahui umum….


Mata, Tangan, dan akal ini ,
lebih dekat dengan diri,
 Nasihat Paling kuat untuk diri sendiri.  

LAPORAN BAHAGIAN PROMOSI BAGI SEMINAR KECANGGIHAN TEKNOLOGI ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA ANJURAN PSSCM UTeM.


Pada 22 september 2012, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menjayakan Seminar Kecanggihan Teknologi Zaman Kesultanan Melayu Melaka (Perkapalan dan teknologi). Seramai 500 peserta daripada pelbagai IPTA seluruh Malaysia telah menghadiri seminar tersebut. Antara IPT yang menghantar wakil menghadiri seminar ini adalah daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (Kampus Puncak Alam, Puncak Perdana, Shah Alam), serta beberapa buah lagi IPT lain.

Sebelum berlangsungnya seminar ini, bahagian promosi & publisiti telah diberikan tanggungjawab untuk membuat hebahan sempena berlangsungnya seminar ini.

Antara kaedah promosi yang kami jalankan adalah melalui :

Facebook

·         Menjelajah halaman facebook sekolah – sekolah di sekitar Melaka (Menengah dan Rendah), Halaman Rasmi JPAM,  serta beberapa lagi halaman website yang terdapat di seluruh negeri Melaka ini. Pada halaman itu, kami meletakkan link untuk menghubungkan halaman Seminar yang bakal diadakan kepada pembaca di halaman facebook mereka. Alhamdulillah kadar yang like page mengenai seminar ini bertambah daripada 118 kepada 180 orang sepanjang kaedah ini dilakukan. Pertambahan sebanyak 62 like.

Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM ( HEPA )

·         Wakil bahagian promosi bagi seminar ini, Saudara Abdul Muhaimin telah berurusan dengan pegawai bahagian publisiti daripada Hal Ehwal Pelajar& Alumni (HEPA) Universiti Teknikal Malaysia, Iaitu En Ruzaiman. En Hasil Persetujuan bersama, En Ruzaiman bersetuju membantu untuk membuat hebahan mengenai program ini di dalam Akhbar dan radio.       

Akhbar
·         Pihak Publisiti dan promosi program juga ada menghubungi seorang Ahli PSSCM yang sedang menjalankan latihan praktikal di Bernama Kuala Lumpur iaitu En Muhammad Afiq Asri. Pihak kami telah menghantar kertas kerja beliau tetapi tindakan selanjutnya kami tidak ketahui statusnya.  Semasa berlangsungnya seminar ini seorang wakil daripada akhbar Berita Harian telah hadir membuat liputan. En Ruzaiman sendiri juga telah hadir ke program ini untuk membuat sedikit liputan untuk diserahkan kepada pihak Akhbar  lain. Alhamdulillah pada 28 september 2012, seminggu selepas berlangsungnya seminar ini, Pihak akhbar Melaka Hari Ini telah menyiarkan berita mengenai program ini seperti yang terdapat pada lampiran dibawah.

Radio

  • Hasil daripada rundingan bersama En Ruzaiman, pihak RTM Melaka telah menghubungi salah seorang AJK program seminar iaitu Cik Idora untuk mendapatkan butiran lanjut berkenaan program. Pada 20 September 2012, Iklan disiarkan didalam slot Berita RTM.  Pihak kami agak mudah mendapat penyiaran dan hebahan kerana program ini telah termasuk dibawah sambutan 750 tahun Melaka, anjuran kerajaan Negeri Melaka.


Pihak media Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UTeM menyerahkan beberapa keping gambar kepada En Ruzaiman dan beberapa Ahli lain bagi Tujuan Promosi dan Tajaan. 

Sekian, Terima kasih
Yang Menjalankan Tuga
Unit BahagianPromosi & Publisiti
Seminar KecanggihanTeknologi Zaman Kesultanan Melayu Melaka


Lampiran